Sunday, January 11, 2009

Ayuh kita teruskan!!!


Seluruh dunia hari ini khususnya umat islam merasai penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin dek kekejaman rejim Israel. Sehingga hari ini (hari ke-16) rakyat Palestin terus diratah serakus-rakusnya dengan bedilan peluru dan bom oleh rejim itu. Rejim Zionis tidak mengendahkan bantahan seluruh dunia agar mereka menghentikan kekejaman mereka di bumi Palestin malah enggan mematuhi permintaan Majlis Keselamatan (PBB) supaya segera melaksanakan genjatan senjata. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan yang Israel ingin mengundurkan tenteranya dari Gazah Palestin. Israel bertekad dan berazam untuk meneruskan serangan di sana entah sampai bila. Bilangan yang terkorban setakat ini mencatatkan 875 orang dan 3695 orang lagi cedera.

Israel terus angkuh dan sombong dengan kekuatan yang mereka miliki dan merasakan tidak ada kuasa yang mampu mengalahkan mereka kerana mereka didukungi oleh sekutu kuat mereka iaitu Amerika. Sama ada mereka sedar ataupun tidak, ada kuasa yang lebih hebat dari mereka yang mampu menghancurkan seluruh jentera mereka dalam sekelip mata. Ingatlah!!! kuasa Allahlah yang mampu untuk melenyapkan kezaliman rejim zionis di muka bumi ini. Seperti mana yang pernah terjadi kepada umat-umat terdahulu yang telah dihancurkan oleh Allah dek kerosakan yang telah mereka lakukan. Peristiwa ini telah pun dirakamkan di dalam al-quran.

Firman Allah bermaksud
"Dan (ingatlah juga peristiwa kebinasaan) Qaarun dan Firaun serta Hamaan. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan(mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di muka bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah). Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu, dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi, dan ada pula yang Kami timbuskan dia di bumi, dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan ingatlah Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri". (Al-Ankabut ayat 39-40)

Begitulah balasan yang Allah telah berikan kepada mereka yang melakukan kezaliman dan kerosakan di muka bumi ini. Yakinlah yang Allah akan membantu umat islam khususnya pejuang Hamas di Palestin seperti mana Allah telah membantu kaum muslimin ketika perang ahzab. Firman Allah "Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan ingatlah Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan". (Al-Ahzab ayat 9)

Oleh itu, kepada pembaca sekalian ayuh kita teruskan solat hajat dan membaca doa qunut nazilah setiap kali selepas solat (fardhu & sunat) mohon semoga Allah menghancurkan Israel dan sekutu-sekutunya dan mengurniakan kemenangan kepada umat islam. Lumpuhkan ekonomi Zionis dengan terus-terusan kita memboikot barangan keluaran syaitan yang bertopengkan manusia ini. Penuhkan tabung-tabung dana Palestin untuk membantu saudara seakidah kita semua. Kita mampu untuk melakukan semua ini. Jangan kita abaikan saudara kita tanpa pembelaan. Ajak seluruh kaum kerabat kita untuk jalankan tanggungjawab ini bersama. Inilah sumbangan yang mampu kita hulurkan untuk mereka. Rasulullah bersabda "Barang siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan saudara seIslamnya yang lain, maka dia bukanlah termasuk di dalam golongan mereka". Insyaallah kemenangan akan berpihak kepada umat islam. Janji Allah pasti akan berlaku. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

Sumber rujukan : http://minipavilion.blogspot.com

14 Muharram 1430 - 11 Januari 2009

No response to “Ayuh kita teruskan!!!”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...