Saturday, September 12, 2009

Jom Memburu !!!


Ramadhan telah pun masuk fasa yang ketiga iaitu pelepasan dari api neraka. Bermakna Ramadhan hampir menutup tirainya pada tahun ini. Agak-agak pembaca semua ada ke tidak perasaan sedih untuk meninggalkan bulan yang menjanjikan berbagai-bagai keistimewaan dari Allah s.w.t ini??? Ataupun bergembira kerana tidak lama lagi ingin menyambut ketibaan Aidilfitri??? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Anda lebih mengetahui diri anda sendiri. Kalau ada rasa kesedihan yang menyelubungi diri, jom sama-sama kita manfaatkan hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan sebaiknya. Carilah malam Lailatul Qadar yang mana beribadah pada malamnya bersamaan dengan beribadah selama 1000 bulan. Sepertimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Qadar, maksudnya:

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. [2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar (malam kemuliaan dan kebesaran) itu? [3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan*. [4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); [5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!"

* Yakni amal ibadah yang dikerjakan pada malam Lailatul Qadar itu lebih besar pahalanya daripada amal ibadah yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain. Oleh sebab itu disebutkan di dalam hadis sohih, bahawa Rasulullah biasanya mulai dari malam 21 Ramadhan baginda membanyakkan ibadah sepanjang-panjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan malam Lailatul Qadar yang berkat itu yang berlakunya pada salah satu malam dari 10 atau 9 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Kalau semulia-mulia dan sekasih-kasih manusia kepada Allah demikian usahanya untuk mendapat kelebihan malam yang mulia itu, maka sudah sewajibnya kita yang berkeadaan sentiasa diperdaya oleh berbagai-bagai godaan hidup, menggandakan usaha mengerjakan amal ibadah untuk mencapai keampunan dan keredhoaan Allah.

Kita ini hidup di dunia tidak lama sepertimana umat-umat zaman dahulu yang hidup mereka beratus-ratus tahun lamanya. Berbeza dengan umat Nabi Muhammad s.a.w yang rata-rata meninggal pada umur puluhan tahun, hanya sedikit yang umurnya ratus tahun. Oleh itu rebutlah ganjaran yang Allah janjikan ini dengan sebaiknya. Allah sudah beri keistimewaan ini khusus untuk umat Nabi Muhammad. Janganlah biarkan ia luput begitu sahaja. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencarinya dengan berqiamullail, membaca Al-Quran, berzikir dan ibadah-ibadah yang lainnya. Jangan lupa mengajak (membangunkan) ahli keluarga yang lain untuk turut serta mencari malam Lailatul Qodar ini sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah. Sabda Baginda di dalam hadis bermaksud

“Rasulullah selawat dan salam Allah ke atasnya, apabila tiba 10 malam terakhir bulan Ramadhan, beliau menghidupkannya (dengan beribadah) dan meminta keluarganya berjaga malam (untuk beribadah) serta tidak bercampur dengan isteri-isterinya”.

Mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang berusaha mencari malam Al-Qadr untuk beribadah pada malam tersebut. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

Jom sertai bersama-sama!!!

Misi : Memburu malam Al-Qadr

Tema : Ibadah Berterusan, Syurga Menjadi Ganjaran

Masa : Sepertiga malam @ keseluruhannya

Tarikh : 10 terakhir Ramadhan

Tempat : Afdhol di masjid, di rumah pun ok

Tujuan : Mendapatkan keredhoan @ keampunan dari Ilahi

Aktiviti : Qiamullail, membaca Al-Quran, berzikir, dan sebagainya

Pengadil : Allah s.w.t

Ganjaran: Diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan berbagai-bagai lagi keistimewaan

Anjuran : Pemilik Dunia (Allah yang Maha Agung) & KekasihNya (Nabi Muhammad s.a.w)


Rujukan : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman & Buku Ramadhan Tetamu Yanh Dirindui oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

22 Ramadhan 1430 – 12 September 2009

No response to “Jom Memburu !!!”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...