Thursday, April 21, 2011

Thanks You All !!!


Alhamdulillah semalam sempat untuk mengikuti majlis khatam pembacaan Kitab asy-Syama'il al-Muhammadiyyah di masjid Azhar Kaherah yang dihadiri oleh syeikh-syeikh muktabar al-Azhar antaranya mufti Mesir Syeikh Ali Jumuah, Syeikh Ibrahim al-Kittani, Syeikh Usamah, Syeikh Jamal Farouk dan lain-lain lagi. Para tetamu yang mengikuti majlis itu terdiri di kalangan mahasiswa al-Azhar dan penduduk tempatan. Memandangkan rumah saya yang jauh dari Kaherah, menjadikan kedatangan saya untuk mengikuti pembacaan kitab itu dari awal terbatas. Namun saya bersyukur kerana dapat mengikuti majlis khatam pembacaan kitab tersebut, mudah-mudahan saya dan hadirin yang hadir mendapat keberkatan dari majlis yang mulia seumpama itu.

Dalam majlis itu, Syeikh Usamah selaku pengerusi majlis memberitahu kepada hadirin semua kenapa hari ini dipilih untuk mengkhatamkan kitab asy-Syama'il al-Muhammadiyyah (kitab berkaitan peribadi Rasulullah) ini. Hari ini dipilih adalah kerana bertepatan dengan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. iaitu 20 April mengikut kalendar Masehi. Ya Allah, rupanya betul la sebelum ini saya pernah dengar yang Nabi lahir pada 20 April. Kebetulan 20 April tu sama dengan tarikh lahir saya. Malu rasanya bila bandingkan diri ini dengan Rasulullah, memang terlalu jauh dan tiada bandingannya. Diri yang sentiasa lalai dan leka dengan kehidupan dunia yang fana' ini. Semoga dengan persamaan tarikh ini menjadi titik tolak untuk saya memperbaiki diri mencontohi peribadi Rasulullah yang mulia sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Qolam ayat 4 yang bermaksud

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Di kesempatan ini Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat & family yang wish untuk birthday saya semalam kerana mengingati diri ini sama ada melalui facebook, h/p, ym ataupun secara face 2 face. Semoga apa yang kalian ucap dan doakan dimakbulkan oleh Allah. Terima kasih juga buat ahli bait saya kerana bersusah payah mengeluarkan duit kalian untuk membeli kek & pizza semata-mata nak celebrate my birthday. Saya amat menghargai jasa kalian. Semoga Allah membalas jasa kalian semua yang terlibat dalam usaha untuk menggembirakan hati pemilik teratak ini di hari kelahirannya. Sekian....

17 Jamadil Awwal 1432 - 21 April 2011
9.36 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Wednesday, April 20, 2011

Happy Sweet 22nd Birthday


Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana hingga saat (20 April = 22 tahun) ini Dia masih memberi kesempatan untuk hambaNya ini bernafas dan mengecapi pelbagai nikmat terutama nikmat iman dan islam. Begitu banyak nikmat yang dikurniakan, namun tidak pernah sekali pun Dia minta kita untuk membayarnya kembali. Apa yang dipinta adalah mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Pun begitu, tidak semua dari kita ini yang mampu untuk menunaikan kedua-dua perkara ini dengan baik. HambaMu ini sering saja lalai dan leka dengan kenikmatan dunia yang fana' ini. Oleh itu, hambaMu ini memohon

Ya Allah, Engkau bimbinglah diri ini agar sentiasa berada di jalanMu yang lurus ini,

Ya Allah, Engkau kuatkanlah imanKu agar dapat menempuh kehidupan dunia yang penuh
dengan onak dan duri ini,

Ya Allah, Janganlah Engkau pesongkan hati ini setelah Engkau memberi hidayahMu kepadaku,
Jadikanlah kehidupan ini sebagai ladang, moga di akhirat kelak dapat ku mengutip hasilnya.

Ya Allah, tambahkanlah amalanku di saat bertambahnya usiaku. Jadikanlah cahayaMu yang bersinar menyinari jalanku,

Ya Allah, Engkau akhirkanlah hidupku ini dalam husnu al-khatimah dan jangan Engkau akhirkan diriku ini dalam suu' al-khatimah,

Ya Allah, Engkau thabatkanlah diri ini dalam perjuangan islam untuk menegakkan kalimahMu di muka bumi ini.

Amin ya Rabb al-'Alamin....

p/s : Syukran kepada mereka-mereka yang telah wish happy birthday melalui facebook saya terutama Ustaz Rashidi bekas ahli seusrah saya suatu ketika dulu sebab menjadi orang pertama yang wish kat saya untuk tahun 2011 ni. Dan syukran juga buat mereka-mereka yang bakal buat ucapan birthday untuk saya. Dulu2 wish melalui h/p tapi sejak2 semua dah ada facebook ni , semua pakat wish kat facebook. Apapun thanks ya semua yang mengingati diri ini.

16 Jamadil Awwal 1432 - 20 April 2011
12.15 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Monday, April 18, 2011

Nabi Adam vs Iblis


Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina". Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)". Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya; "Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim". Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)". Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua". Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?" Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".

Rasanya semua sudah maklum dengan kisah nabi Adam dan iblis seperti yang terpapar di atas. Kisah ini dipetik dari firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 11-23 Kisah Nabi Adam Dimuliakan Allah, Iblis menjadi makhluk pertama yang dilaknat oleh Allah dan juga kesalahan yang dilakukan oleh iblis dan Nabi Adam kepada Allah. Apa yang nak dikongsi untuk post kali ini adalah tentang 5 sifat Nabi Adam dan Iblis setelah melakukan kesalahan kepada Allah yang dipetik dari tafsir al-Qosami.

Nabi Adam berbahagia dengan lima perkara iaitu :

- Mengakui Kesalahan
- Menyesal akan kesalahan itu
- Menemplak dirinya sendiri
- Segera bertaubat
- Tidak berputus asa dari rahmat Allah

Sebaliknya iblis telah ditimpa celaka disebabkan lima perkara :

- Tidak mengaku salah
- Tidak menyesal dengan kesalahan yang dilakukan
- Tidak menemplak dirinya sendiri
- Enggan dan tidak mahu bertaubat
- Putus asa dari rahmat Allah

Setiap kali sebelum selesainya khutbah pertama, maka khatib-khatib di sini pastinya akan mengingatkan kepada para jemaah bahawa setiap anak Adam itu tidak lari dari melakukan kesalahan, dan sebaik-baik dari kesalahan itu adalah bertaubat daripadanya. Sahabat, dunia pada hari ini tidak menjanjikan keamanan buat kita. Keluar je rumah ternampak maksiat. Buka je televisyen dan komputer (internet) ternampak maksiat lagi. Di mana-mana pun maksiat sudah berleluasa. Oleh itu kita perlu sentiasa memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dari kesalahan yang tidak disengajakan dan lebih-lebih lagi kesalahan yang disengajakan. Contohilah sifat Nabi Adam dengan terus bertaubat kepada Allah setelah melakukan kesalahan. Jangan kita tangguh-tangguh untuk bertaubat kerana ajal itu datang tanpa diduga. Jangan kita jadi seperti iblis yang tidak mahu bertaubat dari kesalahan yang dilakukan. Gunakanlah kesempatan yang masih diberikan untuk bertaubat sebelum matahari terbit di barat dan sebelum nyawa sampai di kerongkong. Sekian...

14 Jamadil Awwal 1432 - 18 April 2011
7.55 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Wednesday, April 13, 2011

Ada Apa Dengan Nama ?


Ahli Nujum Negara Masai : Di manakah terletak kekuatan Datuk Laksmana Hang Tuah? Di kerisnyakah? Di tenaganyakah?

Nujum Pak Belalang : Kekuatan Datuk Laksmana Hang Tuah bukanlah terletak di kerisnya ataupun di tenaganya.

Ahli Nujum Negara Masai : Di manakah terletaknya?

Nujum Pak Belalang : Kekuatan Datuk Laksmana Hang Tuah adalah terletak di atas huruf Ta'nya (huruf T).

Ahli Nujum Negara Masai : Huruf Ta'?

Nujum Pak Belalang : Benar...

Ahli Nujum Negara Masai : Buktikan!!!

Nujum Pak Belalang : Oleh sebab huruf Ta'lah (huruf T) yang menguatkan ejaan Tuah. Ta' Waw Alif Ha' (TUAH). Cuba huruf Ta' (huruf T) digantikan dengan huruf Ba' (huruf B).

Ahli Nujum Negara Masai : Buah...

Nujum Pak Belalang : Datuk kenal pada Hang Buah?

Ahli Nujum Negara Masai : Tak kenal...

Sila baca ikut gaya penyampaian dari kedua-dua watak ini untuk menghayatinya. Boleh tengok balik cerita Nujum Pak Belalang untuk tahu gaya penyampaian mereka.

Sedikit petikan yang diambil dari cerita P Ramlee yang bertajuk Nujum Pak Belalang sebagai muqaddimah untuk post kali ini. Saya tak pasti sama ada sedutan cerita seperti di atas yang dibawakan oleh P Ramlee fakta ataupun sekadar gurauan tapi rasanya hanyalah gurauan semata. Adakah kita kenal dengan Hang Buah??? Pastinya semua tidak mengenali Hang Buah. Tapi yang kita kenal melalui sejarah adalah Hang Tuah bukannya Hang Buah. Inilah yang nak dikaitkan dalam post kali ini berkaitan dengan nama. Nama adalah sangat penting bagi setiap individu. Nama merupakan simbol khusus yang dapat membezakan seseorang itu dengan orang lain. Kalau kita perhatikan, dalam sesi ta'aruf (perkenalan) perkara pertama yang akan kita tanya atau yang akan diberitahu oleh orang yang memperkenalkan diri itu adalah nama. Bermakna, kita mula mengenali seseorang itu melalui nama mereka. Ini menunjukkan kepentingan nama bagi setiap individu.

Pasangan suami isteri yang bila mana mengetahui bahawa mereka bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi, maka perkara pertama yang akan difikirkan adalah nama yang akan diberikan kepada anak yang bakal lahir itu, sama ada lelaki mahupun perempuan. Perkara ini sesuai dengan saranan Junjungan Besar Nabi kita Muhammad agar menamakan anak yang telah dilahirkan. Sabda nabi yang bermaksud

Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya, ia hendaklah disembelih pada hari ketujuhnya dan pada hari itulah ia diberikan nama dan dicukur kepalanya.

Begitu juga bagi mereka yang ingin menubuhkan sesebuah syarikat, restoran, sekolah dan sebagainya maka pastilah nama untuk syarikat mereka itu menjadi agenda penting untuk dibincangkan dan difikirkan. Alhamdulillah di Malaysia, kebanyakan nama-nama yang diberikan oleh ibu bapa untuk anak mereka semuanya nama yang baik-baik belaka. Tambahan pula orang Malaysia ini suka memberikan nama yang panjang untuk anak mereka. Cuma yang sedihnya orang Malaysia ni suka memendekkan nama seseorang itu untuk panggilan mereka. Contoh kalau nama Muhammad (yang terpuji) maka orang Malaysia ni lebih suka untuk memendekkan jadi Mad je. Kalau Shauqie (kerinduanku) maka akan jadi Qie. Satu lagi perangai orang kita ini suka memberikan gelaran yang pelik-pelik mengikut perwatakan individu itu. Contoh kalau seseorang itu bertubuh badan agak besar maka akan digelar bear, debab atau montel. Ada juga yang mendapat gelaran buaya, monyet, superman, kucing, honda, juling, jongang dan sebagainya.

Perkara seperti ini seakan sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita. Perlu kita ingat bahawa, setiap apa yang kita ucapkan itu merupakan doa. Begitu juga dengan panggilan nama untuk seseorang itu juga merupakan doa. Maka sebaiknya adalah dengan memperelokkan panggilan kita itu sesuai dengan nama yang telah diberikan kepada individu itu. Kalau namanya Muhammad maka panggillah dengan Muhammad. Jangan dipendekkan jadi Mad je sebab tak ada maksud untuk panggilan Mad tu. Perlu diingat juga, setiap gelaran yang kita letakkan ke atas individu itu, selagi mana orang yang kita gelar itu tidak redho dengan gelaran yang kita berikan maka selama itulah kita akan berdosa. Makanya, eh terbahasa Indon pulak. Oleh itu, jangan kita senang-senang untuk berikan gelaran pada orang kalau gelaran itu sendiri kita tidak suka untuk diletakkan ke atas diri kita. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Rasanya agak susah untuk kita ubah panggilan terhadap seseorang itu setelah bertahun-tahun kita memanggilnya dengan panggilan itu contoh macam Mad tadi nak tukar panggil Muhammad. Memang susah bagi mereka yang menganggap ianya susah. Betul tak??? Anggaplah ia mudah bagi kita. Kalau susah sangat pun, diharap cuba juga untuk menukar panggilan kita itu Panggillah saudara @ sahabat kita sesuai dengan nama yang telah diberikan kepada dia. Jangan dipendekkan contoh macam Ali kita panggil Li je. Kalau dipendekkan pun biarlah yang mempunyai maksud. Contohnya macam nama saya Muntazimuddin. Agak panjang kalau nak panggil nama penuh. So boleh pendekkan jadi Muntazim (orang yang bersistem/berdisiplin) ataupun Azim. Ada juga kawan yang panggil saya Mumtaz (cemerlang) sebab diaorang ingat ejaan nama saya Mumtaz (cemerlang). Padahal ejaan yang sebenarnya adalah Muntazim (orang yang bersistem/berdisiplin). Asalkan panggilan nama itu baik, maka teruskan untuk memanggil seperti itu. Doakan perkara yang baik untuk sahabat @ saudara kita melalui panggilan yang baik kepada mereka dengan harapan nama (yang bagus maksudnya) yang kita sebut itu terjelma dalam peribadi saudara @ sahabat kita. Untuk akhirnya ada 3 benda yang boleh disimpulkan dalam post kali ini

- Berikanlah nama kepada anak-anak dengan nama yang baik dan bagus maksudnya. Untuk panduan sila ke laman web ini halaqah.net

- Memanggil sahabat-sahabat kita dengan panggilan sesuai dengan nama yang diberikan contoh Badruddin (cahaya agama), maka jangan dipendekkan jadi Bad (kalau sebut dalam B.I tak ke jahat maksud dia) je.

- Jangan memberi gelaran kepada sahabat @ saudara kita melainkan gelaran-gelaran yang baik.

p/s : Kepada sahabat-sahabat yang perasan kalau saya memanggil dengan memendekkan nama anda, silalah tegur ye. Manusia tak boleh lari dari melakukan kesalahan. Wallahua'lam

9 Jamadil Awwal 1432 - 13 April 2011
7.52 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Thursday, April 7, 2011

4 Qiraat Students !!!


Hujan kembali melimpahi bumi Tanta untuk kali ke berapa saya tidak pasti. Kira tahun ni banyak kali juga la hujan turun di Mesir ni. Selalunya hujan taklah lebat dan dalam kadar masa yang tidak lama. Tapi kali ni agak lebat dan lama sikit dari biasa siap bunyi guruh lagi, macam kat Malaysia pulak. Ok, itu bukan benda yang nak bincang panjang lebar untuk post kali ini. Mungkin post akan datang. Itu pun mungkin la. Sebenarnya kali ni nak kongsi maklumat sikit khusus untuk member-member yang study dalam bidang Qiraat ni dan amnya untuk mereka-mereka yang ambil selain dari qiraat. Okay macam ni, minggu lepas saya telah mendapat satu mesej offline dari seorang sahabat brunei saya. Dalam mesej itu beliau menyatakan bahawa salah sebuah universiti di sana buat julung kalinya mewujudkan pengajian dalam bidang qiraat. Universiti tersebut telah menawarkan 3 peringkat pengajian dalam bidang qiraat.

1 - IJAZAH SARJANA MUDA (BA)
2 - IJAZAH SARJANA (MA)
3 - DOKTOR FALSAFAH (PHD)

Sahabat saya itu telah mencadangkan kepada saya agar memohon ijazah sarjana (MA) di universiti berkenaan, memandangkan saya telah pun menghabiskan first degree saya dalam bidang tersebut melalui Maahad Qiraat Shoubra. Menurut beliau lagi, universiti tersebut ada menawarkan scholarship bagi mahasiswa yang menuntut di situ yang mana setiap bulan akan mendapat B$1500. Dan tambang pergi balik ke brunei ditanggung oleh universiti berkenaan.

Itu antara maklumat yang beliau sampaikan kepada saya. First time dapat tahu maklumat tu, agak tertarik la dengan tawaran-tawaran yang dikemukakan. Setelah dapat mesej offline tu terus saya reply balik mesej dia dengan bermacam-macam soalan yang diajukan. Antaranya, siapa yang akan menjadi tenaga pengajar dalam bidang qiraat di universiti berkenaan. Sahabat saya itu menjawab, tenaga pengajar di situ kebanyakannya dari luar negara Brunei seperti Yaman, Mesir, Malaysia dan lain-lain. Saya tak pasti kalau untuk qiraat tenaga pengajarnya dari mana sebab dia hanya bagi tahu secara rambang je. Saya ada tanya pendapat seorang sahabat saya tentang perkara ni. Dan respon beliau antaranya,

- Bagaimana kualiti universiti berkenaan.
- Bagaimana kualiti graduan universiti itu.
- Adakah universiti itu mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia.
- Senang tak nak cari bahan untuk buat tesis MA Qiraat tu di sana (Brunei).

Sekarang ini masih lagi dalam proses untuk mendapatkan maklumat (macam berminat sungguh je) secara terperinci. Maklumat yang dicari ini adalah untuk kemudahan bagi sahabat-sahabat seQiraat yang berminat untuk memohon la ye. Cuma masalah sekarang ialah sahabat Brunei saya tu jarang online. Jadi susah untuk mendapatkan maklumat lanjut lagi pasal benda ini. Tapi baru ni saya telah pun menggunakan khidmat sahabat saya Ustaz Shauqie Sazli untuk mendapatkan maklumat pasal perkara ini memandangkan kakak beliau kini bekerja di sana dan lebih senang untuk menghubungi universiti berkenaan. Antara maklumat yang saya dapat

- Scholarship yang ditawarkan adalah untuk semua mahasiswa (tidak terkecuali mahasiswa Malaysia) yang menuntut di situ.
- Tambang pergi balik ke Brunei disupport oleh universiti berkenaan.
- Universiti berkenaan diiktiraf oleh Malaysia kerana universiti itu ada buat Mou dengan USIM dan UKM.
- Bagi yang berminat, boleh dapatkan borang pemohonan di laman web universiti itu. Anda perlu print borang itu, kemudian isi, setelah isi anda perlu scan borang yang anda isi kemudian hantar kembali ke email universiti berkenaan. Nanti universiti itu akan panggil interview.

Mesti sahabat sekalian tertanya-tanya apa nama universiti ni kan??? Lupa pulak nak sebut nama universiti ni. Nama penuh dia UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI atau singkatan dia UNISSA. Tapi kalau perasan dalam gambar kat atas tu dah letak logo UNISSA tu. Unissa ni baru beroperasi pada tahun 2007. Dan tahun 2011 ni merupakan tahun pertama pengeluaran produk-produk (graduan-graduan) hasil didikan dari Unissa. Itu sekadar ringkasan pengenalan Unissa ni. Ok, Kalau nak tahu syarat-syarat untuk memohon BA, MA, Phd qiraat di UNISSA ni boleh la layari web dia di UNISSA. Sekadar peringatan, tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April 2011 seperti yang tertulis dalam syarat-syarat tu. Bagi anda yang berminat untuk memohon, sila ambil perhatian ini sebaik mungkin. Saya mohon maaf sekiranya maklumat yang saya berikan tidak betul atau salah, sebab saya hanya sampaikan dari sahabat Brunei saya tu. Kalau salah maklumat yang dia berikan bermakna maklumat saya pun salah la ye. Begitu juga maklumat dari Ustaz Shauqie tu. Kalau nak maklumat yang lebih tepat boleh terus call UNISSA di talian +673-2462000 atau terus ke UNISSA bagi mereka yang mampu. Setakat ini dulu. Lepas ni kalau ada maklumat terbaru saya akan maklumkan di blog ini ataupun di facebook saya. Wassalam

Syarat-syarat untuk memohon


Sila klik untuk tumbesaran yang lebih menarik

3 Jamadil Awwal 1432 - 7 April 2011
10.04 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...