Friday, February 26, 2010

Salam Maulid Ar-Rasul s.a.w


Hampir sebulan imtihan fasa pertama melabuhkan tirainya dan cuti juga kian sampai ke penghujung. Kuliah akan berjalan seperti biasa bermula sabtu ini. Teratak usang ini juga turut sama bercuti. Sudah sebulan dibiarkan tanpa diupdate.Penulis merasa amat rugi kerana tidak memanfaatkan masa cuti ini untuk berkongsi ilmu melalui teratak ini. Banyak masa yang terbuang begitu sahaja. Tapi alhamdulillah penulis panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana walaupun agak banyak masa yang terbuang dapat juga penulis menyiapkan blog Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah yang telah diamanahkan kepada penulis beberapa bulan lalu.
Apapun perkara yang dah berlalu telah pun menjadi sejarah. Apa yang perlu ialah belajar dari kesilapan dan memperbaiki diri. Kata-kata memang mudah untuk diungkapkan, tetapi yang payah adalah untuk melakukan perkara yang telah diungkapkan. Ianya memerlukan kekuatan dan kesungguhan diri kita sendiri untuk melaksanakannya. Ya Allah, aku memohon agar diberikan kekuatan dan kesungguhan untuk melaksanakan segala perkara yang telah diungkapkan yang mana perkara itu membawa keredhoan engkau ya Allah.

Hujan yang turun di sebelah pagi dan bersambung di sebelah petang membuatkan cuaca di Tanta semalam menjadi agak sejuk berbanding hari-hari lain. Abang-abang senior selalu sebut, kalau hujan turun di Mesir menandakan perubahan cuaca akan berlaku. Mengikut dari pengalaman penulis, memang itu yang berlaku. Dan mungkin juga hujan yang membasahi bumi Tanta semalam hujan rahmat kerana hari ini 12 Rabiul Awwal seluruh umat islam menyambut kelahiran insan yang paling agung di bumi Allah ini iaitu junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Insan yang mana sampainya saat kewafatan baginda, baginda masih lagi menyebut umatku sebanyak 3 kali. Insan yang tidak pernah kenal erti penat lelah dalam menyampaikan dakwah demi melihat tertegaknya islam di muka bumi. Insan yang sepatutnya kita jadikan sebagai contoh teladan, idola, ikutan dan sebagainya. Tetapi hari ini, bukan itu yang terjadi. Nabi Muhammad semakin dilupakan. Sunnah nabi kian luput dari amalan seharian kita. Hidup kita lebih terarah dengan cara barat. Pemikiran kita telah diasuh dengan cara barat. Ini semua berlaku kerana kurangnya pendedahan ilmu agama yang diberikan terhadap masyarakat. Masyarakat lebih banyak dihiburkan dengan hiburan yang merosakkan jiwa dan rohani yang mengakibatkan berlaku pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Masalah ini sukar untuk dibendung selagi mana Al-Quran dan As-Sunnah tidak dijadikan sebagai pegangan dan ikutan secara keseluruhannya.

Penulis tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam perkara ini. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Andainya kita ingin menjadi insan yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat, hendaklah kita mengikuti segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Dan jadikanlah Nabi Muhammad sebagai idola dan contoh ikutan buat kita sebagimana Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhoan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah baynyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

Jadikan sunnah nabi sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita. Kalau tidak dapat untuk melakukan semuanya janganlah tinggalkan keseluruhannya. Marilah sama-sama kita mengikut jejak langkah nabi dengan kita mempraktikkan sunnahnya dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan ianya dinilai sebagai ibadah di sisi Allah.

Sebelum penulis mengakhiri artikel ini, penulis sisipkan di sini perkara-perkara yang perlu kita lakukan untuk menyambut kelahiran nabi atau lebih dikenali sebagai maulid nabi yang penulis copy dari risalah dakwah yang diterbitkan oleh DPM TANTA (persatuan pelajar). Antaranya:

- Memperbayakkan membaca Al-Quran

Diriwayatkan daripada Abu hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah, lalu mereka membaca Al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah meyebut tentang mereka dikalangan Nabi dan malaikat di sisiNya”

- Memperbayakkan selawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w.

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w.). Wahai orang-orang yang beriman ! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhya.

- Memperbanyakkan mendengar dan mempelajari sirah Rasulullah s.a.w.

Firman Allah dalam surah Hud ayat 20 yang bermaksud:
Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya dan telah datang kepadamu dalam berita itu, kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman.

-Mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku (ikutilah sunnah dan petunjukku), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampuni dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

- Menambahkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dulu dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekalian manusia.

Akhirnya SELAMAT MENGHAYATI MAULID JUNJUNGAN BESAR NABI S.A.W. Banyakkanlah berselawat ke atas baginda. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang mencintai dan mengamalkan sunnah Baginda Rasulullah s.a.w . Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

12 Rabiul Awwal 1431 - 26 Februari 2010
12.36 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...