Wednesday, September 9, 2009

Dia Maha Melihat


Hari ini hari rabu bersamaan dengan 09-09-09. Apa yang menarik dengan tarikh ni ya??? Erm... Sebelum ini pernah dikhabarkan kepada penulis bahawa penulis bakal mendapat seorang lagi anak saudara pada tarikh ini tetapi kuasa Allah melebihi pengetahuan hamba-hambaNya. Allah sudah menentukan bila masa yang sepatutnya bayi itu dilahirkan. Insyaallah dia akan lahir pada tarikh-tarikh yang lain di dalam bulan ini. Doa-doakanlah agar semuanya selamat. Amiin.. Sebenarnya penulis sengaja memilih tarikh ini untuk posting seterusnya. Tarikh ni nampak macam best je. Oklah untuk kali ini penulis ingin berkongsi bersama pembaca semua tentang satu kisah dipetik dari majalah Solusi yang sempat penulis baca pagi tadi. Begini kisahnya:

Seoarang guru sangat mengasihi seorang anak muridnya berbanding yang lain, sehingga murid-murid yang lain begitu cemburu. Mereka yang cemburu itu menuduh guru itu pilih kasih, tidak adil dan sebagainya. Ini menyebabkan guru itu mencari jalan bagaimana hendak menjelaskan kenapa dia bersikap sedemikian.

Satu hari guru itu memberikan seekor ayam kepada setiap anak muridnya. Dia menyuruh setiap orang menyembelih ayam itu di tempat yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Tidak lama kemudian, semua murid-murid pulang, masing-masing dengan ayam yang telah disembelih di tangan. Ada yang menyembelih di dalam hutan, di sebalik batu dan tempat-tempat lain yang tidak dapat dilihat orang.

Namun, anak murid yang dikasihi guru tadi pulang agak lewat. Dan di tangannya ayam itu masih hidup, yakni belum disembelih. “Adakah kamu gagal menyembelih ayam ini?” Tanya guru. “Saya tidak dapat menemui tempat yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa.” “Maksud kamu?” “Di mana pun saya pergi Allah melihat,” ujar anak murid kesayangan guru ini. Mendengar jawapan dan melihat sikap itu, tahulah anak-anak murid yang lain mengapa guru mereka sayangkan rakan mereka itu.

Begitulah kisahnya bagaimana sikap seorang murid yang begitu yakin bahawa Allah s.w.t sentiasa melihat akan apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya tidak kira di mana sahaja kita berada walau dalam lubang cacing sekali pun Allah tetap dapat melihat apa yang kita lakukan. Bagaimana pula dengan kita? Harap-harap kita pun dapat menjadi seperti murid tadi. Apabila kita merasa yang Allah sentiasa melihat segala tindak-tanduk kita maka secara otomatiknya kita akan sentiasa berwaspada dengan apa yang ingin kita lakukan. Mana mungkin kita berani untuk melakukan maksiat kepada Allah melainkan kalau kita tidak takut dengan azab yang bakal Allah berikan kepada kita nanti. Firman Allah yang bermaksud

"Sesiapa yang melakukan kejahatan ia akan dibalas dengan kejahatan itu".

Agak-agak pembaca semua berani lagi ke nak buat maksiat kepada Allah??? Na’uzubillah min zalik. Oleh itu sama-samalah kita memperbaiki amalan kita dan sentiasa berwaspada agar tidak terjerumus ke lembah maksiat. Sentiasalah berdoa agar solat fardhu yang kita dirikan 5 kali sehari itu mampu untuk membentengi diri kita dari maksiat dan perbuatan mungkar seperti mana firman Allah yang bermaksud

"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar".

Dan kita yang telah terlanjur melakukan dosa maka hendaklah kita bertaubat kepada Allah. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang dan bersedia mengampunkan hambaNya selagi mana belum tibanya hari kiamat, sepertimana disebut di dalam firmanNya yang bermaksud

" Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka. dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salanya dan akibatnya)".

Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang selalu bertaubat dari segala dosa yang kita lakukan dan berazam untuk tidak melakukan kembali dosa itu. InsyaAllah, sama-samalah kia berdoa. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

19 Ramadhan 1430 - 9 September 2009

No response to “Dia Maha Melihat”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...