Tuesday, March 2, 2010

Hidup Cuma


-HIDUP KITA CUMA DI DALAM 3 HARI: Semalam : Sudah menjadi sejarah. Hari Ini : Apa yang sedang kita lakukan. Esok : Hari yang belum pasti. Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 34 yang bermaksud:

Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung), dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat), dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah amat mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya.

-HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS: (1) Nafas naik. (2) Nafas turun. Hargailah nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhoanNya dalam menggunakannya. Bertaubatlah dalam nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba sebelum nyawanya sampai ke kerongkong”

-HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN : (1) Hidup dalam keredhoan Allah. (2) Hidup dalam kemurkaan Allah.

Firman Allah dalam surah As-Syams ayat 7-10 ynag bermaksud:

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), maka diilhamkanya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada kebaikan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih- bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya -yang sedia bersih- itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

-HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT : (1) Kekal di dalam neraka. (2) Kekal di dalam syurga.

Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 36 yang bermaksud

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) kami dan yang angkuh (merasa diri lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya

Firman Allah lagi dalam surah Al-A’raf ayat 42 yang bermaksud:

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.


Fikir dan renungkanlah untuk muhasabah bersama. Gunakan akal fikiran yang dibajai dengan iman untuk tentukan yang mana kaca dan yang mana permata. Pandulah hidup kita selari dengan ajaran islam yang telah dibawa oleh Rasulullah. Jadikanlah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup untuk menuju syurga Allah Taala. Penulis akhiri dengan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa mudamu sebelum datang waktu tuamu Masa sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, Masa kayamu sebelum datang waktu fakirmu, Masa senangmu sebelum datang waktu sibukmu, Masa hidupmu sebelum datang kematianmu”

Ya Allah tuhan yang Maha Kuasa, jadikanlah kehidupan kami ini kehidupan yang diredhoi olehMu, Berilah hidayah kepada kami sepanjang kami menempuh ujian hidup di dunia ini. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

16 Rabiul Awwal 1431 - 2 Mac 2010
1.58 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...