Sunday, January 24, 2010

Peliharalah Allah !!!


Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Taala kerana masih memberi peluang kepada kita untuk berada dalam kenikmatan iman dan islam. Penulis mencuri sedikit masa untuk berkarya walaupun masih lagi dalam fatrah imtihan. Berbaki lagi 2 madah untuk dihabiskan. Untuk kali ini penulis ingin berkongsi bersama sahabat para pembaca semua mengenai suatu kisah yang telah pun penulis baca sebelum ini. Semoga para pembaca semua dapat mengambil intipati dari kisah ini. Kisahnya begini.

Ada seorang lelaki pergi ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambut dan janggutnya.
Apabila tukang gunting itu memulakan tugasnya, mereka pun berborak dan bercakap mengenai banyak perkara.Tapi bila mereka mula berbicara mengenai Allah, tukang gunting itu pun berkata, “Saya tak percaya Allah itu wujud”.

“Kenapa kamu kata begitu?” Tanya si lelaki tadi.

“Cuba kamu keluar di tengah jalan itu dan tunjukkan pada saya bahawa Allah itu wujud. Kalau betul Allah wujud, kenapa ramai sangat orang sakit kat luar tu? Kenapa masih ada kanak-kanak yang terbiar? Kalau betul Allah wujud, dah tentu tiada kesakitan dan keperitan hidup dalam dunia ni. Saya tak dapat bayangkan Allah yang Maha Penyayang boleh membenarkan semua ini berlaku”.

Si lelaki itu pun berfikir sejenak. Tapi dia tidak memberi sebarang jawapan kerana tidak mahu memulakan pertengkaran. Selepas tukang gunting itu menghabiskan tugasnya, si lelaki tadi pun pergi.

Selepas beberapa langkah, si lelaki tadi ternampak seorang lelaki berambut panjang, selekeh, kotor dan janggutnya tidak terurus. Si lelaki tadi pun berpatah balik dan pergi semula ke kedai gunting rambut tadi dan berkata, “ Kamu tahu tak yang sebenarnya tukang gunting juga tidak wujud?”

“Kenapa kamu kata begitu? Sedangkan saya baru sahaja menggunting rambut kamu tadi” kata tukang gunting.

“Tidak!” Kata si lelaki tadi. “Kalau tukang gunting wujud, dah tentu tidak ada orang yang berambut panjang, kotor, selekeh serta janggut yang tidak terurus macam lelaki di tepi jalan itu”.

“Ah! Tukang gunting memang wujud! Lelaki tu jadi macam itu sebab dia tidak datang pada saya untuk menggunting rambutnya!” Kata tukang gunting. “Tepat sekali!”. Kata si lelaki tadi.

“ That's the point!!! Allah juga wujud. Itulah yang terjadi (keperitan & penderitaan) jika manusia tidak mengingatinya dan kembali padanya untuk memohon pertolongan”.

Begitulah kisahnya. Sahabat, kita semua ini adalah insan yang lemah dan perlukan kepada pertolongan. Kepada siapa kita perlu meminta dan memohon??? Tentulah kepada Allah yang menciptakan kita semua. Setiap kesukaran dan kepayahan yang kita hadapi pasti ada jalan keluarnya. Apa yang penting ialah, kita perlu sentiasa berdampingan dengan Allah kerana Nabi bersabda yang bermaksud:

“Peliaharalah Allah, kamu akan dapatiNya berada di depanmu. Kenalilah (ingatilah) Allah ketika kamu berada dalam kesenangan, nescaya Dia akan mengenalimu (mengingatimu) ketika kamu dalam kesusahan. Dan ketahuilah sesungguhnya sesuatu yang ditetapkan tidak mengenaimu, tidak sekali-kali akan menimpamu. Dan apa-apa yang telah akan mengenaimu, kamu sekali-kali tidak akan terlepas daripadanya. Ketahuilah sesungguhnya kemenangan bersama kesabaran dan kelapangan bersama kesusahan. Sesungguhnya berserta kesukaran itu ada kemudahan.”

Allah sentiasa berada bersama kita. Cuma kita yang selalu ingin lari dan menjauhkan diri dari Allah Taala. Sahabat, jaga dan peliharalah hubungan kita dengan Allah dengan cara kita menjalankan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang bertakwa. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

9 Safar 1431 - 24 Januari 2010

Monday, January 18, 2010

Salam Imtihan


Imtihan fasa pertama bagi Kuliah Al-Quran dan Qiraat Universiti Al-Azhar Tanta telah pun membuka tirainya semalam. Bagi penulis yang menduduki tahun pertama telah pun selesai menjawab 1 madah (Aswat & Lahjat). Alhamdulillah soalan agak mudah untuk dijawab bagi mereka yang telah menghadamkan madah ini dengan sebaiknya insyaAllah. Tetapi bagi mereka yang kurang bersungguh, jawapannya adalah sebaliknya. Itu adalah perkara yang biasa berlaku ketika imtihan. Kesimpulannya, bagi mereka yang inginkan kejayaan, hendaklah bersungguh-sungguh. Berbaki lagi 5 madah untuk diselesaikan. Semoga dipermudahkan oleh Allah untuk menjawab 5 madah lagi. Oleh itu penulis menitipkan di sini ungkapan-ungkapan oleh seorang blogger yang amat baik untuk kita semua tatapi. Mudah-mudahan ungkapan yang sama kita panjatkan ke hadrat Ilahi InsyaAllah. Hayati dan amalkanlah.

Ya Allah... dengan kebesaranMu yang di bawa bersama kalimah basmallah. Kami memohon kejayaan yang hakiki. Yakni kejayaan dari sisiMu.

Sesungguhnya, Engkau lebih mengetahui erti kejayaan dari diri kami yang kerdil ini. Malah, telah Kau tetapkan segalanya yang terbaik untuk kami.

Sekiranya kejayaan dalam peperiksaan kali ini merupakan sebahagian dari rezeki kami, janganlah dengan kejayaan itu, ia menjauhkan kami dariMu..

Sekiranya kegagalan dalam peperiksaan ini merupakan satu ujian untuk kami, maka Kau teguhkanlah hati kami. Moga dengan kegagalan itu, kami lebih dekat denganMu. Kerana tidak ada yang lebih mengetahui sesuatu melainkan Engkau.

Ya Allah... telah kami berusaha, namun mungkin segala usaha kami tidaklah sehebat sesetengah dari kami yang lain. Ada tikanya kami terlalai dari tanggungjawab kami. Moga Kau maafkan kealpaan kami. Telah juga kami berdoa, dan Engkau jualah Yang Maha Mendengar. Dan akhirnya kami bertawakal kepadaMu. Moga pilihan kami sentiasa merupakan pilihan terbaik buat diri kami.

Sesungguhnya telah Kau bentangkan dua jalan untuk kami. Dan tiada yang ketiga, tiada juga yang di tengah. Maka Kau tetapkanlah hati ini untuk sentiasa memilih jalan yang lurus. Jalan yang membawa kebaikan kepada kami. Kebaikan dalam erti kata kejayaan hakiki. Tidak hanya dunia yang sementara. Tetapi akhirat yang selamanya itu yang lebih utama.

Ya Allah... Kau tidak pernah menzalimi hambaMu walau seberat zarah sekalipun. Dan tidak pernah Kau bebankan hambaMu dengan bebanan yang tidak dapat hambaMu pikul. Maka dengan itu,

Kau tunjukkanlah kami,
Kau bimbinglah kami,
Kau terangilah kami, jalan-jalan untuk kami menuju ke syurgaMu.
Jadikanlah kejayaan dalam peperiksaan kali ini satu batu loncatan buat kami menegakkan agamaMu. Dan janganlah Kau lalaikan kami dengan kejayaan itu, setelah kami diberikan kejayaan. Moga kami semua terus thabat dalam memperjuangkan agamaMu. Tetapkanlah hati-hati kami di atas agamaMu, dan di atas ketaatan kepadaMu, dan di atas jihad pada jalanMu.

Amin...amin...amin...
Amin ya Rabb Al- ‘Alamin...

Untuk akhirnya, penulis mengingatkan diri sendiri khususnya dan sahabat-sahabat yang menduduki imtihan, rajin-rajinlah study demi mencapai kejayaan di dalam imtihan. Dan jangan berniat study semata-mata untuk meluluskan diri kita dalam imtihan. Tetapi biarlah apa yang kita study itu kita mendapat ilmu daripadanya, dan dapat amalkan ilmu itu seterusnya dapat kongsikan ilmu yang kita ada dengan orang lain insyaAllah. Usaha+doa+tawakkal insyaAllah kejayaan pasti dalam genggaman. Sama-sama kita doakan kejayaan bersama. Amin Ya Rabb Al-‘Alamin.

Jadual Imtihan :

17/1 : Aswat & Lahjat
19/1 : Manahij Mufassirin
22/1 : Tarikh Mashaf
24/1 : ‘Ijaz Al-Quran
26/1 : Tarikh Ilmu Qiraat
28/1 : English

# Doakan penulis dan sahabat-sahabat yang lain agar dipermudahkan untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan seterusnya dikurniakan kejayaan oleh Allah di dalam imtihan ini.

# Selamat Hari Lahir yang ke-29 (kalau tak silap) kepada kak Mardiyah Zarifah yang menyambutnya semalam 17/1. Moga bertambah keimanan, dan berbahagia bersama abg Mokhzani dan Safiyyah.

# Copyright from : (klik sini)

3 Safar 1431 - 18 Januari 2010

Wednesday, January 13, 2010

Masa dan Kita


Masa cukup pantas berlalu dan terus berlalu meninggalkan kita tanpa sesaat pun menunggu kita. Setiap saat yang berlalu pergi, jika tidak dimanfaatkan akan merugikan setiap daripada kita. Mereka yang leka sekiranya tidak beringat dan diingatkan akan terus dilekakan dengan keasyikan dunia selari dengan kehendak hawa nafsu berbantuankan hasutan syaitan yang dari saat nabi Adam diciptakan telah bersumpah dengan Allah untuk menyesatkan anak cucu nabi Adam. Sepertimana yang telah tercatat di dalam surah Al-‘Araf ayat 16-17 :

“(Iblis) menjawab, “Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan ,dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur.”

Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menghasut kita, cuma kita sahaja yang selalu termakan dengan hasutan syaitan. Pernah juga timbul persoalan di hati kenapa kita selalu kalah dengan hasutan syaitan?? Bukannya kita tidak mampu untuk melawan, kita mampu sebenarnya. Cuma kita sendiri yang membenarkan diri kita untuk kalah dengan hasutan syaitan. Kalau tidak, tiadalah orang yang bernama ulama’ yang hidup di muka bumi ini. Tapi kenapa masih ada lagi ulama’ yang sentiasa mengingatkan kita dari kelalaian. Ini kerana mereka semua mampu untuk melawan hasutan dan bisikan syaitan. Dan mereka juga sentiasa menjaga hubungan mereka dengan Sang Pencipta. Firman Allah di dalam surah Al-‘Asr ayat 1-3 yang bermaksud :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Manusia memang berada di dalam kerugian. Selagi mana masa yang mereka peruntukkan itu ke arah kemaksiatan dan ke arah benda yang tidak membawa kepada keredhoan Allah. Berlainan pula bagi mereka yang menggunakan masa untuk menuju mardhotillah. Maka mereka akan terkeluar dari kelompok manusia-manusia yang rugi.

Oleh itu, gunakanlah masa 24 jam sehari yang diperuntukkan untuk kita dengan sebaiknya. Kita diberikan akal oleh Allah supaya kita dapat berfikir baik buruk sesuatu perkara. Akal pula perlu kepada ilmu yang mana ianya mampu untuk menyalurkan kita ke arah yang diredhoi Allah. Berusahalah untuk melawan hasutan dan bisikan syaitan. Hasutan syaitan adalah lemah sepertimana yang termaktub di dalam surah An-Nisa’ ayat 76 yang bermaksud :

“Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

Percayalah sahabat-sahabat, kita mampu untuk melawan hasutan syaitan. Apa yang perlu ialah dengan meningkatkan keimanan kita kepada Allah. InsyaAllah Allah akan membantu dan sentiasa bersama kita sekiranya kita selalu mengingati dia. Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud :

“Oleh itu,ingatlah kamu kepada Aku (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada Aku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk mengahadapi susah payah menyempurnakan sesuatu perintah Allah) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang bersabar.”

Sebagai akhirnya, sama-samalah kita ingat memperingati antara satu sama lain. Agar kita tidak terleka ataupun terlalai. Penuhilah masa kita sebaik yang mungkin. Jangan biarkan diri kita dihasut oleh syaitan dan membiarkan masa berlalu pergi tanpa kita memanfaatkannya. Juga sama-samalah kita memohon supaya kita semua sentiasa mendapat bimbingan dan petunjuk dari Allah agar kita tidak termasuk di dalam golongan orang-orang yang disebut sebagai ‘Khosirin” (orang-orang yang rugi) dan dijauhkan oleh Allah dari syaitan –syaitan durjana. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

# Wahai sahabat-sahabat penulis yang dikasihi, ingatkanlah penulis sekiranya penulis terleka ataupun terlalai. Sama-samalah kita ingat memperingati. Jangan biarkan diri kita hanyut dalam kelalaian.

# Selamat Hari Lahir yg ke-27 (kalau tak silap) kepada kak Maizatul hari ini yang bertarikh 13 /1. Moga panjang umur dalam keimanan dan semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati kak dan abg Faisal.

27 Muharram 1431 – 13 Januari 2010

Saturday, January 9, 2010

Hidayah & Keberkatan


Dengan lafaz bismillah penulis menggerakkan jari jemari untuk berkarya setelah lama membiarkan jari jemari ini direhatkan dari berkarya. Alhamdulillah ucapan syukur ke hadrat Ilahi penulis panjatkan, kerana pada pagi yang agak sejuk ini Allah menguatkan penulis untuk bangun awal mengerjakan solat subuh berbanding hari-hari yang sebelumnya. Tapi agak sedih kerana tidak dapat berjemaah di masjid. Jadi pahala jemaah dah melepas. Tinggallah satu pahala. Itupun sekiranya khusyu’ dalam solat. Bukannya mudah untuk mencapai khusyu’ dalam solat. Tapi apepun penulis mengharapkan agar solat yang dilakukan tadi diterima oleh Allah.

Pagi-pagi lagi kita sudah diajar untuk memohon hidayah dari Allah sepertimana yang kita baca dalam surah Al-Fatihah ayat 6-7 yang bermaksud :

“Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu (jalan orang-orang yang telah engkau beri nikmat kepadanya)”

Firman Allah lagi di dalam surah An-Nisa' ayat 69 :

“Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul(Muhammad), maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah, iaitu (para nabi,para pecinta kebenaran, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Merekalah teman yang sebaik-baiknya.”

Di dalam doa qunut pun kita minta lagi hidayah dari Allah. Ini menunjukkan betapa pentingnya mohon hidayah dari Allah kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada hari-hari yang dilalui. Mudah-mudahan dengan hidayah yang kita pohonkan dari Allah, hari yang bakal dilalui diterangi cahaya hidayah dan keberkatan oleh Allah. Sekiranya kita minta kepada Allah dengan penuh pengharapan,insyaAllah Allah akan makbulkan. Berdasarkan firman Allah di dalam surah Ghofir ayat 60:

“Dan Tuhanmu berfirman , Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu”

Selalunya selepas solat subuh, apa yang kita lakukan? Baca Al-Quran, baca buku, memasak, basuh kain ataupun tidur?? Semua itu terpulang pada diri masing-masing. Tapi apa yang boleh penulis kongsikan berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud

“Ya Allah, berikan keberkatan kepada umatku di waktu pagi mereka”

Nabi mendoakan agar diberi keberkatan kepada mereka yang memanfaatkan pagi mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Doa nabi sentiasa dimakbulkan oleh Allah kerana Nabi kekasih Allah. Maka sesiapa yang inginkannya maka manfaatkanlah pagi hari anda dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menyumbang kepada kebaikan sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Bab tidur lepas subuh ni sebaiknya dielakkan. Carilah aktiviti lain untuk dilakukan. Sekiranya mengantuk juga, apa boleh dibuat. Itu sebabnya malam perlu tidur awal, agar bila bangun pagi tidak rasa mengantuk lagi. So, aturkanlah masa kita sebaik mungkin, agar perkara sedemikian tidak berlaku. Kalau setiap perkara yang kita lakukan serba tidak kena, salah satu puncanya ialah, hilangnya keberkatan dalam hidup. Oleh itu sama-samalah kita memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa. Jaga solat terutamanya solat subuh.Juga hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia. InsyaAllah keberkatan akan sentiasa dikurniakan kepada kita.

Sebelum penulis mengakhiri artikel ini, penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Along. Semoga panjang umur dalam keimanan dan sentiasa diberi kesihatan oleh Allah. Semoga bahagia di samping suami dan anak-anak. Juga buat kak Mardiyah yang akan sambut hari lahir pada 17/1 dan kak Maizatul pada 13/1 dengan ucapan yang sama. Tidak lupa juga buat kak Intan yang telah menyambut hari lahir pada 1/1. Semoga ikatan persaudaraan kita semua berkekalan dunia dan akhirat. Untuk akhirnya, sama-samalah kita doakan agar kita semua sentiasa mendapat hidayah dan keberkatan dari Allah. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

23 Muharram 1431 - 9 Januari 2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...