Saturday, January 31, 2009

Lalainya manusia


Alhamdulillah penulis mengucapkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi atas keizinan dan kesempatan yang diberikan untuk menulis dan menyiapkan artikel ini. Dalam artikel yang tidak seberapa ini penulis ingin menyentuh berkenaan dengan kelalaian dan lekanya kita manusia sehingga menyebabkan timbul perasaan gelisah, kusut, tidak tenteram, hilang kenikmatan dalam beribadah dan sebagainya. Penulis percaya bahawa kita semua yang bergelar manusia ini akan dilanda perasan seperti itu, melainkan mereka yang sentiasa menjaga hubungan mereka dengan Allah Taala dalam apa jua keadaan. Ada 2 punca yang boleh menyebabkan timbulnya perasaan seperti di atas yang boleh penulis utarakan untuk sama-sama kita renungkan.. Antaranya


1- Kurangnya mengingati Allah

Adakah pembaca semua setuju sekiranya penulis mengatakan kita ini sering kali lupa dan lalai dari mengingati Pencipta kita?? Sedangkan Dia tidak pernah sesaat pun mengabaikan kita. Terserahlah kepada sahabat pembaca semua. Masing-masing ada jawapan yang tersendiri. Sekiranya solat 5 waktu sehari semalam tidak difardukan ke atas setiap muslim di dunia ini maka tiadalah waktu walaupun sesaat untuk kita mengingati Dia melainkan bila ditimpakan musibah ke atas kita, barulah kita akan sibuk mencariNya. Alangkah zalimnya kita sekiranya itu yang menjadi amalan kita selama berada di dunia ini. Inilah salah satu punca kenapa kita menjadi gelisah, tidak tenang dan sebagainya kerana mana mungkin hati yang selalu mengingati Allah akan merasa perasaan seperti itu. Allah telah berfirman "“Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”
(Ar-Ra'd ayat 28).


2- Banyaknya maksiat kepada Allah

Banyaknya maksiat yang kita lakukan terhadap Rabb Al-Jalil sehingga menganggap perkara itu menjadi kebiasaan kepada kita tanpa merasa bersalah dan tidak segera memohon ampun kepada Allah. Dan perkara ini akan merosakkan hubungan kita dengan Allah Taala. Dosa-dosa kecil yang diremehkan seseorang akan semakin bertompok. Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah merakamkan, bahawa seseorang mukmin yang melakukan dosa, maka dosa itu seperti titik hitam dalam hatinya. Jika dia beristigfar, maka hatinya akan bersinar kembali. Apabila tidak, maka titik hitam itu akan menutupi hatinya. Hati yang diliputi titik hitam itu kata Rasulullah, akan menjadi lebih hitam sehingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan keburukan. Dan sebab ini jugalah yang akan menghilangkan rasa nikmatnya beribadah kepada Allah Taala. "Na'uzubillahi min zalik". Imam Hasan Al-Basri mengatakan "Kebaikan itu merupakan cahaya dalam kalbu. Cahaya kalbu yang akan memberikan kekuatan pada tubuh. Sedangkan keburukan itu merupakan kegelapan kalbu, kegelapan kalbu yang akan menimbulkan kelemahan tubuh".


Demikianlah 2 punca yang boleh penulis utarakan untuk sama-sama kita renung dan kemudian perbaiki kesilapan kita ini. Kita sebagai manusia ini sering kali lalai dan leka dengan kenikmatan dunia yang Allah pinjamkan hanyalah untuk sementara cuma. Amatlah rugi bagi mereka yang terus menerus leka sehingga lupa kepada Dia yang mengurniakan kenikmatan-kenikmatan tersebut dan Dia juga berkuasa untuk menarik kembali kenikmatan yang diberikan sekiranya Dia mahu. Oleh itu penulis ingin mengajak para pembaca semua supaya dalam kita mengecapi kenikmatan-kenikmatan yang diberikan dalam masa yang sama kita tidak lupa untuk mensyukurinya dengan kita melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.


Dan lazimilah zikrullah di setiap waktu dan ketika. Imam Nawawi menceritakan di dalam kitabnya (Al-Azkar) dengan berkata " Ketahuilah bahawa kelebihan berzikir itu tidak terbatas hanya pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan sebagainya bahkan setiap amalan yang dilakukan semata-mata hanya kerana mentaati Allah itu termasuk sebagai zikir". Mudah-mudahan dengan kita banyak mengingati dan sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan memelihara kita dari perasaan-perasaan yang disebutkan di atas dan mudah-mudahan juga kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang dekat dengan Allah Taala. Insyaallah. Dan penulis berharap dengan artikel ini kita semua dapat sama-sama berubah dan memperbaiki diri kita semua untuk menjadi hamba Allah yang diredhoi olehNya. Sama-samalah kita doakan!!! Amin ya Rabb Al-'Alamin.


Rujukan : Majalah Sukek & 50 Himpunan Khutbah Jumaat Eksklusif


5 Safar 1430 – 31 Januari 2009

Friday, January 16, 2009

Kepimpinan Ulama'


Suka penulis nak kongsi bersama pembaca semua mengenai keratan akhbar yang penulis sempat baca pagi tadi. Penulis rasa sungguh ta'jub dengan kalam-kalam yang disampaikan melalui tulisan di dalam akhbar harakah oleh seorang ulama' yang cukup terkenal di Malaysia iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Inilah hebatnya seorang ulama' yang luas ilmunya. Subhanallah. Beliau memberikan panduan dan pandangannya tentang piliharaya kecil Kuala Terengganu P.036 esok khusus untuk para pengundi. Marilah sama- sama kita hayati..

"Kita di Terengganu sekarang mahu mengundi mesti ingat kerana Allah. Hendak jadi wakil rakyat boleh tetapi kena ingat kerana Allah. Keyakinan kita ialah sebagai hamba Allah dan bukan hamba duit dan sebagainya."

PILIHAN raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini menjadi medan mengukur kemampuan fenomena Mac 2008 beralih ke Terengganu. Lebih 80,000 pengundi bakal merumuskan hala tuju politik negara seterusnya. Impak pilihan raya kecil ini cukup besar dan boleh merubah senario politik masa depan negara. Justeru, pengundi harus menggunakan kesempatan berharga ini dengan matang dan bijaksana.

Bagi memandu pengundi membuat pilihan terbaik, ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika ditemui di pejabat Menteri Besar Kelantan, di Kota Darulnaim, Ahad, 11 Januari lalu.

HARAKAH: Umno kini bermati-matian mahu mempertahankan penguasaannya di Kuala Terengganu. Kempen pilihan raya pun semakin hangat dan mendebarkan. Bagaimana Tok Guru melihatnya?

TOK GURU NIK ABDUL AZIZ: Sekarang berlaku pertelagahan antara gerakan Islam yang dipimpin oleh PAS dan gerakan nasionalis yang dipimpin oleh Umno untuk berebut hendak jaga negeri. Kalau lebih 50 tahun dulu, antara Inggeris dan Jepun berebut juga, hendak jaga Tanah Melayu.

Dan kira-kira hampir 2,000 tahun lalu perbalahan berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Abu Jahal. Juga sama-sama berebut hendak jaga negeri. Hak mana yang betul kerana orang Islam ini bukan semata-mata hendak makan atau minum. Islam mengajar makan minum yang betul. Berumah tangga yang betul atau politik yang betul. Betul itu kena dengan kehendak Allah Taala. Ini beza ajaran Islam dengan ajaran manusia sama ada kita Melayu atau Cina Muslim itu tidak kiralah. Ajaran Islam tidak serupa dengan ajaran yang manusia buat. Manusia reti apa di hujung dunia ada syurga neraka yang tahu benda itu ialah tukang yang membuat dunia iaitu Allah Taala. Allah Taala ajar benda ini kepada nabi-nabi sejak zaman-zaman sehingga sampai kepada Nabi Muhammad saw.

Ada ayat al Quran menyebut selepas mati kita akan dihidupkan balik. Selepas mati kita tidak perlu lagi sembahyang, puasa, mengundi atau apa sahaja sudah tidak ada lagi. Yang ada kamu dipaksa balik ke pangkuan Allah Taala. Ini masalah yang berlaku sejak dahulu kepada nabi-nabi dengan umat masing-masing. Begitu juga pada masa Nabi Muhammad s.a.w. dengan umatnya termasuk kita. Ini benda yang PAS hendak sebut. Ini juga yang kita sering sebut dalam sembahyang. Sembahyang, hajiku, hidup mati untuk-Mu Allah Taala. Untuk-Mu itu hendak pergi macam mana kalau bukan melalui Islam.

Kalau benda itu kita boleh buat tanpa melalui Islam, apa faedah Allah Taala kirim nabi-nabi. Apa tujuan kirim nabi sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. Jadi kalau kita tolak Islam seperti yang diamalkan Umno sekarang dan mengambil kebangsaan, soalnya agama Islam itu berhenti setakat mana. Adakah Islam tidak berguna sekarang kerana tempoh dah habis atau macam mana? Mengapa kita tolak agama dan ambil kebangsaan. Adakah Umno fikir Islam tamat setakat 1946 ketika Umno mulai wujud atau Islam terus sampai khiamat. Orang Islam di seluruh dunia akui Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi akhir zaman.

Ini punca PAS dan Umno bertelagah. Apa salah kalau Umno tinggalkan kebangsaan. Islam itu terkandung di dalam al-Quran, dan di dalam terkandung semua termasuk politik, ibadat dan keselamatan. Ini kerana al-Quran didatangkan daripada Allah Taala. Bezanya sekarang Umno hanya selamat setakat dunia dan nak pergi akhirat tidak boleh. Arab, Cina, India hendak pergi syurga semuanya melalui Islam. Ini perkara pokok.

Ini bererti risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. bukan terhenti setakat tahun 1946 sahaja. Ini punca segala pertelagahan yang berlaku sekarang, dan sebab itu saya minta semua kawan-kawan dalam Umno bermula daripada peringkat 'grassroot' sehingga pemimpin atasan. Tidak ada guna satu sen pun perjuangan kebangsaan. Hendak pembangunan semua parti yang memerintah boleh buat pembangunan.

Kalau komunis memerintah di negeri ini sekalipun mereka juga mampu buat pembangunan. Sekadar pembangunan lahiriah ini semua orang boleh buat. Tidak payahlah Allah Taala kirim nabi kalau sekadar kehidupan manusia mahu kepada pembangunan. Kafir Quraisy, Rom dan Parsi buat pemnbangunan sampai sekarang pun kita dapat lihat kesannya. Di Mesir ada piramid dan macam-macam lagi. Apa yang penting pemnbangunan tidak boleh sampai ke akhirat.

Masuk kubur kita hanya bawa jari 10 sedangkan kita mempunyai banyak duit di dunia. Kita ada tenaga di atas dunia mengapa tidak boleh bawa bersama di dalam kubur. Islam sahaja �cable� yang boleh membawa kita dari dunia sampai ke akhirat. Kepandaian, kebijaksaan dan harta kita semuanya itu boleh kita tukar melalui pertukaran benda kepada pahala. Ini perkara besar yang menguasai pemikiran manusia sekarang sama yang menyokong atau melawan gerakan Islam.

Oleh itu saya minta kalau sesiapa sahaja yang hendak pembangunan ia tidak boleh membawa kita ke akhirat tanpa melalui Islam. Kami jaga Melayu sampai ke akhirat tetapi Umno jaga Melayu setakat dunia sahaja. Islam ini kalau buat tanpa ikhlas tidak jadi, tidak kiralah orang PAS sendiri pun. Sembahyang, kempen tidak ikhlas tidak jadi. Kita mahu Islam dan iman.

Apa langkah terakhir calon dan petugas PAS lakukan menjelang hari mengundi Sabtu ini?

Langkah awal akhir ini tidak ada dalam Islam, kerana ia awal dan akhir selama-lamanya. Hidup kita di atas dunia ini bertengkar dengan nafsu. Dalam tubuh kita ada nafsu. Amarah, lawamah, mutmainah. Kita kena yakin kerja mengundi ini sebagai kerja agama. Ini kerana kerja memerintah negeri ini ialah kerja Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w. di Makkah tidak boleh memerintah sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah. Kita di Terengganu sekarang mahu mengundi mesti ingat kerana Allah Taala. Hendak jadi wakil rakyat boleh tetapi kena ingat kerana Allah Taala. Keyakinan kita ialah sebagai hamba Allah Taala dan bukan hamba duit dan sebagainya.

Kita perlu solat hajat?

Solat hajat kita perlu buat setiap masa. Tidak boleh bermusim, satu budaya orang kita bermusim ketika sakit, anak hendak periksa, hendak mengundi. Tapi tak apalah kalau tidak ada langsung baik kita buat.

Bagaimana situasi yang Tok Guru tengok terhadap kecederungan politik rakyat di Kuala Terengganu sekarang?

Pada hari penamaan calon saya pergi ke sama. Saya tengok kalau di tepi-tepi jalan nampaknya petugas PAS lebih rancak. Kegiatan Umno tidak nampak sangat. Cuma di sesetengah tempat mereka ghairah dengan poster. Hari itu tidak nampak sangat kegiatan Umno, jadi kita harap perkara itu biarlah berterusan.

Inilah serba sedikit yang boleh penulis kongsikan bersama pembaca semua. Harap ianya boleh menjadi panduan khusus buat para pengundi untuk membuang undi esok. Mudah-mudahan kepimpinan ulama'lah yang akan menjadi pilihan kita. Ami ya Rabb Al-'Alamin. Untuk sambungan lebih lanjut boleh layari link ini.

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=018867&Itemid=85

Rujukan : http://www.harakahdaily.net/

19 Muharram 1430 - 16 Januari 2009

Thursday, January 15, 2009

Anda yang tentukan


Firman Allah Taala bermaksud,

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan seadilnya. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungghnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat". (An-Nisa' ayat 58)


Debaran kian dirasai, detik perkiraan semakin menghampiri. Siapakah yang akan dipilih oleh pengundi untuk menjadi wakil rakyat mereka pada piliharaya kecil P.036 kuala terengganu sabtu ini? Keputusan akan ditentukan sendiri oleh rakyat terengganu khususnya yang akan menunaikan kewajipan mereka untuk keluar mengundi. Bak kata tuan guru Haji Abdul Hadi Awang " Amanah yang paling besar dalam ajaran Islam ialah memilih pemimpin. Ianya amanah kepada rakyat Terengganu untuk memilih pemimpin yang tepat". Sepertimana disebutkan dalam ayat di atas. Di sini rasanya, masih sempat untuk penulis kongsi bersama para pembaca khusus para pengundi satu kisah mengenai sifat ataupun sikap khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu beliau memegang tampuk pimpinan suatu ketika dahulu yang patut kita teladani sekaligus menjadi panduan khusus para pengundi untuk menilai dan memilih calon pada pilihanraya kecil sabtu ini. Kisah ini penulis terbaca dari sebuah majalah (Sukses) ketika penulis tengah boring.


Kisahnya :


"Pada suatu malam ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz berada di dalam pejabatnya sedang memeriksa buku keluar masuk wang negara dan juga baitulmal. Tiba-tiba khalifah terdengar ketukan. Bilik itu diterangi dengan lampu minyak yang cukup terang untuk membaca. Khalifah bertanya tanpa membuka pintu "Siapa di luar?" "Saya ayah," terdengar suara seoarang pemuda, puteranya sendiri. "Ada urusan apa?" Tanya khalifah. "Saya disuruh oleh ibu untuk berbicara dengan ayah tentang beberapa perkara, "jawab puteranya. "Masalah apa?" Tanya khalifah. "Buka pintu dulu ayah. Izinkan saya masuk," jawab anaknya mendesak. "Terangkan dulu, masalah apa? Soal keluarga, soal kemasyarakatan atau soal negara?" Tanya khalifah, tetap tidak dibuka pintu untuk anaknya masuk.


"Tentu saja urusan keluarga kita, ayah." Jawab anaknya hairan. "Kalau begitu, tunggu sebentar," sahut khalifah Umar daripada dalam. Lantas ia bangun, menghampiri setiap satu lampu di biliknya dan ditiup hingga padam. Barulah pintu itu dibuka dan menyuruh anaknya masuk. Puteranya itu semakin hairan. Masakan mereka hendak bercakap di dalam gelap? Apakah ayahnya terlalu kuat bekerja sehingga tindakannya menjadi ganjil, di luar kebiasaan orang awam? Lalu anaknya bertanya kepada khalifah, "Ayah, di bilik ini hanya ada satu lampu. Mengapa ayah padamkan? Apakah kita akan berbincang di tengah kegelapan?" "Benar, kita akan berbicara di dalam gelap, kita akan berbicara di dalam bilik ini," jawab khalifah tanpa ragu-ragu "Mengapa, ayah?" Tanya anaknya kerana inginkan kepastian. "Adakah kau tahu, bilik apakah ini?" Tanya khalifahsemula kepada anaknya. "Pejabat, ayah?" jawabnya. "Siapa ayahmu?" khalifah menyoal anaknya lagi.


"Pemimpin Negara, Khalifah, Amirul Mukminin," jawab anaknya semakin bertambah kehairanan. Bahkan semakin curiga, jangan-jangan ayahnya telah mabuk kuasa. "Itulah dia jawapannya, Kerana ayahmu seorang pemimpin, maka kita harus bercakap tanpa lampu di bilik ini," ujar khalifah kepada anaknya. "Mengapa?" soal anaknya lagi. Khalifah lantas memberikan penjelasan. "Yang akan kita bincangkan adalah diatas urusan keluarga, sedangkan minyak lampu itu dibeli dengan wang negara.Wang rakyat. Aku tidak mahu kerana urusan keluarga, akan merugikan harta kepunyaan rakyat dan negara. Tidakkah kau tahu bahawa kekuasaan adalah amanah yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak?"


Demikianlah sifat seorang pemimpin yang mengamalkan ajaran yang telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang mana telah disyariatkan oleh Allah Taala. Beliau amat takut sekiranya terguna wang Negara (rakyat) walaupun sedikit dan menggunakannya bukan pada tempatnya. Pemimpin sebeginilah yang kita cari yang boleh memimpin kita menuju Allah melalui jalan yang benar. Mudah-mudahan kisah ini menjadi teladan kepada kita semua. Oleh itu, penulis mengharapkan agar rakyat terengganu khususnya para pengundi dapat menunaikan amanah dengan memilih calon yang tepat. Anda (para pengundi) yang menentukan. Adakah kita masih mahu memilih parti yang mana sering kali dikaitkan dengan rasuah dan tidak berlaku adil kepada rakyat?? Jika ini yang anda mahu, teruslah sokong dan berilah undi kepada mereka. Tetapi jika anda inginkan perubahan dan mahu melihat Islam tertegak di Malaysia maka undilah parti di bawah kepimpinan ulama' yang benar-benar memperjuangkan islam iaitu Parti Islam Semalaysia (PAS). Insyaallah mudah-mudahan undian anda semua dinilai sebagai salah satu usaha anda (para pengundi) dalam membantu menegakkan agama Islam khususnya di Malaysia. Amin ya Rabb Al-'Alamin.


PENULIS MENGUCAPKAN "SELAMAT MENGUNDI !!!"


Rujukan : Harakah Daily & Majalah Sukses


18 Muharram 1430 - 15 Januari 2009

Sunday, January 11, 2009

Ayuh kita teruskan!!!


Seluruh dunia hari ini khususnya umat islam merasai penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin dek kekejaman rejim Israel. Sehingga hari ini (hari ke-16) rakyat Palestin terus diratah serakus-rakusnya dengan bedilan peluru dan bom oleh rejim itu. Rejim Zionis tidak mengendahkan bantahan seluruh dunia agar mereka menghentikan kekejaman mereka di bumi Palestin malah enggan mematuhi permintaan Majlis Keselamatan (PBB) supaya segera melaksanakan genjatan senjata. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang Israel ingin mengundurkan tenteranya dari Gazah Palestin. Israel bertekad dan berazam untuk meneruskan serangan di sana entah sampai bila. Bilangan yang terkorban setakat ini mencatatkan 875 orang dan 3695 orang lagi cedera.

Israel terus angkuh dan sombong dengan kekuatan yang mereka miliki dan merasakan tidak ada kuasa yang mampu mengalahkan mereka kerana mereka didukungi oleh sekutu kuat mereka iaitu Amerika. Sama ada mereka sedar ataupun tidak, ada kuasa yang lebih hebat dari mereka yang mampu menghancurkan seluruh jentera mereka dalam sekelip mata. Ingatlah!!! kuasa Allahlah yang mampu untuk melenyapkan kezaliman rejim zionis di muka bumi ini. Seperti mana yang pernah terjadi kepada umat-umat terdahulu yang telah dihancurkan oleh Allah dek kerosakan yang telah mereka lakukan. Peristiwa ini telah pun dirakamkan di dalam al-quran.

Firman Allah bermaksud
"Dan (ingatlah juga peristiwa kebinasaan) Qaarun dan Firaun serta Hamaan. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan(mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di muka bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah). Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu, dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi, dan ada pula yang Kami timbuskan dia di bumi, dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan ingatlah Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri". (Al-Ankabut ayat 39-40)

Begitulah balasan yang Allah telah berikan kepada mereka yang melakukan kezaliman dan kerosakan di muka bumi ini. Yakinlah yang Allah akan membantu umat islam khususnya pejuang Hamas di Palestin seperti mana Allah telah membantu kaum muslimin ketika perang ahzab. Firman Allah "Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan ingatlah Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan". (Al-Ahzab ayat 9)

Oleh itu, kepada pembaca sekalian ayuh kita teruskan solat hajat dan membaca doa qunut nazilah setiap kali selepas solat (fardhu & sunat) mohon semoga Allah menghancurkan Israel dan sekutu-sekutunya dan mengurniakan kemenangan kepada umat islam. Lumpuhkan ekonomi Zionis dengan terus-terusan kita memboikot barangan keluaran syaitan yang bertopengkan manusia ini. Penuhkan tabung-tabung dana Palestin untuk membantu saudara seakidah kita semua. Kita mampu untuk melakukan semua ini. Jangan kita abaikan saudara kita tanpa pembelaan. Ajak seluruh kaum kerabat kita untuk jalankan tanggungjawab ini bersama. Inilah sumbangan yang mampu kita hulurkan untuk mereka. Rasulullah bersabda "Barang siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan saudara seIslamnya yang lain, maka dia bukanlah termasuk di dalam golongan mereka". Insyaallah kemenangan akan berpihak kepada umat islam. Janji Allah pasti akan berlaku. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

Sumber rujukan : http://minipavilion.blogspot.com

14 Muharram 1430 - 11 Januari 2009

Friday, January 9, 2009

Bahaya hati


Setiap insan yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang muslim menginginkan agar mereka ditempatkan di syurga Allah Taala setelah berakhirnya kehidupan mereka di dunia yang fana ini. Tapi pernahkah kita terfikir adakah layak untuk kita mendiami syurga Allah dengan maksiat-maksiat yang telah kita kerjakan. Banyak manakah amalan kebaikan yang telah kita persiapkan untuk menjadi bekalan kita di akhirat nanti. Allah Taala berfirman “Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafiq). Dan di hari itu didekatkanlah syurga kepada orang-orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan dengan jelas neraka jahim kepada orang-orang yang sesat” (As-Syu'araa' ayat 88-91).


Walaupun pada hakikatnya bukanlah amalan kita yang akan menjamin untuk kita mendapatkan syurga tetapi tanpa amalan kebaikan yang kita ada mana mungkin Allah akan memberikan rahmatNya kepada kita sebagai tiket untuk ditunjukkan kepada Malaikat Ridhuan penjaga pintu syurga Allah. Untuk kita melakukan amal kebaikan kita memerlukan hati yang bersih agar ianya dapat mendorong untuk kita melakukan amal tersebut. Kerana Rasulullah bersabda “Sesungguhnya dalam tubuh manusia itu ada seketul daging yang apabila ia baik akan baiklah seluruh tubuh manusia, dan apabila ia rosak akan rosaklah seluruh anggota tubuh manusia. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati”. Berdasarkan hadis ini fahamlah kita bahawa hati memainkan peranan yang penting bagi seseorang manusia. Hatilah yang akan mengatur kehidupan kita seluruhnya.


Jasmani atau lebih dikenali sebagai tubuh badan akan dihinggapi virus jika tidak menjaganya dengan baik. Sama ada sedar ataupun tidak, rohani juga akan dihinggapi virus. Antara virus-virus rohani (hati) ialah riyak, ujub, dengki, tamak, bakhil, sombong dan lain-lain. Virus jasmani (tubuh badan) kesannya hanya di dunia jika tidak dirawat. Berlainan pula dengan rohani (hati), ia akan berlarutan hinggalah kita bertemu dengan Allah di akhirat nanti jika dibiarkan terus berpenyakit. Dan ia sudah tentu menjauhkan diri kita dengan Allah Taala. Kerana setiap kali kejahatan yang kita lakukan akan tumbuh satu bintik hitam di dalam hati. Cuba bayangkan berapa banyakkah bintik hitam yang akan tumbuh jika kita terus menerus melakukan kejahatan tanpa kita merawatnya. Dan perkara ini sudah tentu akan menjauhkan lagi diri kita dengan Allah. Bagaimanakah kita akan masuk syurga sedangkan kita jauh dengan Allah.


Oleh yang demikian , bukanlah jasmani sahaja yang perlu diisi dengan makanan yang sedap-sedap tetapi rohani (hati) juga perlu diisi dengan selalu mengingati Allah seperti berzikir membaca al-quran dan lain-lain. Firman Allah “Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Ar-Ra'd ayat 28). nya agar ianya dapat diamal dan disebarkan ke seluruh dunia. Dan selalulah menghadiri majlis-majlis ilmu kerana di situ ada barakah dan hikmahnya seperti kata Luqman al-Hakim “Hai anakku ambil beratlah untuk duduk di dalam majlis ulama' (majlis ilmu) dan dengarilah kata-kata para hukama', kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati-hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan”. Dengan ilmu yang kita dapat dari majlis itu mudah-mudahan dapat merawat dan menghindarkan diri kita dari virus (penyakit-penyakit) rohani (hati) ini.


Juga penulis ingin mengingatkan kepada diri kita semua agar selalu berdoa kepada Allah supaya menetapkan hati kita ini di dalam menunaikan perintah dan meninggalkan laranganNya. Dan tidak memesongkan hati kita setelah Dia beri hidayah kepada kita. Firman Allah lagi “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturaNya), dan memberi petunjuk ke jalan agamaNya, sesiapa yang rujuk kepadaNya. Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. (Ar-Ra'd ayat 27-28). Sekiranya penyakit-penyakit rohani (hati) ini masih ada di dalam diri kita, sama-samalah kita merawatnya kerana ia lebih berbahaya dari penyakit jasmani. Mudah-mudahan dengan usaha kita ini, Allah memberi peluang untuk kita menduduki syurgaNya kelak. Amin Ya Rabb al-‘Alamin.


8 Muharram 1430 - 5 Januari 2009

Palestin berdarah lagi


Firman Allah Taala:

Mafhumnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha akan engkau wahai Muhammad sehinggalah engkau mengikut agama mereka. Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (petunjuk yang sebenarnya)”. Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah.
(Al-Baqarah ayat 120)


Bedilan peluru dan bom terus–menerus menghujani penduduk palestin di Gaza tanpa segan silu. Hari ini telah masuk hari yang kelima rejim Zionis kembali menyerang bumi Palestin sejak sabtu lalu. Angka yang telah terkorban setakat ini mencatatkan lebih dari 370 orang manakala 1750 lagi cedera. Tentera Israel kembali mengganas selepas serangan roket oleh pejuang palestin membunuh seorang tentera mereka berhampiran sempadan Gaza dan seorang penduduk Israel di bandar Ashdod. Hanya 2 orang sahaja dari mereka yang terbunuh, tetapi serang balas yang mereka lakukan telah meragut beratus-ratus nyawa rakyat Palestin. Bahkan telah berjuta yang telah terkorban dengan jet pejuang dan kereta kebal Rejim Zionis ini sejak berdekad lalu.

Amat benarlah firman Allah di atas yang mana kaum Yahudi dan Nasrani tidak akan membiarkan orang islam hidup dengan aman selagi mana kita umat Islam tidak mengikut kehendak mereka. Dan mereka ini samalah seperti syaitan yang mana telah bersumpah di depan Allah Taala untuk menyesatkan anak cucu Adam. Kaum Yahudi juga dilabelkan oleh Allah dalam surah al-Fatihah sebagai (المغضوب) orang yang dimurkai olehNya kerana mereka telah menolak agama yang disyariatkan oleh Allah dengan membunuh para nabi yang diutuskan kepada mereka. Demikianlah sifat Yahudi yang telah dirakamkan dalam al-Quran. Mereka akan berterusan menyerang dan membunuh umat islam sehinggalah hari kiamat.

Oleh itu pembaca sekalian, sanggupkah kita semua melihat sahaja tanpa ada sesuatu yang kita lakukan untuk rakyat palestin Nabi bersabda "Seorang muslim adalah saudara kepada saudaranya yang lain. Tidak boleh di aniayai, tidak boleh di biarkan tanpa perlindungan. sesiapa yang mengambil berat tentang seorang muslim yang lain, maka Allah akan mengambil berat tentangnya. Sesiapa yang melepaskan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melepaskan kesusahannya yang terdiri daripada kesusahan akhirat. Sesiapa yang menutup aib orang lain, maka Allah akan menutup aibnya". [Riwayat Bukhari dan Muslim] Ayuhlah pembaca semua , mari sama-sama kita membantu dan membela nasib saudara sesama muslim kita dengan memboikot israel serta melakukan solat hajat dan berdoa ke hadrat Ilahi agar bumi palestin segera dibebaskan dari cengkaman kaum yahudi laknatullah. Sabda nabi yang bermaksud “Doa itu senjata bagi orang mukmin" Mudah-mudahan doa kita diterima dan dinilai sebagai salah satu sumbangan yang dapat kita berikan untuk membantu rakyat al-Quds. Insyaallah. Amin ya Rabb al-'Alamin.
3 Muharram 1430 - 31 Disember 2008

Muhasabah diri


Pejam celik pejam celik kita telah pun berada dalam tahun baru islam 1430 Hijrah menggantikan tahun Hijrah 1429. Sudah setahun berlalu. Jika kita muhasabah kembali diri kita semua dan cuba timbulkan persoalan apakah sumbangan kita untuk melihat Islam kembali ditegakkan di muka bumi ini, ke arah manakah amalan kita disalurkan, sama ada ke arah kebaikan ataupun keburukan. Adakah kita telah mencapai matlamat yang pernah kita niatkan pada awal tahun dahulu. Soalan-soalan ini sengaja penulis lontarkan agar kita semua menilai kembali di manakah kita sekarang ini. Adakah masih berada di tahap yang lama ataupun telah berubah. Tepuk dada tanyalah iman kita. Kita amat beruntung jika setahun yang lepas banyak perkara bermanfaat yang telah kita lakukan kerana setiap amalan baik yang kita lakukan pasti akan diganjari oleh Allah Taala. Begitu jugalah sebaliknya.


Ibnu Mas'ud berkata " Perkara yang paling sedih bila tibanya tahun baru adalah umurku bertambah tetapi amalanku tidak bertambah" Oleh yang demikian, bersempena dengan Maal Hijrah ini penulis ingin mengajak pembaca semua agar menyingkap kembali peristiwa hijrah Baginda Rasulullah s.a.w. dan para sahabat terkandung di dalamnya hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Rasulullah mengambil keputusan berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah setelah dakwah yang dibawa ditolak sekeras-kerasnya oleh kaum kafir Quraisy. Bukan itu sahaja bahkan Rasulullah dan umat islam yang ada di Mekah turut dicaci, dihina, diseksa dan juga dibunuh oleh kaum kafir Quraisy. Ajaran islam terlalu sukar untuk diterima oleh mereka. Atas sebab-sebab inilah Rasulullah berhijrah ke Madinah yang mana ketika itu ajaran islam tersebar luas di kota itu yang dulunya dikenali sebagai Yathrib. Tujuan Rasulullah berhijrah ke kota itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menegakkan Daulah Islamiyah dan memastikan ajaran islam ini tersebar di seluruh dunia. Begitu besar pengorbanan rasulullah dan para sahabat, sanggup meninggalkan tanah airnya demi agama Islam yang mulia ini. Bagaimana dengan kita??


Dari peristiwa ini, apa yang boleh kita ambil sebagai pengajaran ialah kita perlu memperbaiki diri kita agar menjadi lebih baik dari masa ke semasa. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri. Sama ada mahu melakukan perubahan ataupun tidak. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dan selalunya kita pada awal tahun sahaja bersemangat untuk berubah, tapi bila sampai pertengahan tahun kita jadi lesu semula dan lebih teruk bila akhir tahun jika kita terus-menerus leka dengan kenikmatan dunia. Oleh itu penulis mengharapkan agar kita dapat merealisasikan semua azam kita untuk tahun ini dan bukanlah sekadar terlintas di hati samata-mata atau sekadar omong kosong. Di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelum-sebelum ini.

1 Muharram 1430 - 29 Disember 2008

Permulaannya di sini

Alhamdulillah penulis ucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinanNya dapat penulis membina blog ini. Bertitik tolak daripada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud "Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat" dari hadis inilah timbul keinginan untuk penulis menyebarkan ilmu yang ada melalui blog ini. Mudah-mudahan usaha penulis yang tidak seberapa ini dinilai oleh Allah Taala untuk mendapatkan syurgaNya kelak. penulis juga berdoa supaya diikhlaskan niat di hati dalam menyampaikan ilmu ini. Amin ya Rabb al-'Alamin.

25 Zulhijjah 1429 - 23 Disember 2008

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...