Monday, August 16, 2010

Ramadhan Bulan Kesabaran


Ramadhan di bumi Mesir kali ini jatuh pada musim panas yang mana siangnya lebih panjang dari malam. Ini bermakna masa yang diperuntuk untuk berpuasa lebih lama kira-kira 15 jam. Hari ini kami serumah diuji agar bersabar menahan lapar kerana pagi tadi tidak sempat untuk bersahur walaupun dengan seteguk air. Alangkah rugi rasanya kerana tidak dapat merebut keberkatan di waktu sahur sepertimana yang telah dijanjikan oleh Rasulullah.

Hari Khamis lepas natijah Kuliah Al-Quran tahun satu telah pun dikeluarkan oleh pihak Al-Azhar. Sangkaan selama ini yang bermain di benak fikiran menjadi kenyataan apabila terpaksa ulang tahun 1 sekali lagi. Bermakna saya telah gagal untuk naik ke tahun 2. Syarat untuk naik tahun ialah paling kurang 2 madah sahaja yang sangkut tetapi saya telah sangkut 4 madah sekali gus memegang tittle dursanah atau nama lainnya ulang tahun. Saya akui diri yang lalai dan leka dan kurang berusaha inilah yang menyebabkan Allah memberi ujian sebegini rupa. Saya redho dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ini yang terbaik buat saya. Kegagalan hari ini tidak bermakna kegagalan untuk selamanya selagi mana kita kita ada azam untuk berubah dan mempertingkatkan diri.

Teringat saya tahun lepas dalam proses untuk mendapatkan lesen memandu. Ketika ujian JPJ (memandu di jalan raya) saya telah gagal untuk kali pertama.Namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang sehingga mampu untuk mendapatkan lesen memandu yang sah. Setelah ujian repeat akhirnya saya berjaya. Apa yang saya lakukan ialah berusaha dan cuba untuk tidak melakukan kesilapan yang pernah saya lakukan ketika ujian kali pertama. Begitu juga hari ini. Walaupun saya dan sebahagian lagi sahabat-sahabat yang lain gagal kali ini, itu tidak bermakna akan gagal selamanya sekiranya kita lakukan apa yang telah saya katakan tadi. Ramadhan adalah bulan untuk menguji kesabaran. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Puasa itu separuh sabar dan sabar itu separuh daripada iman.”

Saya berusaha untuk didik diri ini agar bersabar dalam menempuh ujian ini. Saya juga berharap agar sahabat yang senasib dengan saya turut bersabar. Kepada sahabat yang telah berjaya saya ucapkan tahniah di atas kejayaan kalian. Doakan kami agar mampu untuk menjadi seperti kalian insyaALLAH. Mak dan ayah yang tersayang, maaf anakmu ini terlalu lalai dan leka sehingga tidak mampu buat yang terbaik tahun ini. Harap mak dan ayah dapat memaafkan kesalahan diri yang lemah ini. Sebelum berakhir saya tinggalkan para pembaca dengan artikel yang berkaitan dengan Ramadhan Bulan Kesabaran. Semoga dapat mengambil pengajaran dari apa yang disampaikan.

Ramadhan al-Mubarak bagaikan setompok tanah subur yang dapat menumbuhkan segala macam tanaman dan menghasilkan manfaat. Umat Islam sewajarnya mempergunakan masa cukup berharga sepanjang Ramadan untuk memperbanyakkan amal dan mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun berpuasa itu pada zahirnya mengubah soal lahiriah seperti makan, minum dan hubungan kelamin pada siang hari, tetapi dari segi hakikatnya, puasa (Ramadan) itu diperintahkan bertujuan mengubah mental dan spiritual manusia.

Puasa seharusnya mengubah seseorang tampil menjadi insan yang baik akhlak, tingkah lakunya, serta meninggalkan apa saja tabiat atau kebiasaan tidak baik lalu menggantikannya dengan akhlak mulia dalam waktu yang agak lama iaitu sebulan penuh. Ini bermakna suatu latihan yang berat bagi umat Islam untuk dijadikan amal selanjutnya, sehingga mereka akan menjadi insan muttaqin.

Jelasnya, matlamat akhir daripada pelaksanaan puasa Ramadan itu ialah untuk membentuk manusia bertakwa. Ketakwaan itu ialah pemeliharaan diri daripada segala perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dan seksa-Nya. Hal itu akan terlaksana dengan cara mentaati segala titah perintah Allah, mengawasi dan menjaga diri daripada godaan hawa nafsu serta membersihkan diri daripada segala macam sifat tercela.

Antara rahsia penting berpuasa ialah melatih kita supaya bersifat sabar dan sifat sabar hasil didikan Ramadan itu mudah-mudahan terus diamalkan selepas tamat bulan mulia itu. Memanglah bagi sebahagian umat Islam, berpuasa sebulan Ramadan itu menjadi satu kepayahan dan penderitaan, kerana terpaksa menahandiri daripada memenuhi tabiat makan, minum dan hubungan suami isteri di siang hari.

Jasmani menjadi lemah disebabkan lapar dan dahaga, lalu dengan demikian ghairah bekerja menjadi berkurang. Tetapi bagi Muslim yang taat, segala kepayahan dan penderitaan ketika berpuasa akan diterima dan ditempuh dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah.

Ada tiga macam kesabaran dalam ibadat puasa, iaitu sabar kerana patuh mengerjakan suruhan Allah, sabar kerana mengekang hawa nafsu dan sabar kerana menderita kepayahan lapar dan dahaga. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud

“Puasa itu separuh sabar dan sabar itu separuh daripada iman.”

Sesungguhnya Ramadan ibarat stesen bahan bakar yang membekal kekuatan jiwa manusia dan bekal rohani juga moral bagi perjalanan hidup, iaitu kesabaran. Terhadap orang yang sabar, Allah sudah berjanji menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96)

Benarlah puasa adalah pusat latihan untuk memantapkan rohaniah atau jiwa manusia. Dengan berpuasa, setiap mukmin melatih diri sendiri untuk bersikap patuh dan taat terhadap Allah.

Seorang yang sedang berpuasa, dalam rumahnya tersedia makanan dan minuman yang lazat rasanya tetapi dia mampu mengawal keinginannya itu, walaupun jika dilanggarnya tidak ada manusia lain yang melihat atau mengetahuinya.

Inilah didikan puasa. Kemampuan menguasai keinginan itu sendiri adalah satu kepatuhan yang murni. Mukmin yang lulus dalam latihan sedemikian diharapkan akan lulus pula dalam mematuhi pelbagai peraturan lain dalam masyarakat dan negara.

Ramadan memang bulan yang agung dan terbaik. Semoga Ramadan kali ini bermakna bagi kita iaitu dengan menghayati puasa dan beribadah sebaiknya. Jadikan Ramadan sebagai detik untuk berubah ke arah lebih baik, bukan meneruskan perbuatan membazir dan melekakan.

6 Ramadhan 1431 - 16 Ogos 2010
7.22 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Ramadhan Bulan Kesabaran”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...