Saturday, May 14, 2011

Permata Keluarga


Anak adalah anugerah daripada Allah untuk pasangan yang bergelar suami isteri. Setiap mereka yang telah diijabkabulkan pastinya menginginkan agar bahtera yang mereka bina ini diserikan lagi dengan kehadiran cahaya mata di sisi. Anak merupakan amanah Allah untuk suami isteri agar mereka dapat mengasuh dan mendidik anak itu menjadi Insan yang Rabbani pada masa akan datang. Kita kaum Adam disarankan oleh Nabi untuk memilih bakal isteri berdasarkan agamanya sepertimana dalam sabda Baginda yang bermaksud

"Wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu(lebih utama)"

Kenapa kita disuruh oleh nabi untuk memilih wanita berdasarkan agamanya??? Antara salah satu sebabnya adalah kerana proses mendidik anak itu bermula sejak bayi itu dalam kandungan lagi. Sekiranya kita memilih mereka yang lebih agamanya maka mereka akan tahu bagaimana cara mendidik anak sesuai dengan tuntutan agama islam itu sendiri. Allah telah menetapkan bahawa laki-laki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik pula dan begitulah sebaliknya sepertimana dalam firmanNya yang bermaksud

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (an-Nur : 26)

Sekiranya kita (kaum Adam) ingin mendapat wanita yang baik maka seharusnyalah kita memastikan bahawa diri kita itu menjadi insan yang soleh luaran dan dalaman agar nanti kita dikurniakan pula insan yang solehah juga. Apabila kedua mereka ini telah menjadi insan yang baik maka insyaAllah mereka mampu untuk mendidik anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan taat kepada Allah dan Rasul juga kepada ibubapa mereka.

Anak-anak ibarat kain putih yang mana para ibu bapalah yang harus mencorakkan mereka itu sesuai dengan tuntutan islam. Anak hari ini adalah lambang suasana masa hadapan. Jika kelakuan mereka tika ini baik dan bagus maka suasana yang bakal kita hadapi pada masa akan datang pun insyaALLAH akan baik dan bagus dan begitu jugalah sebaliknya. Maka dengan itu didiklah anak-anak sejak mereka masih kecil kerana waktu ini adalah waktu yang sangat sesuai untuk mencorakkan mereka bak kata pepatah melayu "Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya"

Oleh itu ibu bapa seharusnya memikul amanah yang diberikan oleh Allah ini dengan sebaiknya dalam mendidik dan mengasuh anak mereka. Didiklah anak-anak sesuai dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Tunjukkan sikap dan kelakuan yang baik terhadap anak-anak anda. Mereka adalah permata yang perlu dijaga sebaiknya. Melahirkan anak yang soleh adalah merupakan bekalan yang berharga buat para ibu bapa bila berakhirnya kehidupan mereka di dunia yang fana' ini, kerana anak-anak yang soleh itu nantilah yang akan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan untuk kedua ibu bapa mereka agar ditempat bersama orang-orang yang soleh di akhirat kelak InsyaALLAH. Sabda nabi yang bermaksud

"Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.


Akhirnya hayatilah lirik dibawah ini moga ianya berguna untuk para ibu dan bapa di luar sana. Wallahu'alam..

Permata Keluarga by UNIC

Anak-anak adalah permata ayah bonda
Penghibur duka lara, menyejukkan mata
Ibarat kain putih yang suci dan bersih
Terpulang bagaimana untuk mencoraknya

Berilah mereka didikan agama,
Kelak bila dewasa, jadi insan berguna
Kepada nusa dan bangsa,
Kepada insan semua

Melenturi buluh biarlah daripada rebungnya
Asuhlah mereka ajarkan mereka akhlak yang mulia
Anak-anak cahaya mata
Anak soleh impian semua
Andainya kita meninggalkan dia
Akan mengalir doa darinya

Didiklah anak-anak kita
Menjadi anak yang soleh
Pabila kita tiada
Jadi penerang alam baqa

Anak soleh permata keluarga
Harta kita paling berharga
Setiap doanya pada kita
Jariah kita di sana

11 Jamadil Akhir 1432 - 14 Mei 2011
11.46 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Permata Keluarga”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...