Monday, September 7, 2009

Petunjuk Sekalian Alam


Al-Quran adalah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan perantaraan Jibril ‘alaihissalam. Dimulakan dengan surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan surah An-Nas. Membacanya merupakan ibadah. Dan merupakan mukjizat Nabi Muhammad yang paling besar dan paling agung. Itulah makna ataupun definasi Al-Quran.

Tanggal 17 Ramadhan pastinya akan diingati oleh umat islam di seluruh dunia kerana pada tanggal ini telah menyaksikan kepada kita semua sejarah penurunan Al-Quran yang menjadi petunjuk dan rahmat untuk sekalian alam. Ia merupakan mukjizat paling besar dan agung yang dikurniakan Allah kepada kekasihNya junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran bukanlah diturunkan sekadar untuk dibaca atau didengari bahkan lebih dari itu. Ia hendaklah dijadikan panduan dan pedoman sepanjang hayat.

Satu-satunya peneman yang paling setia apabila kita berada di dalam kubur nanti adalah Al-Quran. Ia juga yang akan memberi syafaat kepada kita di padang mahsyar kelak. Tempat yang penuh sesak dengan jutaan manusia. Masing-masing cemas dan gelisah menunggu untuk diadili oleh Allah s.w.t sama ada akan ke syurga ataupun neraka. Selain Nabi Muhammad yang diberi keizinan oleh Allah untuk memberi syafaat kepada umat manusia pada hari tersebut, Al-quran juga akan menjadi syafaat untuk kita nanti di sana sepertimana sabda Rasulullah di dalam hadisnya yang bermaksud

“Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya dia (Al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat untuk pembacanya”.

Kedua-dua ini bergantung sejauh mana keakraban kita bersama dengan Al-Quran untuk menjadi penyebab kita mendapat keistimewaan ini. Setiap huruf dari Al-Quran yang kita baca akan mendapatkan 10 ganjaran/kebaikan. 1 ayat sahaja sudah mengandungi berapa huruf? Cuba bayangkan sekiranya banyak yang kita baca dari Al-Quran itu, makin bertambahlah pahala dan ganjarannya. Bacalah Al-Quran siang dan malam serta tadabburlah makna dan isinya agar kita memahinya. Apabila kita memahami isi-isi yang terkandung di dalam Al-Quran maka secara otomatik kita akan mengamalkan apa yang diperintahkan Allah di dalamnya serta takut untuk melakukan dosa kepada Sang Pencipta tidak kira siapa pun sama ada pemimpin mahupun rakyat. Dek kerana kita kurang mengambil endah untuk memahami ayat-ayat Al-Quran itulah yang menjadi penyebab banyaknya berlaku kemungkaran di atas muka bumi ini. Janganlah menunding jari ke arah sesiapa pun tentang masalah ini sebaliknya tanyalah pada diri kita sendiri sama ada kita telah berusaha untuk memahami Al-Quran ataupun tidak. Jika mahu melahirkan masyarakat yang berjiwa Al-Quran, ayuhlah sama-sama kita berusaha untuk memahami Al-Quran bermula dengan diri kita, keluarga dan seterusnya masyarakat seluruhnya.

Asuhlah anak-anak kita membaca Al-Quran sejak mereka kecil lagi agar jiwa mereka sebati dengan Al-Quran seterusnya membolehkan mereka berakhlak dengan akhlak Al-Quran dan bukanlah berakhlak dengan akhlak yang ada pada remaja masa kini yang kebanyakkan telah rosak akibat meminggirkan Al-Quran. Budayakanlah Al-Quran di mana sahaja kita berada. Ajaklah keluarga, sahabat, dan jiran kita agar sama-sama dapat membudayakan Al-Quran di dalam kehidupan seharian kita semua. Jadikanlah ia amalan harian sebagaimana kita memerlukan air setiap hari begitulah juga kita memerlukan Al-quran setiap hari, waktu dan ketika. Terutama kepada Hamlatul Quran (Penghafaz Al-Quran) termasuklah penulis, hendaklah selalu mengulang Al-Quran agar tidak lupa. Ingat tu sahabat-sahabat seperjuangan!!! Jangan nanti Al-Quran yang sepatutnya menjadi syafaat bagi kita tetapi melaknat kita kerana tidak menjaga hafalan dengan sebaiknya. Na'uzubillah min zalik. Hiduplah kita semua dengan berpandukan Al-Quran mudah-mudahan kita selamat di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah menjadikan kita orang-orang yang selalu mendekati, membaca dan mentadabbur Al-Quran agar kita beroleh kebahagiaan di akhirat kelak sekaligus mendapatkan syurga Allah s.w.t. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

17 Ramadhan 1430 – 7 September 2009

No response to “Petunjuk Sekalian Alam”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...