Monday, November 15, 2010

Pengorbanan


Salam AidilAdha 1431 diucapkan kepada seluruh umat islam yang bakal menyambut hari kebesaran islam ini pada esok hari di Mesir dan kawasan yang sewaktu dengannya. Manakala di Malaysia akan menyambutnya pada 17 November. Marilah sama-sama kita menyambut AidilAdha ini dengan menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam mematuhi perintah Allah. Di mana baginda diperintah untuk menyembelih anaknya sendiri sepertimana yang tercatat di dalam firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 100-110 yang bermaksud

" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Penantian yang begitu lama oleh Nabi Ibrahim untuk memperoleh zuriat sehinggalah baginda tua barulah dikurniakan seorang anak. Namun tidak lama selepas itu Nabi Ibrahim diuji dengan ujian yang cukup berat oleh Allah. Namun kerana taat akan perintah Allah nabi Ibrahim akur dengan suruhan itu walaupun anaknya yang menjadi taruhan. Lihatlah betapa besar pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh baginda. Adakah kita setabah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam menempuh ujian seberat ini??? Ambillah pengajaran dari kisah yang telah dirakamkan ini. Walau seberat manapun perintah Allah ke atas kita, haruslah kita patuh dan taat. Berusalah sedaya upaya untuk menjalankan setiap suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Janganlah dituruti hawa nafsu dan syaitan yang pada akhirnya akan menjerumuskan kita ke dalam kemaksiatan dan nerakalah selayaknya bagi mereka yang menjadi pengikut syaitan laknatullah. Na'uzubillah min zalik. Ya Allah, Engkau bimbinglah kami agar kami sentiasa berada pada jalanMu yang lurus ini. Dan letakkanlah kami bersama-sama mereka yang Engkau redhoi. Amin ya Rabb.

SALAM AIDILADHA 1431 MAAF ZAHIR BATIN

9 Zulhijjah 1431 - 15 November 2010

10.40 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Pengorbanan”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...