Friday, August 20, 2010

Fasa ke-2 bakal tiba (Pertengahannya Maghfiroh)


Pantasnya masa berlalu. Hari ini sudah masuk hari ke 10 umat islam menunaikan ibadah puasa. Bermakna fasa 1 dalam bulan yang mulia ini bakal melabuhkan tirai menggantikan fasa 2 iaitu keampunan Allah. Jom sama-sama muhasabah diri sejauh mana amalan yang telah kita lakukan sepanjang 10 hari Ramadhan ini terutama puasa yang kita kerjakan, adakah kita telah kerjakan dengan sebaiknya atau sebaliknya? Adakah kita telah menggunakan sebaik mungkin peluang yang Allah beri ini untuk merebut pahala yang dijanjikan melalui amalan-amalan yang dilakukan di dalam bulan ini? Amatlah rugi bagi mereka yang tidak mahu berlumba-lumba dalam melakukan amalan kebaikan di bulan yang juga digelar sebagai pesta ibadah ini. Jika ingin diharapkan pada bulan-bulan yang lain untuk memperbanyakkan amalan belum tentu lagi kita mampu untuk melakukannya. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini. Gunakanlah sebaik yang mungkin untuk beramal soleh. Mudah-mudahan ianya menjadi tarbiyah untuk diri kita agar senang untuk melakukan kebaikan pada bulan-bulan yang lain insyaALLAH. Nasihat ini ditujukan terutama kepada diri yang menulis agar menjadi peringatan buat diri yang sering leka dan lalai dalam menunaikan hak sebagai hamba kepada Sang Pencipta. Insan yang bijak ialah mereka yang sering bermuhasabah diri serta memperbaiki kesilapan-kesilapan yang lalu dan berusaha untuk tidak mengulangi kembali kesilapan itu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud

"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t."

Seperti biasa sebelum mengakhiri entry kali ini saya ingin selitkan satu artikel mengenai seorang pemuda dan ayahnya. Artikel yang telah lama menetap dalam peti mailbox saya ini saya keluarkan untuk tatapan pembaca sekalian. Moga dapat mengambil pengajaran dari kisah yang disampaikan.

Seorang pemuda yang sedang berada di tahun akhir pengajiannya mengharapkan sebuah kereta sport daripada ayahnya. Lantas, si pemuda memberitahu hajatnya kepada ayahnya, seorang hartawan yang ternama. Si ayah hanya tersenyum. Si anak bertambah yakin,andai keputusan peperiksaannya begitu cemerlang,pasti kereta itu akan menjadi miliknya. Beberapa bulan berlalu, ternyata si anak,dengan berkat kesungguhannya telah beroleh kejayaan yang cukup cemerlang. Hatinya berbunga keriangan. Suatu hari si ayah memanggil si anak ke bilik bacaannya. Si ayah memuji anaknya sambil menyatakan betapa bangga hati seorang bapa sepertinya dengan kejayaan si anak yang cukup cemerlang. Si anak tersenyum puas. Di ruang matanya terbayang kilauan kereta sport merah yang selama ini menjadi idamannya itu. Si ayah yang bagaikan mengerti kehendak si anak, menghulurkan sebuah kotak yang berbungkus rapi dan cantik. Si anak terkesima, sungguh bukan itu yang kuhajatkan. Dengan hati yang berat kotak itu bertukar tangan. Matanya terarah kepada riak wajah ayahnya yang tidak menunjukkan sebarang perubahan. Seolah-olah tidak dapat membaca tanda tanya yang bersarang di hatinya. Dalam pada itu, si anak masih membuka pembalut yang membungkus kotak itu. Penutup kotak dibuka. Apa makna semua ini??? Sebuah Al-Quran kecil, comel dengan cover kulit tinta emas menghiasi tulisan khat di muka hadapan. Si anak memandang ayahnya, terasa dirinya dipermainkan. Amarahnya membuak. Nafsu mudanya bergelojak. Ayah sengaja mempermainkan saya. Ayah bukannya tidak tahu betapa saya menyukai kereta itu. Bukannya ayah tidak mampu untuk membelikannya. Sudahlah ayah. Bukan Al-Quran ini yang saya mahukan. Katanya keras. Al-Quran itu dihempaskan ke atas meja bacaan. Si anak terus meninggalkan si ayah tanpa memberi walau seketika cuma untuk si ayah bersuara. Pakaiannya disumbatkan ke dalam beg lantas, dia meninggalkan banglo mewah ayahnya. Memulakan kehidupan baru dengan sekeping ijazah yang dimilikinya.

10 tahun berlalu, si anak kini merupakan seorang yang berharta mempunyai syarikat sendiri dengan isteri yang cantik dan anak-anak yang sihat. Cukup membahagiakan namun hatinya tersentuh. Sudah 10 tahun sejak peristiwa itu dia tidak pernah menjenguk ayahnya. Sedang dia mengelamun, telefonnya berdering. Panggilan dari peguam ayahnya dan memberitahu bahawa ayahnya telah meninggal dunia semalam dengan mewariskan semua hartanya kepada si anak. Si anak diminta pulang untuk menyelesaikan segala yang berkaitan perwarisan harta. Dan buat pertama kalinya setelah dia bergelar bapa si anak pulang ke banglo ayahnya. Dia memerhatikan banglo yang menyimpan 1001 nostalgia dalam hidupnya. Hatinya sebak. Bertambah sebak apabila mendapati di atas meja di bilik bacaannya, Al-Quran yang dihempaskannya masih lagi setia berada di situ. Bagaikan setianya hati ayahnya mengharapkan kepulangannya selama ini. Perlahan-lahan langkahnya menuju ke arah Al-Quran itu lalu membelek-beleknya dengan penuh keharuan. Tiba-tiba jatuh dari Al-Quran itu segugus kunci. Di muka belakang Al-Quran itu sebuah sampul surat terut dilekatkan disitu. Kunci itu segera dipungut. Hatinya tertanya-tanya, nyata sekali di dalam sampul surat itu terdapat resit pembelian kereta idamannya yang dibeli pada hari konvokesyennya dengan bayaran yang telah dilunaskan oleh si ayah. Sepucuk warkah tulisan tangan orang yang amat dikenalinya selama ini. Tertulis di warkah itu hadiah teristimewa untuk putera kesayanganku. Dengan tidak semena air mata si anak menitis deras. Hatinya bagai ditusuk sembilu. Penyesalan mula berlubuk di hati namun semuanya sudah terlambat. Ayahnya telah pergi buat selama-lamanya.

Moral : 1- Layak ke seorang anak memperlakukan ayahnya seperti itu??? 2- Jangan terlalu terburu-buru membuat keputusan sebelum mengetahui yang tersurat dan yang tersirat mengenai sesuatu perkara. 3- Beri peluang kepada individu untuk dia mengexplainkan perkara yang sebenarnya.

Teringat untuk kongsi artikel ini sebab 2 hari lepas birthday ayah. Dan artikel ini pun ada kaitan dengan ayah jadi saya kongsikan bersama para pembaca sekalian. Moga kita semua dijauhkan dari berlakunya perkara seperti ini. Amin .

10 Ramadhan 1431 - 20 Ogos 2010
7.27 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Fasa ke-2 bakal tiba (Pertengahannya Maghfiroh)”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...