Thursday, September 30, 2010

Tidak Semudah Lidah Menutur


Aidilfitri terus disambut oleh umat islam khususnya di Malaysia walaupun Aidlifitri hampir ke penghujungya namun masih lagi ramai yang membuat rumah terbuka sama ada di peringkat individu, keluarga, persatuan dan sebagainya. Begitulah saban tahun suasana Aidilfitri di Malaysia. Tiada masalah untuk membuat rumah terbuka selagi mana tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam. Dalam sibuk menyambut Aidilfitri, jangan dilupa untuk melakukan puasa sunat 6 Syawal. Masih lagi sempat untuk menunaikannya bagi yang belum start berpuasa. Alangkah rugi sekiranya kita tidak menunaikannya kerana barangsiapa yang melakukannya maka pahalanya seperti melakukan puasa setahun sepertimana sabda Nabi yang bermaksud

“Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)
Bukan perkara yang mudah untuk istiqomah dalam melakukan sesuatu amalan kebaikan. Buktinya kita lihat saja bila berakhirnya Ramadhan, setiap kebaikan yang telah kita lakukan dalam bulan Ramadhan seperti solat berjemaah, membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail dan amalan-amalan sunat yang lain tidak mampu untuk kita kekalkan dalam bulan-bulan yang lain. Kita kembali kepada sifat kita sebelum Ramadhan yang malas untuk melakukan amalan kebaikan. Kita hanya nampak bahawa bulan untuk beribadah hanyalah pada bulan Ramadhan tidak pada bulan-bulan lain sedangkan kita dituntut oleh Allah untuk beribadah setiap masa tidak kira pada bulan apa sekalipun. Sesuai dengan firmanNya dalam surah az-Zariyat ayat ke 56 yang bermaksud

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Ini bukanlah bermaksud kita perlu duduk di masjid setiap masa tanpa perlu melakukan perkara yang lain. Tapi setiap perkara kebaikan yang kita lakukan kerana Allah itu adalah ibadah. Oleh itu alangkah baik sekiranya kita mampu untuk istiqomahkan amalan-amalan kebaikan yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan yang lalu. Bertadarus & tadabbur Al-Quran, sedekah, solat sunat, qiamullail dan sebagainya. Sabda Rasulullah yang bermaksud

Amalan yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w ialah amalan yang dikerjakan secara istiqomah.

Sahabat yang dirahmati Allah, bulan Ramadhan yang lalu kita telah mendidik diri ini untuk menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah. Amat malang sekiranya kita mensia-siakan usaha kita yang lalu dengan kembali melakukan maksiat kepada Allah. Mungkin kita rasa seronok melakukannya, tapi ingatlah keseronokan itulah yang akan menghumbankan kita ke dalam neraka Allah. Nau'zubillah min zalik. Nikmat dunia ini hanyalah sementara. Yang kekal hanyalah nikmat di akhirat kelak. Dunia adalah syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang mukmin dan begitulah sebaliknya. Mana yang anda mahukan??? Syurga dunia atau akhirat??? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Saya pasti semua ingin ke syurga di akhirat kelak. Jadi jom kita memperbanyakkan ibadah kepada Allah sebagai tiket untuk menuju syurga yang diimpikan. Bukan hanya tunggu bulan Ramadhan sahaja.

Pernah ditanya kepada Nabi bagaimana ingin berjiran dengan baginda di syurga nanti. Jawab Nabi tolong aku dengan memperbanyakkan sujud iaitu memperbanyakkan solat sunat. Memang perkara ini tidak semudah lidah menutur namun demi untuk bersama dengan Rasulullah di syurga nanti perlulah mujahadah yang tinggi untuk melawan setiap godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa menghasut manusia agar manusia berhenti dari melakukan ketaatan kepada Allah. Semoga kita diberi kekuatan dan kemudahan untuk melaksanakan ibadah kepada Allah dengan hati yang ikhlas serta mampu untuk istiqomah insyaAllah amin.

21 Syawal 1431 - 30 September 2010
10.58 a.m
Ipoh, Perak, Malaysia

No response to “Tidak Semudah Lidah Menutur”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...