Monday, April 18, 2011

Nabi Adam vs Iblis


Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina". Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)". Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya; "Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim". Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)". Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua". Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?" Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".

Rasanya semua sudah maklum dengan kisah nabi Adam dan iblis seperti yang terpapar di atas. Kisah ini dipetik dari firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 11-23 Kisah Nabi Adam Dimuliakan Allah, Iblis menjadi makhluk pertama yang dilaknat oleh Allah dan juga kesalahan yang dilakukan oleh iblis dan Nabi Adam kepada Allah. Apa yang nak dikongsi untuk post kali ini adalah tentang 5 sifat Nabi Adam dan Iblis setelah melakukan kesalahan kepada Allah yang dipetik dari tafsir al-Qosami.

Nabi Adam berbahagia dengan lima perkara iaitu :

- Mengakui Kesalahan
- Menyesal akan kesalahan itu
- Menemplak dirinya sendiri
- Segera bertaubat
- Tidak berputus asa dari rahmat Allah

Sebaliknya iblis telah ditimpa celaka disebabkan lima perkara :

- Tidak mengaku salah
- Tidak menyesal dengan kesalahan yang dilakukan
- Tidak menemplak dirinya sendiri
- Enggan dan tidak mahu bertaubat
- Putus asa dari rahmat Allah

Setiap kali sebelum selesainya khutbah pertama, maka khatib-khatib di sini pastinya akan mengingatkan kepada para jemaah bahawa setiap anak Adam itu tidak lari dari melakukan kesalahan, dan sebaik-baik dari kesalahan itu adalah bertaubat daripadanya. Sahabat, dunia pada hari ini tidak menjanjikan keamanan buat kita. Keluar je rumah ternampak maksiat. Buka je televisyen dan komputer (internet) ternampak maksiat lagi. Di mana-mana pun maksiat sudah berleluasa. Oleh itu kita perlu sentiasa memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dari kesalahan yang tidak disengajakan dan lebih-lebih lagi kesalahan yang disengajakan. Contohilah sifat Nabi Adam dengan terus bertaubat kepada Allah setelah melakukan kesalahan. Jangan kita tangguh-tangguh untuk bertaubat kerana ajal itu datang tanpa diduga. Jangan kita jadi seperti iblis yang tidak mahu bertaubat dari kesalahan yang dilakukan. Gunakanlah kesempatan yang masih diberikan untuk bertaubat sebelum matahari terbit di barat dan sebelum nyawa sampai di kerongkong. Sekian...

14 Jamadil Awwal 1432 - 18 April 2011
7.55 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Nabi Adam vs Iblis”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...