Sunday, January 24, 2010

Peliharalah Allah !!!


Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Taala kerana masih memberi peluang kepada kita untuk berada dalam kenikmatan iman dan islam. Penulis mencuri sedikit masa untuk berkarya walaupun masih lagi dalam fatrah imtihan. Berbaki lagi 2 madah untuk dihabiskan. Untuk kali ini penulis ingin berkongsi bersama sahabat para pembaca semua mengenai suatu kisah yang telah pun penulis baca sebelum ini. Semoga para pembaca semua dapat mengambil intipati dari kisah ini. Kisahnya begini.

Ada seorang lelaki pergi ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambut dan janggutnya.
Apabila tukang gunting itu memulakan tugasnya, mereka pun berborak dan bercakap mengenai banyak perkara.Tapi bila mereka mula berbicara mengenai Allah, tukang gunting itu pun berkata, “Saya tak percaya Allah itu wujud”.

“Kenapa kamu kata begitu?” Tanya si lelaki tadi.

“Cuba kamu keluar di tengah jalan itu dan tunjukkan pada saya bahawa Allah itu wujud. Kalau betul Allah wujud, kenapa ramai sangat orang sakit kat luar tu? Kenapa masih ada kanak-kanak yang terbiar? Kalau betul Allah wujud, dah tentu tiada kesakitan dan keperitan hidup dalam dunia ni. Saya tak dapat bayangkan Allah yang Maha Penyayang boleh membenarkan semua ini berlaku”.

Si lelaki itu pun berfikir sejenak. Tapi dia tidak memberi sebarang jawapan kerana tidak mahu memulakan pertengkaran. Selepas tukang gunting itu menghabiskan tugasnya, si lelaki tadi pun pergi.

Selepas beberapa langkah, si lelaki tadi ternampak seorang lelaki berambut panjang, selekeh, kotor dan janggutnya tidak terurus. Si lelaki tadi pun berpatah balik dan pergi semula ke kedai gunting rambut tadi dan berkata, “ Kamu tahu tak yang sebenarnya tukang gunting juga tidak wujud?”

“Kenapa kamu kata begitu? Sedangkan saya baru sahaja menggunting rambut kamu tadi” kata tukang gunting.

“Tidak!” Kata si lelaki tadi. “Kalau tukang gunting wujud, dah tentu tidak ada orang yang berambut panjang, kotor, selekeh serta janggut yang tidak terurus macam lelaki di tepi jalan itu”.

“Ah! Tukang gunting memang wujud! Lelaki tu jadi macam itu sebab dia tidak datang pada saya untuk menggunting rambutnya!” Kata tukang gunting. “Tepat sekali!”. Kata si lelaki tadi.

“ That's the point!!! Allah juga wujud. Itulah yang terjadi (keperitan & penderitaan) jika manusia tidak mengingatinya dan kembali padanya untuk memohon pertolongan”.

Begitulah kisahnya. Sahabat, kita semua ini adalah insan yang lemah dan perlukan kepada pertolongan. Kepada siapa kita perlu meminta dan memohon??? Tentulah kepada Allah yang menciptakan kita semua. Setiap kesukaran dan kepayahan yang kita hadapi pasti ada jalan keluarnya. Apa yang penting ialah, kita perlu sentiasa berdampingan dengan Allah kerana Nabi bersabda yang bermaksud:

“Peliaharalah Allah, kamu akan dapatiNya berada di depanmu. Kenalilah (ingatilah) Allah ketika kamu berada dalam kesenangan, nescaya Dia akan mengenalimu (mengingatimu) ketika kamu dalam kesusahan. Dan ketahuilah sesungguhnya sesuatu yang ditetapkan tidak mengenaimu, tidak sekali-kali akan menimpamu. Dan apa-apa yang telah akan mengenaimu, kamu sekali-kali tidak akan terlepas daripadanya. Ketahuilah sesungguhnya kemenangan bersama kesabaran dan kelapangan bersama kesusahan. Sesungguhnya berserta kesukaran itu ada kemudahan.”

Allah sentiasa berada bersama kita. Cuma kita yang selalu ingin lari dan menjauhkan diri dari Allah Taala. Sahabat, jaga dan peliharalah hubungan kita dengan Allah dengan cara kita menjalankan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang bertakwa. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

9 Safar 1431 - 24 Januari 2010

No response to “Peliharalah Allah !!!”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...