Saturday, January 9, 2010

Hidayah & Keberkatan


Dengan lafaz bismillah penulis menggerakkan jari jemari untuk berkarya setelah lama membiarkan jari jemari ini direhatkan dari berkarya. Alhamdulillah ucapan syukur ke hadrat Ilahi penulis panjatkan, kerana pada pagi yang agak sejuk ini Allah menguatkan penulis untuk bangun awal mengerjakan solat subuh berbanding hari-hari yang sebelumnya. Tapi agak sedih kerana tidak dapat berjemaah di masjid. Jadi pahala jemaah dah melepas. Tinggallah satu pahala. Itupun sekiranya khusyu’ dalam solat. Bukannya mudah untuk mencapai khusyu’ dalam solat. Tapi apepun penulis mengharapkan agar solat yang dilakukan tadi diterima oleh Allah.

Pagi-pagi lagi kita sudah diajar untuk memohon hidayah dari Allah sepertimana yang kita baca dalam surah Al-Fatihah ayat 6-7 yang bermaksud :

“Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu (jalan orang-orang yang telah engkau beri nikmat kepadanya)”

Firman Allah lagi di dalam surah An-Nisa' ayat 69 :

“Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul(Muhammad), maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah, iaitu (para nabi,para pecinta kebenaran, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Merekalah teman yang sebaik-baiknya.”

Di dalam doa qunut pun kita minta lagi hidayah dari Allah. Ini menunjukkan betapa pentingnya mohon hidayah dari Allah kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada hari-hari yang dilalui. Mudah-mudahan dengan hidayah yang kita pohonkan dari Allah, hari yang bakal dilalui diterangi cahaya hidayah dan keberkatan oleh Allah. Sekiranya kita minta kepada Allah dengan penuh pengharapan,insyaAllah Allah akan makbulkan. Berdasarkan firman Allah di dalam surah Ghofir ayat 60:

“Dan Tuhanmu berfirman , Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu”

Selalunya selepas solat subuh, apa yang kita lakukan? Baca Al-Quran, baca buku, memasak, basuh kain ataupun tidur?? Semua itu terpulang pada diri masing-masing. Tapi apa yang boleh penulis kongsikan berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud

“Ya Allah, berikan keberkatan kepada umatku di waktu pagi mereka”

Nabi mendoakan agar diberi keberkatan kepada mereka yang memanfaatkan pagi mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Doa nabi sentiasa dimakbulkan oleh Allah kerana Nabi kekasih Allah. Maka sesiapa yang inginkannya maka manfaatkanlah pagi hari anda dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menyumbang kepada kebaikan sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Bab tidur lepas subuh ni sebaiknya dielakkan. Carilah aktiviti lain untuk dilakukan. Sekiranya mengantuk juga, apa boleh dibuat. Itu sebabnya malam perlu tidur awal, agar bila bangun pagi tidak rasa mengantuk lagi. So, aturkanlah masa kita sebaik mungkin, agar perkara sedemikian tidak berlaku. Kalau setiap perkara yang kita lakukan serba tidak kena, salah satu puncanya ialah, hilangnya keberkatan dalam hidup. Oleh itu sama-samalah kita memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa. Jaga solat terutamanya solat subuh.Juga hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia. InsyaAllah keberkatan akan sentiasa dikurniakan kepada kita.

Sebelum penulis mengakhiri artikel ini, penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Along. Semoga panjang umur dalam keimanan dan sentiasa diberi kesihatan oleh Allah. Semoga bahagia di samping suami dan anak-anak. Juga buat kak Mardiyah yang akan sambut hari lahir pada 17/1 dan kak Maizatul pada 13/1 dengan ucapan yang sama. Tidak lupa juga buat kak Intan yang telah menyambut hari lahir pada 1/1. Semoga ikatan persaudaraan kita semua berkekalan dunia dan akhirat. Untuk akhirnya, sama-samalah kita doakan agar kita semua sentiasa mendapat hidayah dan keberkatan dari Allah. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

23 Muharram 1431 - 9 Januari 2010

No response to “Hidayah & Keberkatan”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...