Saturday, September 5, 2009

Peluang Keemasan


Bismillahirrahmanirrahim..

Sudah sekian lama penulis tidak menulis artikel untuk dimuatkan di dalam teratak yang sudah agak usang dan dipenuhi dengan sarang labah-labah juga berdebu ini dek kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Ikutkan hati memang berkeinginan untuk terus menghidupkan teratak ini dengan hiasan-hiasan artikel tetapi apakan daya. Alhamdulillah pada kali ini Allah memberi ruang kepada penulis untuk berkarya kembali tetapi mungkin tidak seaktif sahabat seperjuangan penulis yang dikenali sebagai pejuang kecil salah seorang blogger terkenal tanah air. Walau bagaimanapun penulis akan mencuba.

Alhamdulillah pada tahun ini Allah s.w.t sekali lagi memberi kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan. Bulan yang mana dinanti-nantikan kedatangannya oleh seluruh umat islam pada setiap tahun. Bulan rahmat, bulan keampunan, bulan pesta ibadah dan bermacam-macam lagi nama yang dikaitkan dengan bulan ini. Tetapi bukan itu yang menjadi persoalannya di sini. Apa yang ingin penulis lontarkan agar sama-sama kita dapat koreksi kembali diri kita ialah adakah kita telah merebut peluang semaksima mungkin yang diberikan hanya setahun sekali oleh Allah s.w.t ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan yang diredhoi olehNya pada bulan ini. Adakah kita telah menjaga adab-adab semasa berpuasa untuk membolehkan puasa itu diterima oleh Allah atau kita hanya sekadar berlapar dan dahaga tanpa puasa itu diterima? Adakah kita telah berjaya untuk menundukkan nafsu yang selama ini dibantu oleh syaitan laknatullah untuk mengheret anak cicit nabi Adam ke lembah kemaksiatan?

Inilah persoalan-persoalan yang ingin diajukan terutama kepada penulis sendiri khususnya dan pembaca semua amnya. Jika jawapannya ya Alhamdulillah. Tetapi sekiranya tidak jawapannya maka ayuhlah sama-sama kita mengisi Ramadhan yang hanya berbaki lebih kurang 15 hari ini dengan melakukan ibadah puasa dengan sebaiknya beserta menjaga segala pantang larang yang boleh membatalkan puasa. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai bulan tarbiah untuk kita mendidik nafsu yang liar dan memandu ia ke arah kebaikan agar ia sentiasa tunduk akan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Penuhilah hari-hari kita di bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan membaca al-quran, berzikir, bersedekah dan amalan-amalan kebajikan yang lain. Setiap amalan yang dilakukan di dalam bulan ini pahalanya akan digandakan oleh Allah s.w.t berbanding bulan-bulan yang lain. Inilah keistimewaan bulan Ramadhan yang juga menjadi penghulu segala bulan.

Sama-samalah kita mengutip sebanyak mungkin hidangan berupa rahmat, keampunan serta pelepasan dari api neraka yang Allah ingin berikan kepada kita sekiranya kita ikhlas melakukan ibadah keranaNya. Jangan kita lepaskan peluang keemasan ini. Nabi Muhammad s.a.w bersabda di dalam hadis dia yang bermaksud

“ Amat sia-sia dan rugi mereka yang melalui Ramadhan namun tidak mendapat keampunan”.

Allah juga berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud

“ Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

Janganlah biarkan Ramadhan kali ini berlalu pergi tanpa kita mendapat keampunan dan rahmat dari Allah. Bangunlah wahai insan semua dan lakukan ibadah sebanyak dan seikhlas mungkin. Mudah-mudahan segala ibadah yang kita lakukan ini dapat menjadikan kita orang yang bertakwa kepada Allah dan mendapat keampunan dariNya. Dan semoga ianya (ibadah) berterusan hingga ke akhir hayat dan bukanlah sekadar dilakukan di dalam bulan ini sahaja. Sama-samalah kita berdoa agar sentiasa istiqomah di dalam melakukan ibadah kepadaNya. Amin ya Rabb al-Alamin.

Akhir kata penulis mengucapkan Selamat Menjalankan Ibadah Puasa serta ibadah-ibadah yang lain dengan penuh keimanan serta keinsafan. Sekian...

15 Ramadhan 1430 - 5 September 2009

No response to “Peluang Keemasan”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...