Friday, November 26, 2010

Lima Syarat Jika Ingin Maksiat


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata:

“Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:

“Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.

“Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata:

1- “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-Nya.”

Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:

“Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham.

“Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”

2- “Yang kedua,” kata Ibrahim, “kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya:

“Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab:

3- “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:

“Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan:

4- ”Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:

“Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab:

5- “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:

“Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.” Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah.” katanya sambil teresak-esak.


Wahai sahabat yang dirahmati Allah, malulah kita dengan Allah terhadap maksiat dan dosa yang telah kita lakukan pada Dia. Setiap maksiat yang kita lakukan akan menggelapkan hati dan menjauhkan kita dengan Allah. Dan hati mereka yang penuh dengan maksiat akan menyukarkan ilmu untuk masuk ke dalam diri. Oleh itu, jangan biarkan diri kita terus menerus dalam kemaksiatan. Tutuplah serapat-rapatnya pintu yang boleh mengheret kita ke arah maksiat. Bertaubatlah kepada Allah terhadap segala dosa yang telah kita lakukan kepada Dia. Jadilah seorang hamba yang bersyukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Firman Allah dalam surah ad-Dhuha ayat 7-10 yang bermaksud

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Copy From : (link)

#Tahniah diucapkan kepada salah seorang ahli bait saya Ustaz Ali Imran yang telah selamat diijab kabulkan dengan isteri tercinta pada 24 November baru ini di rumah isteri beliau di Perlis. Kami serumah mendoakan agar Ustaz Ali Imran dan isteri semoga dapat melayari bahtera rumah tangga ini mengikut acuan al-Quran dan as-Sunnah dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Dan semoga bahagia di dunia dan akhirat. Amin.

20 Zulhijjah 1431 - 26 November 2010
8.55 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Lima Syarat Jika Ingin Maksiat”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...