Saturday, September 19, 2009

Maafkanlah !!!


Siang dan malam silih berganti. Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Ramadhan 1430 akhirnya melabuhkan tirainya. Kini Syawal pula menjelma sebagai pengganti. Mudah-mudahan segala amal ibadah yang telah dilakukan di dalam bulan Ramadhan yang lepas terutama ibadah puasa kita diterima oleh Allah s.w.t. Dan mudah-mudahan juga kita semua dibersihkan oleh Allah segala dosa kita yang terdahulu. Bersempena dengan Aidilfitri ini, penulis ingin mengambil kesematan memohon jutaan kemaafan kepada sahabat-sahabat yang mengenali penulis di atas segala silap dan salah yang pernah penulis lakukan terhadap anda semua. Janganlah biarkan ada yang tersimpan di dalam hati. Kerana setiap insan tidak lari dari melakukan kesilapan. Oleh itu bersedialah memaafkan segala kesalahan. Dan tidak lupa juga untuk sahabat para pembaca yang tidak jemu-jemu melawati teratak usang ini. Mungkin anda semua ada terasa hati dengan kalam-kalam penulis, penulis memohon maaf. Itu semua adalah untuk kebaikan kita semua. Ingatlah dengan firman Allah yan bermaksud

“ Dan tetap tekunlah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman”.

Sambutlah hari lebaran ini dengan sebaiknya. Janganlah terlalu gembira menyambut lebaran sehingga lupa diri dan melanggar perintah Allah s.w.t. Dan janganlah Ramadhan yang baru berakhir ini menjadikan semua amalan yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan baru ini juga turut berakhir. Tetapi hendaklah kita meneruskan amalan itu mudah-mudahan kita menjadi orang yang istiqamah. Kepada sahabat-sahabat penulis yang berada di perantauan, janganlah bersedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta kerana anda semua bukannya keseorangan beraya di sana. InsyaAllah kalau ada rezeki tahun-tahun akan datang sahabat-sahabat pasti akan dapat beraya bersama keluarga di Malaysia. Akhirnya, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri 1430 Maaf Zahir & Batin di atas segala ketelanjuran diri yang serba kekurangan. Sama-samalah doakan agar kita semua dipanjangkan umur di dalam keimanan dan dipertemukan dengan bulan Ramadhan yang akan datang. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

1 Syawal 1430 - 20 September 2009

No response to “Maafkanlah !!!”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...