Sunday, October 4, 2009

Undang-undang


Alhamdulillah semalam penulis telah selesai mengikuti kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) selama 5 jam. Lama juga kursus ni ya. Seramai 24 orang yang telah turut serta bersama penulis mengikuti kursus ini. Dalam kursus itu diterangkan berbagai-bagai perkara yang berkaitan dengan pemanduan. Penulis begitu tertarik dengan cara penyampaian ceramah oleh Puan Khadijah kalau tak silap la, selaku penceramah yang begitu bersemangat menyurahkan ilmu-ilmu berkaitan pemanduan kepada kami. Walaupun ada ketika bahasa-bahasa yang digunakannya agak kasar, tetapi penulis menganggap ia sebagai peringatan yang berguna kepada bakal-bakal pemandu. Contohnya “Jangan jadi sombong bodoh, tidak tahu sesuatu tetapi tidak mahu bertanya” itu antara ungkapan yang sempat penulis recordkan di dalam kepala. Kami diberitahu sedikit sebanyak mengenai peranan papan-papan tanda yang berada di sepanjang jalan. Juga kami diajar satu perkataan DADA yang disingkatkan daripada 1-Define (mengenal pasti) 2- Analyse (menganalisa) 3-Dicide (buat keputusan) 4-Act (bertindak). Perkataan ini perlu digunakan apabila menemui sesuatu halangan ketika memandu dan perlu sentiasa mengamalkannya. Itu pesan penceramah kepada kami. Penceramah juga menerangkan tentang undang-undang jalan raya.

Apabila sebut mengenai undang-undang, ke mana pun yang kita pergi ada undang-undang . Bukan sekadar di sekolah, hospital, pejabat sahaja. Bahkan di mana-mana . Di jalan raya pun ada undang-undang. Dan setiap undang-undang itu perlu kita patuhi supaya kita selamat apabila berada di situ. Tetapi sebaliknya apabila kita tidak memahami peraturan itu maka dengan sendiri kita akan melanggarnya. Lebih buruk lagi padahnya sekiranya kita tahu akan peraturan itu tetapi tetap juga tidak mematuhinya maka ianya mengundang masalah yang besar. Sekiranya di jalan raya kita tidak mematuhi undang-undang jalan raya maka kemungkinan besar kita akan kemalangan ataupun paling tidak disaman oleh penguatkuasa. Itu sebabnya kita perlu mempelajari dan memahami undang-undang jalan raya, untuk mengelakkan dan menyelamatkan kita dari sebarang kecelakaan.

Begitu juga dengan dunia yang menjadi jambatan untuk kita menuju akhirat kelak, juga tidak lepas dari undang-undangnya yang tersendiri yang boleh penulis kaitkan di sini untuk peringatan kita bersama. Ianya bukan dicipta oleh polis, jpj, saintis ataupun profeser, tetapi ia adalah dari pemilk sekalian alam yang maha Agung iaitu Allah s.w.t. Undang-undang itu termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah. Kalau Allah kata haram judi, minum arak, makan khinzir, riba, dan rasuah maka ianya tetap haram. Itu undang-undang Allah dan undang-undang Allah perlu dipatuhi seratus-peratus. Bukan hanya dipatuhi 50% sahaja. Firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 49 yang bermaksud

“ Dan hendaklah engkau menjalankan hukum Allah di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan engkau dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jka mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakkan dari umat manusia itu adalah orang-orang fasik”.

Sekiranya kita tidak tahu, maka itu perlunya kita belajar dan bertanya kepada yang tahu. Bukan sekadar duduk bersahaja dan langsung tidak ada usaha untuk memahaminya. Firman Allah lagi di dalam surah Al-A'raf ayat 179 yang bermaksud

“Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak (mahu) memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak (mahu) melihat dengannya (bukti-bukti keesaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak (mahu) mendengar dengannya (ajarandan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Bagi yang tahu pula hendaklah patuh akan undang-undang itu serta melaksanakan ia. Jangan sampai kita ditimpakan bala oleh Allah dek kerana tidak mahu menghiraukanya. Takutlah seksa azab Allah yang mengerikan itu!!! Oleh itu, kita yang memimpin sama ada di peringkat keluarga, persatuan apatah lagi pemimpin negara sewajibnya kita melaksanakan undang-undang ataupun dalam kata lain hukum-hukum Allah dengan sebaiknya, agar kita menjadi masyarakat yang bersih dan suci dari segala najis kekotoran serta selamat di dunia dan di akhirat nanti. Patuhlah juga kepada undang-undang jalan raya dan sebagainya selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara’ agar tidak berlaku kecelakaan kepada kita mahupun orang lain. Akhirnya, doakan penulis agar lulus semua ujian untuk mendapatkan lesen memandu ini. Masih ada 2 lagi ujian yang penting. Ujian berkomputer dan ujian JPJ. Nanti kalau dah ada lesen boleh buat bakti pada orang tua. Hantar mak pergi pasar atau mana-manalah. Jadi second driver kalau berjalan jauh. Banyak la juga manfaatnya. Lepas ini tak payah susahkan orang lain untuk hantar ke sesuatu tempat. Doakanlah juga mudah-mudahan kita semua dapat menjadi orang yang patuh pada undang-undang terutama undang-undang Allah s.w.t. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

15 Syawal 1430 – 4 Oktober 2009

No response to “Undang-undang”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...