Tuesday, September 15, 2009

Musibah @ Ujian


Sahabat pembaca yang dirahmati Allah sekalian, setiap dari kita tidak lepas daripada ujian dan musibah yang diberikan oleh Allah kepada kita. Tidak kira apa bentuk ujian tersebut sama ada besar mahupun kecil kita tidak dapat lari daripadanya. Para Anbiya’ Allah juga diuji dengan berbagai-bagai ujian ketika mereka menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Begitu juga dengan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Ujian yang Baginda tempuhi terlalu banyak. Baginda dicaci, dihina, dipukul dan sampai ke satu tahap ingin dibunuh oleh puak-puak kuffar. Itu merupakan sebahagian ujian @ musibah yang ditempuhi oleh Baginda sepanjang dakwah Baginda, demi melihat Islam tersebar di muka bumi Allah ini. Sedangkan Nabi Muhammad yang merupakan kekasih Allah pun diuji, apatah lagi kita insan biasa ini sudah semestinya akan diuji oleh Allah tetapi ujian yang kita hadapi tidaklah seberat ujian yang dihadapi oleh para Anbiya’ Allah. Artikel kali ini penulis ingin kongsi bersama pembaca semua bagaimana cara ataupun tip untuk meringankan tekanan apabila ditimpa ujian atau musibah yang penulis ambil daripada majalah Solusi agar kita dapat menghadapi musibah @ ujian itu dengan sebaiknya. Antaranya:

1- Penghapusan Dosa
Ingatlah bahawa ujian atau tekanan yang berlaku itu bertujuan menghapuskan dosa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud “Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan dosa), dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu”.

2- Meningkatkan Darjat
Ingatkan hati bahawa musibah itu akan menyebabkan seseorang mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

3- Mengingati Allah
Menjadi kelaziman manusia lebih kerap mengingat Allah semasa ditimpa kesusahan berbanding semasa dalam keadaan bahagia.

4- Mensyukuri Nikmat
Bayangkan nikmat-nikmat yang telah diberikan Allah s.w.t. sebelum ini daripada terus meratapi musibah yang dihadapi

5- Berasa Ujian Kita Lebih Ringan
Mengingatkan diri bahawa ujian yang diterima oleh kita terlalu kecil berbanding apa yang menimpa orang lain, malah penderitaan orang lain itu jauh lebih berat daripada apa yang sedang dideritai oleh kita.

6- Allah Menyayangi Kita
Ujian yang berlaku merupakan tanda Allah cinta kepada hambaNya. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “ Barang siapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, maka akan diberikan cubaan padanya “.

Cara untuk menghadapi musibah @ ujian antaranya :

1- Membaca Al-Quran dan Mentadabbur Maknanya.

2- Memperbayakkan Taubat dan Istigfar.

3- Taqarrub kepada Allah.

4- Bersangka Baik Terhadap Allah

5- Tawakkal kepada Allah

Itulah sedikit sebanyak yang ditulis di dalam majalah Solusi yang boleh penulis kongsikan bersama pembaca semua. Ingatlah para pembaca semua, semakin besar ujian @ musibah yang dihadapi, semakin besarlah nilai pahala di sisi Allah s.w.t. Allahlah yang telah menciptakan kita, dan Dialah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Oleh itu, janganlah kita mengeluh setiap kali ditimpa musibah sebaliknya bersangka baiklah dengan Allah. Mungkin ini salah satu cara untuk kita lebih mengingati Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Firman Allah yang bermaksud “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”. Carilah hikmah di sebalik setiap ujian yang melanda diri. Pasti ada ganjaran yang ingin Allah berikan kepada kita. Yakinlah!!! Untuk akhirnya, sama-samlah kita berdoa agar kita menjadi orang-orang yang sentiasa redho dengan ketentuan Allah s.w.t dan tidak mengeluh di atas ujian yang menimpa diri. Amin ya Rabb Al-‘Alamin

Sumber Rujukan: Majalah Solusi


25 Ramadhan 1430 – 15 September 2009

No response to “Musibah @ Ujian”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...