Thursday, January 15, 2009

Anda yang tentukan


Firman Allah Taala bermaksud,

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan seadilnya. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungghnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat". (An-Nisa' ayat 58)


Debaran kian dirasai, detik perkiraan semakin menghampiri. Siapakah yang akan dipilih oleh pengundi untuk menjadi wakil rakyat mereka pada piliharaya kecil P.036 kuala terengganu sabtu ini? Keputusan akan ditentukan sendiri oleh rakyat terengganu khususnya yang akan menunaikan kewajipan mereka untuk keluar mengundi. Bak kata tuan guru Haji Abdul Hadi Awang " Amanah yang paling besar dalam ajaran Islam ialah memilih pemimpin. Ianya amanah kepada rakyat Terengganu untuk memilih pemimpin yang tepat". Sepertimana disebutkan dalam ayat di atas. Di sini rasanya, masih sempat untuk penulis kongsi bersama para pembaca khusus para pengundi satu kisah mengenai sifat ataupun sikap khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu beliau memegang tampuk pimpinan suatu ketika dahulu yang patut kita teladani sekaligus menjadi panduan khusus para pengundi untuk menilai dan memilih calon pada pilihanraya kecil sabtu ini. Kisah ini penulis terbaca dari sebuah majalah (Sukses) ketika penulis tengah boring.


Kisahnya :


"Pada suatu malam ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz berada di dalam pejabatnya sedang memeriksa buku keluar masuk wang negara dan juga baitulmal. Tiba-tiba khalifah terdengar ketukan. Bilik itu diterangi dengan lampu minyak yang cukup terang untuk membaca. Khalifah bertanya tanpa membuka pintu "Siapa di luar?" "Saya ayah," terdengar suara seoarang pemuda, puteranya sendiri. "Ada urusan apa?" Tanya khalifah. "Saya disuruh oleh ibu untuk berbicara dengan ayah tentang beberapa perkara, "jawab puteranya. "Masalah apa?" Tanya khalifah. "Buka pintu dulu ayah. Izinkan saya masuk," jawab anaknya mendesak. "Terangkan dulu, masalah apa? Soal keluarga, soal kemasyarakatan atau soal negara?" Tanya khalifah, tetap tidak dibuka pintu untuk anaknya masuk.


"Tentu saja urusan keluarga kita, ayah." Jawab anaknya hairan. "Kalau begitu, tunggu sebentar," sahut khalifah Umar daripada dalam. Lantas ia bangun, menghampiri setiap satu lampu di biliknya dan ditiup hingga padam. Barulah pintu itu dibuka dan menyuruh anaknya masuk. Puteranya itu semakin hairan. Masakan mereka hendak bercakap di dalam gelap? Apakah ayahnya terlalu kuat bekerja sehingga tindakannya menjadi ganjil, di luar kebiasaan orang awam? Lalu anaknya bertanya kepada khalifah, "Ayah, di bilik ini hanya ada satu lampu. Mengapa ayah padamkan? Apakah kita akan berbincang di tengah kegelapan?" "Benar, kita akan berbicara di dalam gelap, kita akan berbicara di dalam bilik ini," jawab khalifah tanpa ragu-ragu "Mengapa, ayah?" Tanya anaknya kerana inginkan kepastian. "Adakah kau tahu, bilik apakah ini?" Tanya khalifahsemula kepada anaknya. "Pejabat, ayah?" jawabnya. "Siapa ayahmu?" khalifah menyoal anaknya lagi.


"Pemimpin Negara, Khalifah, Amirul Mukminin," jawab anaknya semakin bertambah kehairanan. Bahkan semakin curiga, jangan-jangan ayahnya telah mabuk kuasa. "Itulah dia jawapannya, Kerana ayahmu seorang pemimpin, maka kita harus bercakap tanpa lampu di bilik ini," ujar khalifah kepada anaknya. "Mengapa?" soal anaknya lagi. Khalifah lantas memberikan penjelasan. "Yang akan kita bincangkan adalah diatas urusan keluarga, sedangkan minyak lampu itu dibeli dengan wang negara.Wang rakyat. Aku tidak mahu kerana urusan keluarga, akan merugikan harta kepunyaan rakyat dan negara. Tidakkah kau tahu bahawa kekuasaan adalah amanah yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak?"


Demikianlah sifat seorang pemimpin yang mengamalkan ajaran yang telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang mana telah disyariatkan oleh Allah Taala. Beliau amat takut sekiranya terguna wang Negara (rakyat) walaupun sedikit dan menggunakannya bukan pada tempatnya. Pemimpin sebeginilah yang kita cari yang boleh memimpin kita menuju Allah melalui jalan yang benar. Mudah-mudahan kisah ini menjadi teladan kepada kita semua. Oleh itu, penulis mengharapkan agar rakyat terengganu khususnya para pengundi dapat menunaikan amanah dengan memilih calon yang tepat. Anda (para pengundi) yang menentukan. Adakah kita masih mahu memilih parti yang mana sering kali dikaitkan dengan rasuah dan tidak berlaku adil kepada rakyat?? Jika ini yang anda mahu, teruslah sokong dan berilah undi kepada mereka. Tetapi jika anda inginkan perubahan dan mahu melihat Islam tertegak di Malaysia maka undilah parti di bawah kepimpinan ulama' yang benar-benar memperjuangkan islam iaitu Parti Islam Semalaysia (PAS). Insyaallah mudah-mudahan undian anda semua dinilai sebagai salah satu usaha anda (para pengundi) dalam membantu menegakkan agama Islam khususnya di Malaysia. Amin ya Rabb Al-'Alamin.


PENULIS MENGUCAPKAN "SELAMAT MENGUNDI !!!"


Rujukan : Harakah Daily & Majalah Sukses


18 Muharram 1430 - 15 Januari 2009

No response to “Anda yang tentukan”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...