Friday, September 3, 2010

Lebih Baik Dari Seribu Bulan


Alangkah sayunya hati Ramadhan semakin hampir ke penghujungnya. Kurang berapa hari saja lagi Ramadhan bakal menutup tirainya. Radio dan televisyen sibuk mendendangkan lagu-lagu raya. Masjid-masjid kian sunyi dari kehadiran para jemaah berbanding di awal Ramadhan dahulu. Begitulah kebiasaan suasana di bumi Malaysia khususnya bila 10 hari terakhir Ramadhan. Hanya mereka yang betul-betul menghayati Ramadhan ini yang tetap istiqomah bersungguh-sungguh memanfaatkan bulan Ramadhan ini terutama di 10 malam terakhirnya. Moga kita salah seorang dari mereka ini. Salah satu malam dari 10 malam terakhir inilah yang akan terjadinya malam Lailatul Qadar yang mana keistimewaannya ialah lebih baik daripada seribu bulan. Sepertimana yang telah tercatat pada firman Allah dalam surah Al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!.

Sahabat sekalian! Kita sering melakukan dosa kepada Sang Pencipta samada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Adakah kita mahu membiarkan dosa kita sebanyak air yang meliputi bumi ini tanpa kita mahu bertaubat dari segala dosa itu? Ingatlah kematian tidak menunggu kita walaupun sesaat cuma. Oleh itu sama-sama kita manfaatkan hari-hari akhir Ramadhan ini untuk bertaubat kepada Allah dari segala dosa dengan taubat yang sungguh-sungguh. Usahakanlah untuk memburu malam Lailatul Qadar dengan beribadah pada malam-malam akhir Ramadhan ini. Gerakkan ahli keluarga dan sahabat-sahabat anda untuk turut sama beribadah di sepertiga malam. Kita perlu bekerja untuk menyara kehidupan seharian kita begitu juga kita perlu mengerahkan sedikit usaha dengan bangun beribadah di sepertiga malam untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Moga kita semua terpilih oleh Allah untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang mulia itu. Moga seusainya Ramadhan kali ini kita semua dikurniakan rahmat, keampunan dan perlepasan dari api neraka oleh Allah s.w.t. Amin ya Rabb

25 Ramadhan 1431 - 4 September 2010
12.44 a.m
Ipoh, Perak, Malaysia

No response to “Lebih Baik Dari Seribu Bulan”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...