Thursday, September 30, 2010

Tidak Semudah Lidah Menutur


Aidilfitri terus disambut oleh umat islam khususnya di Malaysia walaupun Aidlifitri hampir ke penghujungya namun masih lagi ramai yang membuat rumah terbuka sama ada di peringkat individu, keluarga, persatuan dan sebagainya. Begitulah saban tahun suasana Aidilfitri di Malaysia. Tiada masalah untuk membuat rumah terbuka selagi mana tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Dalam sibuk menyambut Aidilfitri, jangan dilupa untuk melakukan puasa sunat 6 Syawal. Masih lagi sempat untuk menunaikannya bagi yang belum start berpuasa. Alangkah rugi sekiranya kita tidak menunaikannya kerana barangsiapa yang melakukannya maka pahalanya seperti melakukan puasa setahun sepertimana sabda Nabi yang bermaksud

“Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)
Bukan perkara yang mudah untuk istiqomah dalam melakukan sesuatu amalan kebaikan. Buktinya kita lihat saja bila berakhirnya Ramadhan, setiap kebaikan yang telah kita lakukan dalam bulan Ramadhan seperti solat berjemaah, membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail dan amalan-amalan sunat yang lain tidak mampu untuk kita kekalkan dalam bulan-bulan yang lain. Kita kembali kepada sifat kita sebelum Ramadhan yang malas untuk melakukan amalan kebaikan. Kita hanya nampak bahawa bulan untuk beribadah hanyalah pada bulan Ramadhan tidak pada bulan-bulan lain sedangkan kita dituntut oleh Allah untuk beribadah setiap masa tidak kira pada bulan apa sekalipun. Sesuai dengan firmanNya dalam surah az-Zariyat ayat ke 56 yang bermaksud

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Ini bukanlah bermaksud kita perlu duduk di masjid setiap masa tanpa perlu melakukan perkara yang lain. Tapi setiap perkara kebaikan yang kita lakukan kerana Allah itu adalah ibadah. Oleh itu alangkah baik sekiranya kita mampu untuk istiqomahkan amalan-amalan kebaikan yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan yang lalu. Bertadarus & tadabbur Al-Quran, sedekah, solat sunat, qiamullail dan sebagainya. Sabda Rasulullah yang bermaksud

Amalan yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w ialah amalan yang dikerjakan secara istiqomah.

Sahabat yang dirahmati Allah, bulan Ramadhan yang lalu kita telah mendidik diri ini untuk menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah. Amat malang sekiranya kita mensia-siakan usaha kita yang lalu dengan kembali melakukan maksiat kepada Allah. Mungkin kita rasa seronok melakukannya, tapi ingatlah keseronokan itulah yang akan menghumbankan kita ke dalam neraka Allah. Nau'zubillah min zalik. Nikmat dunia ini hanyalah sementara. Yang kekal hanyalah nikmat di akhirat kelak. Dunia adalah syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang mukmin dan begitulah sebaliknya. Mana yang anda mahukan??? Syurga dunia atau akhirat??? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Saya pasti semua ingin ke syurga di akhirat kelak. Jadi jom kita memperbanyakkan ibadah kepada Allah sebagai tiket untuk menuju syurga yang diimpikan. Bukan hanya tunggu bulan Ramadhan sahaja.

Pernah ditanya kepada Nabi bagaimana ingin berjiran dengan baginda di syurga nanti. Jawab Nabi tolong aku dengan memperbanyakkan sujud iaitu memperbanyakkan solat sunat. Memang perkara ini tidak semudah lidah menutur namun demi untuk bersama dengan Rasulullah di syurga nanti perlulah mujahadah yang tinggi untuk melawan setiap godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa menghasut manusia agar manusia berhenti dari melakukan ketaatan kepada Allah. Semoga kita diberi kekuatan dan kemudahan untuk melaksanakan ibadah kepada Allah dengan hati yang ikhlas serta mampu untuk istiqomah insyaAllah amin.

21 Syawal 1431 - 30 September 2010
10.58 a.m
Ipoh, Perak, Malaysia

Thursday, September 9, 2010

Salam Aidilfitri 1431


Laungan takbir yang bergema di setiap corong speaker masjid dan surau juga di radio dan televisyen menandakan berakhirnya Ramadhan 1431. Laungan kemenangan oleh seluruh umat islam kerana telah selesai menunaikan kewajipan rukun islam yang ketiga itu. Kebanyakan rumah telah diterangi lampu-lampu menghiasi rumah masing-masing untuk menyambut Syawal yang mulia. Semoga segala amalan yang telah kita lakukan terutama sepanjang sebulan yang lalu diterima oleh Allah. Moga kita dapat mengekalkan ketaqwaan kita kepada Rabb al-Jalil sepertimana yang telah kita praktikkan sebulan yang lepas. Jangan kita sia-siakan usaha untuk memperbaiki diri terhenti setelah berakhirnya Ramadhan. Sebaliknya teruslah berusaha untuk menjadi insan yang bertaqwa dari semasa ke semasa. Kedatangan Syawal bukanlah bererti kita boleh kembali untuk mengikut hawa nafsu yang mendorong ke arah keburukan tetapi sebaliknya kita perlulah menyambut Syawal ini dengan menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh islam untuk melihat kelangsungan ketaqwaan kita kepada Allah agar tidak pudar walaupun kita berada dalam kegembiraan menyambut hari lebaran ini.

Setiap insan tidak lari dari melakukan kesalahan oleh itu di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk memohon beribu kemaafan kepada semua muslimin dan muslimat yang mengenali diri yang hina ini sekiranya ada melakukan kesalahan yang disengajakan mahupun tidak. Ambillah kesempatan hari raya ini untuk memohon kemaafan dari setiap insan. Moga kita betul-betul berada di dalam keadaan fitrah dari kesalahan sesama manusia lebih-lebih lagi dengan pencipta kita insyaALLAH. Akhir kata saya mengucapkan

SALAM AIDIFITRI 1431 MAAF ZAHIR & BATIN

1 Syawal 1431 - 10 September 2010

12.37 a.m

Ipoh, Perak, Malaysia

Friday, September 3, 2010

Lebih Baik Dari Seribu Bulan


Alangkah sayunya hati Ramadhan semakin hampir ke penghujungnya. Kurang berapa hari saja lagi Ramadhan bakal menutup tirainya. Radio dan televisyen sibuk mendendangkan lagu-lagu raya. Masjid-masjid kian sunyi dari kehadiran para jemaah berbanding di awal Ramadhan dahulu. Begitulah kebiasaan suasana di bumi Malaysia khususnya bila 10 hari terakhir Ramadhan. Hanya mereka yang betul-betul menghayati Ramadhan ini yang tetap istiqomah bersungguh-sungguh memanfaatkan bulan Ramadhan ini terutama di 10 malam terakhirnya. Moga kita salah seorang dari mereka ini. Salah satu malam dari 10 malam terakhir inilah yang akan terjadinya malam Lailatul Qadar yang mana keistimewaannya ialah lebih baik daripada seribu bulan. Sepertimana yang telah tercatat pada firman Allah dalam surah Al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!.

Sahabat sekalian! Kita sering melakukan dosa kepada Sang Pencipta samada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Adakah kita mahu membiarkan dosa kita sebanyak air yang meliputi bumi ini tanpa kita mahu bertaubat dari segala dosa itu? Ingatlah kematian tidak menunggu kita walaupun sesaat cuma. Oleh itu sama-sama kita manfaatkan hari-hari akhir Ramadhan ini untuk bertaubat kepada Allah dari segala dosa dengan taubat yang sungguh-sungguh. Usahakanlah untuk memburu malam Lailatul Qadar dengan beribadah pada malam-malam akhir Ramadhan ini. Gerakkan ahli keluarga dan sahabat-sahabat anda untuk turut sama beribadah di sepertiga malam. Kita perlu bekerja untuk menyara kehidupan seharian kita begitu juga kita perlu mengerahkan sedikit usaha dengan bangun beribadah di sepertiga malam untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Moga kita semua terpilih oleh Allah untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang mulia itu. Moga seusainya Ramadhan kali ini kita semua dikurniakan rahmat, keampunan dan perlepasan dari api neraka oleh Allah s.w.t. Amin ya Rabb

25 Ramadhan 1431 - 4 September 2010
12.44 a.m
Ipoh, Perak, Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...