Tuesday, November 30, 2010

25 Nasihat Luqman Hakim


1 - Hai anakku : Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

2 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.

3 - Hai anakku : Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

4 - Hai anakku : Seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

5 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

7 - Hai anakku : Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

8 - Hai anakku : Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9 - Hai anakku : Janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku : Bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku : Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakk : Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku : Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 - Hai anakku : Bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai anakku : Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku : Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku : Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 - Hai anakku : Bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku : Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

CopyFrom : (link)

24 Zulhijjah 1431 - 30 November 2010
11.01 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Friday, November 26, 2010

Lima Syarat Jika Ingin Maksiat


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata:

“Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:

“Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.

“Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata:

1- “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-Nya.”

Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:

“Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham.

“Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”

2- “Yang kedua,” kata Ibrahim, “kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya:

“Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab:

3- “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:

“Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan:

4- ”Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:

“Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab:

5- “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:

“Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.” Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah.” katanya sambil teresak-esak.


Wahai sahabat yang dirahmati Allah, malulah kita dengan Allah terhadap maksiat dan dosa yang telah kita lakukan pada Dia. Setiap maksiat yang kita lakukan akan menggelapkan hati dan menjauhkan kita dengan Allah. Dan hati mereka yang penuh dengan maksiat akan menyukarkan ilmu untuk masuk ke dalam diri. Oleh itu, jangan biarkan diri kita terus menerus dalam kemaksiatan. Tutuplah serapat-rapatnya pintu yang boleh mengheret kita ke arah maksiat. Bertaubatlah kepada Allah terhadap segala dosa yang telah kita lakukan kepada Dia. Jadilah seorang hamba yang bersyukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Firman Allah dalam surah ad-Dhuha ayat 7-10 yang bermaksud

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Copy From : (link)

#Tahniah diucapkan kepada salah seorang ahli bait saya Ustaz Ali Imran yang telah selamat diijab kabulkan dengan isteri tercinta pada 24 November baru ini di rumah isteri beliau di Perlis. Kami serumah mendoakan agar Ustaz Ali Imran dan isteri semoga dapat melayari bahtera rumah tangga ini mengikut acuan al-Quran dan as-Sunnah dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Dan semoga bahagia di dunia dan akhirat. Amin.

20 Zulhijjah 1431 - 26 November 2010
8.55 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Monday, November 22, 2010

Setiap Kesukaran Pasti Ada Kesenangan


Kesukaran untuk memahami pertuturan orang-orang tempatan di sini menjadi suatu ujian buat diri yang lemah ini. Apatah lagi kebanyakan mereka menuturkan bahasa arab ammiyah (pasar) bukannya bahasa arab fusha (baku). Kadang-kadang terpaksa untuk menyuruh mereka mengulangi soalan untuk kali kedua agar dapat memahami dengan baik soalan yang diajukan kepada saya. Walaupun hampir 4 tahun lebih telah berada di bumi mesir ini namun masih belum dapat mengusai bahasa arab dengan baik. Lebih-lebih lagi arab ammiyah kerana kurangnya bercampur dengan penduduk tempatan di sini. Salah satu faktor untuk mengusai bahasa mereka ialah dengan selalu bergaul sesama mereka. Ini merupakan satu teguran buat diri dan sahabat-sahabat lain yang ingin mengusai bahasa arab ammiyah dengan baik.

Disebabkan diri ini tidak dapat mengusai bahasa arab ammiyah dengan baik maka ia menjadi kesukaran untuk memahami pelajaran yang di ajar di kuliah. Kebanyakkan pertuturan para syeikh bercampur antara fusha dan ammiyah. Ditambah lagi dengan pertuturan yang laju, maka semakin sulit untuk menangkap apa yang disampaikan. Boleh dikatakan 30% sahaja yang dapat difahami dari apa yang telah disampaikan sepanjang 2 jam kelas berjalan dalam satu subjek. Bukanlah salah para syeikh itu, tapi yang salahnya ialah diri sendiri kerana tidak mengusai bahasa arab. Namun demi ilmu, saya harungi jua kesukaran ini dengan tetap menghadiri majlis ilmu ini kerana saya percaya dan yakin bahawa setiap kesukaran yang dilalui pasti ada kesenangannya. Sesuai dengan firman Allah dalam surah as-Sharh ayat 6-7 yang bermaksud

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Allah tahu apa yang kita inginkan. Apa yang penting kita perlu usaha dan berdoa kepadaNya untuk mendapatkan sesuatu perkara itu. Semalam, walaupun tidak memahami melainkan sedikit apa yang disampaikan oleh syeikh namun, saya menarik lafas lega setelah syeikh yang mengajar itu mendoakan setiap pelajar yang ada dalam kelas tersebut agar dapat memahami pelajaran yang diajarkan oleh syeikh-syeikh di sini. Inilah keberkatan dan kelebihan menghadirkan diri ke majlis ilmu. Sabda Rasulullah yang bermaksud

"Rasulullah SAW telah ditanya ; Wahai Rasulullah, majlis yang bagaimanakah yang terbaik bagi kami? Rasulullah bersabda ; majlis yang dihadiri oleh orang yang kamu akan mengingati Allah apabila melihatnya, bertambah ilmu kamu setelah mendengar kata-katanya dan apabila kamu melihat amal perbuatannya, kamu akan mengingati akhirat"

Semoga Allah memakbulkan doa syeikh semalam sepertimana makbulnya doa Rasulullah kepada Ibnu Abbas agar menjadi orang yang faqih dalam ilmu sehingga beliau menjadi antara perawi hadis yang terbanyak dikalangan para sahabat. Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya ke atas mereka yang menghadiri majlis ilmu. Oleh itu, hadirkanlah diri ke majlis ilmu walaupun kita tidak dapat memahami 100% apa yang disampaikan oleh guru. InsyaAllah keberkatan dan rahmat Allah akan turun kepada mereka yang ikhlas dan bersungguh dalam menuntut ilmu. Mudah-mudahan pada akhir nanti Allah mengurniakan kefahaman kepada kita.

Nasihat buat diri dan sahabat seperjuangan, ayuh perkasakan penguasaan bahasa arab fusha & ammiyah dalam diri untuk memudahkan kita memahami apa yang diajarkan oleh syeikh-syeikh di kuliah dan memahami pertuturan penduduk tempatan. Sama ada kita selalu bergaul dengan mereka atau membaca akhbar-akhbar tempatan dan sebagainya untuk mengimprovekan penguasaan bahasa arab kita. Bak kata orang putih it's difficult but not impossible untuk mengusai bahasa arab fusha @ ammiyah. Kita mampu sebenarnya. Semuanya tergantung kepada kita. Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Apa yang pasti kesukaran dan kepayahan bukanlah suatu alasan untuk kita give up. Tapi teruslah berusaha mengharungi jalan kesukaran itu agar dibukakan pintu kesenangan untuk kita pada akhirnya. Dan moga Allah mengurniakan kafahaman dalam setiap ilmu yang kita pelajari. Amin.

16 Zulhijjah 1431 - 22 November 2010
10.19 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Saturday, November 20, 2010

"Iman, Kamu Cuti Hari Ini?"


Iman : Assalamualaikum

Diri : Wa'alaikummussalam. Oh Encik Iman! Saya rasa dah dua tiga minggu kamu tak datang ke pejabat. kamu Cuti ke?

Iman : Apa pula saya cuti bos. Saya kan diberi cuti

Diri : Oh ye, lupa. Itu la, saya ingatkan segala urusan akan lebih terurus dan keuntungan syarikat akan bertambah selepas ambil Encik Nafsu bekerja. Tapi jadi kelam kabut pulak.Lepas terdengar ustaz kat tv berceramah hari tu, saya teringatkan kamu.

Iman : Jadi saya boleh kembali bekerja la bos? Saya boleh ambil balik jawatan saya dari Encik Nafsu?

Diri : Eh, tak boleh. Saya sayang nak pecat En Nafsu. Walaupun saya terpaksa bayar gaji yang tinggi, tapi dia berjaya menghiburkan saya.

Iman : Kalau macam tu, lebih baik saya berundur.

Diri : Eh, jangan! Tolonglah saya. Saya tak boleh kehilangan kamu berdua.

Iman : Tapi bos, kami tak mungkin bersama dalam satu syarikat. Perbezaan antara kami sangat besar. En Nafsu tu saya lihat anti sangat dengan saya.

Diri : Saya rasa serba salah pula.

Iman : Bos boleh pilih satu sahaja. Bos perlu mujahadah untuk pecat En Nafsu, Bos.

Diri : Saya tahu. Jauh dalam hati saya, saya memang perlukan kamu, En Iman. Iri hati saya tengok syarikat ustaz kat sebelah. Mereka boleh maju sebab ada orang macam kamu. Baiklah, saya kena pecat juga En Nafsu, tak kiralah apa yang berlaku. En Iman, saya mahu kamu tubuhkan balik jabatan solat, puasa, zikir, al Quran dan apa-apa yang patut.

Iman : Alhamdulillah, nampaknya bos dah buat keputusan yang bijak. Kalau bos teruskan prestasi yang cemerlang ni, saya yakin bos akan dinaikkan pangkat oleh CEO (Allah s.w.t) sebagai Muttaqin.

Kitalah bos kepada diri sendiri. Kita yang menguruskan semua tentang diri, makan minum, pakaian, pelajaran dan pekerjaan. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menguruskan iman kita. Buatlah keputusan terbaik dan pilihlah agenda dan aktiviti yang boleh menyuburkan iman. Jangan ditendang keluar amalan soleh dam jangan melambai-lambai palit dosa masuk ke dalam diri.

Cerita ini dipetik dari majalah Solusi. Ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat yang belum berkesempatan membaca cerita ini. Ambillah pengajaran dari cerita ini sebagai muhasabah bersama. Tidak salah untuk memenuhi kehendak nafsu selagi ia tidak bercanggah dengan syariat islam itu sendiri. Kawallah nafsu kita berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Jangan dituruti nafsu secara melulu tanpa ada pantang larangnya. Suburkanlah dalam diri keimanan yang betul-betul mantap agar dapat memandu nafsu ke arah yang diredhoi Allah. Moga kita mampu untuk menundukkan nafsu yang liar agar dapat mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Amin.

14 Zulhijjah 1431 - 20 November 2010
2.05 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Monday, November 15, 2010

Pengorbanan


Salam AidilAdha 1431 diucapkan kepada seluruh umat islam yang bakal menyambut hari kebesaran islam ini pada esok hari di Mesir dan kawasan yang sewaktu dengannya. Manakala di Malaysia akan menyambutnya pada 17 November. Marilah sama-sama kita menyambut AidilAdha ini dengan menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam mematuhi perintah Allah. Di mana baginda diperintah untuk menyembelih anaknya sendiri sepertimana yang tercatat di dalam firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 100-110 yang bermaksud

" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Penantian yang begitu lama oleh Nabi Ibrahim untuk memperoleh zuriat sehinggalah baginda tua barulah dikurniakan seorang anak. Namun tidak lama selepas itu Nabi Ibrahim diuji dengan ujian yang cukup berat oleh Allah. Namun kerana taat akan perintah Allah nabi Ibrahim akur dengan suruhan itu walaupun anaknya yang menjadi taruhan. Lihatlah betapa besar pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh baginda. Adakah kita setabah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam menempuh ujian seberat ini??? Ambillah pengajaran dari kisah yang telah dirakamkan ini. Walau seberat manapun perintah Allah ke atas kita, haruslah kita patuh dan taat. Berusalah sedaya upaya untuk menjalankan setiap suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Janganlah dituruti hawa nafsu dan syaitan yang pada akhirnya akan menjerumuskan kita ke dalam kemaksiatan dan nerakalah selayaknya bagi mereka yang menjadi pengikut syaitan laknatullah. Na'uzubillah min zalik. Ya Allah, Engkau bimbinglah kami agar kami sentiasa berada pada jalanMu yang lurus ini. Dan letakkanlah kami bersama-sama mereka yang Engkau redhoi. Amin ya Rabb.

SALAM AIDILADHA 1431 MAAF ZAHIR BATIN

9 Zulhijjah 1431 - 15 November 2010

10.40 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Sunday, November 14, 2010

Kurniaan Allah


Rasa terharu setelah melihat satu klip video yang dishare oleh seorang sahabat dalam facebook. Dalam klip video itu menunjukkan seorang lelaki yang cacat mentalnya sedang diuji hafalan Al-Qurannya oleh dua orang syeikh. Setiap soalan yang diberikan mampu dijawab oleh lelaki itu dengan baik sekali tanpa memerlukan masa yang lama untuk mencari ayat tersebut. Kedua-dua syeikh yang menguji lelaki tersebut cukup kagum dengan kelebihan yang ada pada lelaki tersebut. Lelaki tersebut tidak mengetahui perkara lain selain dari Al-Quran sepertimana yang diberitahu dalam video tersebut. Inilah mukjizat dan kehebatan Kalam Allah yang suci ini.

Maha suci Allah atas nikmat seperti ini yang tidak dikurniakan melainkan ke atas orang-orang yang terpilih untuk memelihara Kalam SuciNya ini. Saya cukup tersentuh dengan perkara ini, Belum tentu saya yang kerdil dan dhoif ini serta sahabat-sahabat seperjuangan yang lain mampu untuk menjadi seperti lelaki tersebut melainkan Allah berkehendak akan perkara itu. Sahabat sekalian, Al-Quran ini adalah Kalam Allah yang suci. Ianya tidak akan kekal di dalam diri para penghafal Al-Quran ini sekiranya diri seseorang itu penuh dengan maksiat kepada Sang Pencipta. Hanya hati yang bersih dengan nur iman sahaja mampu untuk mengekalkan hafalan Al-Quran di dalam dada. Wahai para penghafal Al-Quran sekalian, alangkah indahnya andai kita dapat menjadi seperti lelaki tersebut!!! Memang bukan satu perkara yang mudah tapi tidak mustahil kita mampu untuk jadi seperti beliau.

Janganlah membuang masa yang ada dengan perkara yang sia-sia. Ayuh sama-sama kita menjaga hafalan Al-Quran kita dengan sentiasa mengulang Al-Quran tidak kira di mana dan bila waktunya. Sayangilah hafalan kita sepertimana kita menyangi diri kita sendiri. Al-Quran ini cukup mudah hilang dari ingatan sekiranya kita tidak menjaganya dengan baik sepertimana sabda Nabi yang bermaksud

"Peliharalah Al-Quran, Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya ia lebih mudah terlepas daripada unta dalam ikatanNya."

Saya percaya setiap para Huffaz Al-Quran ingin sekali untuk mengingati setiap inci dari hafalan Al-Quran mereka. Namun perkara itu tidak akan terjadi bahkan mustahil sekiranya kita tidak ada kesungguhan dalam menjaga hafalan Al-Quran tersebut. Percayalah sahabat bahawa Allah tidak akan mensia-siakan para huffaz yang berusaha untuk mengingati hafalan mereka melainkan pada akhirnya Allah akan kurniakan ingatan yang betul-betul tajam dan mantap sehingga mampu untuk mengingati seluruh hafalan Al-Quran sepertimana lelaki tadi. Oleh itu, cubalah sedaya upaya untuk istiqomah membuka lembaran Al-Quran dan mengulangnya setiap hari. Janganlah biarkan sehari yang berlalu tanpa anda bersama dengan Al-Quran. InsyaALLAH mudah-mudahan saya dan sahabat seperjuangan tergolong dalam golongan mereka yang mengingati hafalan Al-Quran keseluruhannya. Amin ya Rabb.

Klip Video : Klik Sini

8 Zulhijjah 1431 - 14 November 2010
9.53 p.m
Awwal Nuhas, Tanta , Mesir

Saturday, November 13, 2010

Kekurangan Itu Bernilai


Suatu masa di negeri China, ada seorang perempuan tua yang miskin setiap hari berulang alik mengangkut air dengan bekas airnya. Oleh kerana kemiskinan yang dilaluinya, satu bekas pada bekas airnya telah bocor dan yang satu lagi sempurna dan dalam keadaan yang baik. Setiap kali mengangkut air, perempuan tua itu menerima hakikat bahawa bekas yang bocor itu hanya tinggal separuh airnya apabila sampai ke rumah dan yang satu lagi penuh. Selama bertahun-tahun inilah yang dilalui oleh perempuan tua yang tabah ini.

Bekas yang sempurna dan berjaya membawa air, penuh bangga dengan dirinya berkhidmat kepada tuannya sedangkan bekas bocor sentiasa merasa rendah diri atas kekurangannya. Pasti khidmat kepada tuannya tidak sesempurna bekas yang satu lagi. Kedua-duanya berada pada kedudukan yang berlawanan.

Selepas beberapa tahun dalam keadaan demikian, suatu hari di tepi sungai ketika rutin biasa mengambil air, si bekas yang rosak meluahkan perasaannya kepada perempuan tua tersebut dalam keadaan yang sangat sedih.

"Aku malu dengan diri sendiri ini. Aku ni bocor…tidak sempurna seperti bekasmu yang lagi satu. Bila sampai ke rumah, aku tidak pernah berjaya membawa air sebanyak dia".

Perempuan tua berhati tabah dan mulia itu tersenyum lembut sambil berkata:"Aku sudah lama tahu tentang keadaanmu yang bocor kalau itu yang engkau anggap sebagai tidak sempurnya. Tapi kekurangan bukan bermakna engkau tidak berguna. Sebab itu aku menabur benih di sepanjang pinggir jalan yang kita lalui setiap hari. Kerana aku tahu engkaulah yang menyiram benih-benih bunga sehingga ia tumbuh dan menghiasi jalan itu".

"Aku memetik bunganya, dibawa balik dan menghiasi rumah sehingga suasana rumah begitu tenang dan indah. Suasana ini memberi kelapangan fikiran dan perasaan sehingga aku bertenaga untuk melalui setiap hari yang berlalu. Bunga itu memberi inspirasi yang tidak ternilai".

"Engkau sangat berjasa pada diriku. Kekuranganmu sesungguhnya membuahkan keindahan yang hanya dapat dihargai dan dilihat dengan mata hati yang cerah. Jadilah dirimu seadanya. Apa yang engkau anggap tidak sempurna dalam dirimu, itulah sumber keindahan yang berjaya menyejukkan hatiku seperti air yang segar menghilangkan dahaga di tekak yang kering…".

Kesempurnaan hanyalah milik Allah. Dengan kesempurnaanNya, Dia menjadikan ketidaksempurnaan makhluk sebagai suatu rahmat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mu'minun ayat 115 yang bermaksud

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

# Setiap manusia dikurniakan kelebihan dan kekurangan. Tiada insan di dunia ini yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah. Janganlah bersedih di atas kelemahan yang ada pada diri. Redholah dengan apa yang Allah kurniakan untuk diri kita. Tidak ada yang dijadikan sia-sia seperti yang termaktub dalam firman Allah di atas. Oleh itu, Janganlah kita mengeluh dengan kekurangan yang ada pada diri. Sentiasalah bersyukur dengan kurnian Allah pada kita. Kekurangan itu bukanlah sia-sia bahkan kekurangan itu bernilai.

Copy From : Link

7 Zulhijjah 1431 - 13 November 2010

11.06 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...