Sunday, August 29, 2010

Daulah Islamiyah Yang Diimpikan


Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di belakangnya.

Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.

"Pakcik, biarlah saya tolong kutip, sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya.

Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini.

Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.

Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka... Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

"Hoi budak, Aku di mana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.

Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya? teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum.... Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut.

Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ?

" Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu ? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula. Aku yang gila, atau dia yang gila ? Detak hati Datuk Dr. Johar.

Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan.

"Dimana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah ? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr.Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih.. Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya.

Ia terlepas... Lega. Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana?

Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan : "Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed AlAbrar, hartawan besar berada di Jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu. Tapi kerana lapar ia masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."

"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."

Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!". Lelaki itu tersenyum.

"Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan, "terangnya.

Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."

"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah...."Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. "Nasi beriani sepinggan!"ujarnya kepada pelayan.

"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan.

"Ya ! Apa peliknya?",

"Baik, tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?"tanya pelayan berkulit hitam itu.

Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu keempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang.

Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan.

Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, "ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja.

"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.

"Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit .... malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya.

"Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita, keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan.

Mereka pun makan dengan perlahan-lahan. Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi! "ujarnya kepada pelayan restoran.

"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan.... berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi.

"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang. Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan.

"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya....."

"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya.

"Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.''

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot..

Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya?

Diberanikan hatinya, satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni?

Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya.

Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr. Johar.

Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: 'RAJA'. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI..

Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni?

"Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

"Nanti ya pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda sekarang..."

"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar.

Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran a...

"Eh ...ni suara orang mengaji,"

"Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema.... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujungmengutip sayang di hamparan cinta suci.Inilah getaran hatiku memburu cinta.......stanza hati merindu Ilahi!"

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah ..."

Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.

"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah."

"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri."

" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka."

"Ah, aku tak nak dengar semuanya. makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar, semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIRTRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :" KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.

Isy, meluatnya!

Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

"Datuk..! Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu. "Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr.Johar. "Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya..."

"Habis, mereka mahu apa?"

"Mereka mahu Islam, Datuk!"

"Islam? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.

"ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG..ITULAH JANJI ILAHI"

Sumber : link

19 Ramadhan 1431 - 29 Ogos 2010

9.21 a.m
Ipoh, Perak, Malaysia

Friday, August 27, 2010

Tidak Akan Sesat Selamanya


1 Hari, aku akan tinggalkan kamu
1 Hari, aku akan lari darimu
1 Hari, kamu akan menyesal kerana tidak memilikiku
1 Hari, kamu akan tahu bahawa akulah segalanya untukmu
1 Hari, bila kamu menyedarinya, kamu sudah terlambat untuk memilikiku
Kerana aku Al-Quran, adalah panduan hidupmu
Maka carilah aku, sebelum aku pergi ke sisi Penciptaku

Salam Ramadhan Kareem buat seluruh umat islam yang menumpang di muka bumi Allah ini. Semoga kita terus diberi kekuatan oleh Allah untuk menjalankan tanggungjawab kita selaku hamba di sisi Pencipta yang Agung. Alhamdulillah saya dan sahabat-sahabat selamat sampai di bumi Malaysia 24 Ogos lepas pada jam 4.40 petang setelah lebih kurang 10 jam lebih berada di dalam flight. Alhamdulillah juga diucapkan kerana tiada kejadian buruk berlaku sepanjang berada di dalam penerbangan. InsyaALLAH akan berada di Malaysia lebih kurang 2 bulan dan akan kembali semula ke Mesir pada akhir bulan 10.

17 Ramadhan merupakan tarikh yang bersejarah bagi umat islam seluruhnya kerana pada hari ini telah diturunkan Al-Quran yang menjadi mukjizat bagi Nabi Muhammad s.a.w dan petunjuk buat sekalian alam. Sepertimana yang disarankan oleh Nabi, barangsiapa yang selagi mana hidupnya berpegang dengan Al-Quran dan Sunnahnya maka tidak akan sesat selama-lamanya. Tapi sejauh manakah perkara ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita? Tepuk dada tanyalah iman kita.

Pada 17 Ramadhan juga sejarah telah mengukirkan bahawa umat islam telah berdepan dengan pihak musuh di medan badar yang mana peperangan ini telah berpihak kepada umat islam yang bilangannya lebih kecil berbanding pihak kuffar. Ini telah membuktikan bahawa puasa tidaklah membuatkan seseorang itu lemah dari sudut fizikal apatah lagi mental sehingga menyebabkan mampu memperoleh kemenangan walaupun di saat itu umat islam sedang berpuasa. Kemenangan yang diberikan oleh Allah ini juga adalah disebabkan umat islam pada ketika itu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah menyebabkan mereka dibantu oleh Allah sehingga mencapai kejayaan di dalam peperangan.

Berbeza dengan hari ini, umat islam kian lesu dan kurang bermaya dalam berhadapan dengan serangan musuh sama ada dari sudut fizikal mahupun mental. Ini semua kerana umat islam pada hari ini terutama pemimpin, tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah itu sebagai sumber rujukan utama mereka. Sekiranya pemimpin pada hari ini betul-betul mengikut acuan Al-Quran dan Sunnah sudah tentu mereka ini akan menjadi sepertimana khalifah islam yang berjaya memimpin umat islam suatu ketika dulu. Kita mampu untuk berubah sekiranya kemahuan dan disusuli dengan usaha untuk berubah kita laksanakan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 2- 5 yang bermaksud

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Dari ayat ini dapat kita tahu bahawa bagi mereka yang ingin bertaqwa kepada Allah maka mereka akan menjadikan Al-Quran itu sebagai sumber rujukan dan juga ikutan. Bagi mereka yang tidak mahu bertaqwa pula maka mereka tidak akan menjadikan Al-Quran itu sebagai panduan hidup. Jadi di manakah kita? Mahu jadi golongan pertama ataupun yang kedua. Keputusan terletak pada diri anda. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita sentiasa diberi hidayah dan taufiq dari Allah agar sentiasa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai ikutan dan panduan hidup untuk memperoleh Jannatun Naim Allah insyaALLAH. Amin ya Rabb.

Buat penghafal Al-Quran sekalian, kalian telah dipilih oleh Allah untuk memenuhi dada-dada kalian dengan kalam suciNya. Kalian dimuliakan dari insan-insan yang lain disebabkan selalunya berdamping dengan Kitab suci ini. Oleh itu peliharalah sebaiknya kurniaan yang diberikan ini. Jagalah hafalan kalian agar kalian tidak melupakannya. Jagalah diri kalian dari segala bentuk kemaksiatan yang boleh menghancurkan hafalan dan diri kalian sendiri. Cubalah sedaya upaya untuk mengelakkan diri kalian dari kemaksiatan kerana cahaya tidak akan sekali-kali dapat bercantum dengan kegelapan.

Pernah ditanyakan soalan kepada seorang syeikh bagaimana ingin mengingati hafalan Al-Quran. Beliau menjawab, perlulah selalu berdampingan dengan Al-Quran setiap masa. Saya akui bahawa untuk mengingati 30 juz Al-Quran bukanlah suatu perkara yang mudah. Tidak semua orang mampu untuk mengingati seluruh Al-Quran. Tapi saya percaya sekiranya kita rajin dan selalu mengulangi hafalan kita maka kita akan mengingatinya dalam masa yang sama kita menjaga diri dari segala perkara yang boleh melupakan hafalan tersebut. Sebagai contoh, anda tidak akan lupa surah Al-Fatihah kerana seringkali diulang-ulang bacaannya. Begitu juga surah-surah yang lain sekiranya selalu diulang maka kita akan mengingatinya. Mungkin pada permulaannya agak susah untuk mengingati hafalan Al-Quran, tetapi percayalah kejayaan seseorang itu dalam sesuatu perkara adalah bermula dari kesusahan. Biarlah kita bersusah-susah dahulu agar kita bersenang-senang di kemudian hari. Anda mampu untuk melakukannya. Di mana ada kemahuan di situ dibukakan jalan untuknya. Oleh itu, bertepatan dengan Nuzul Al-Quran ini ayuh sama-sama kita mengulang hafalan kita agar kita mampu untuk mengingati keseluruhan Al-Quran. Percayalah sahabat-sahabat bahawa kemanisannya kita akan rasai setelah bersusah payah untuk mengulang dan akhirnya kita mampu untuk mengingati kesemuanya InsyaALLAH.

Akhirnya, marilah sama-sama kita membudayakan pembacaan Al-Quran bermula dengan diri kita, keluarga seterusnya masyarakat seluruhnya dalam masa yang sama cuba untuk memahami apa yang terkandung di dalam Al-Quran seterusnya mengamalkan apa yang tersurat dan yang tersirat di sebalik Kitab yang mulia ini. Semoga kita semua dapat berakhlak sesuai dengan apa yang dituntut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah dan menjadi insan yang bertaqwa di sisi Rabb Al-Jalil insyaALLAH. Amin Ya Rabb.

17 Ramadhan 1431 - 27 Ogos 2010
8.54 a.m
Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia

Friday, August 20, 2010

Fasa ke-2 bakal tiba (Pertengahannya Maghfiroh)


Pantasnya masa berlalu. Hari ini sudah masuk hari ke 10 umat islam menunaikan ibadah puasa. Bermakna fasa 1 dalam bulan yang mulia ini bakal melabuhkan tirai menggantikan fasa 2 iaitu keampunan Allah. Jom sama-sama muhasabah diri sejauh mana amalan yang telah kita lakukan sepanjang 10 hari Ramadhan ini terutama puasa yang kita kerjakan, adakah kita telah kerjakan dengan sebaiknya atau sebaliknya? Adakah kita telah menggunakan sebaik mungkin peluang yang Allah beri ini untuk merebut pahala yang dijanjikan melalui amalan-amalan yang dilakukan di dalam bulan ini? Amatlah rugi bagi mereka yang tidak mahu berlumba-lumba dalam melakukan amalan kebaikan di bulan yang juga digelar sebagai pesta ibadah ini. Jika ingin diharapkan pada bulan-bulan yang lain untuk memperbanyakkan amalan belum tentu lagi kita mampu untuk melakukannya. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini. Gunakanlah sebaik yang mungkin untuk beramal soleh. Mudah-mudahan ianya menjadi tarbiyah untuk diri kita agar senang untuk melakukan kebaikan pada bulan-bulan yang lain insyaALLAH. Nasihat ini ditujukan terutama kepada diri yang menulis agar menjadi peringatan buat diri yang sering leka dan lalai dalam menunaikan hak sebagai hamba kepada Sang Pencipta. Insan yang bijak ialah mereka yang sering bermuhasabah diri serta memperbaiki kesilapan-kesilapan yang lalu dan berusaha untuk tidak mengulangi kembali kesilapan itu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud

"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t."

Seperti biasa sebelum mengakhiri entry kali ini saya ingin selitkan satu artikel mengenai seorang pemuda dan ayahnya. Artikel yang telah lama menetap dalam peti mailbox saya ini saya keluarkan untuk tatapan pembaca sekalian. Moga dapat mengambil pengajaran dari kisah yang disampaikan.

Seorang pemuda yang sedang berada di tahun akhir pengajiannya mengharapkan sebuah kereta sport daripada ayahnya. Lantas, si pemuda memberitahu hajatnya kepada ayahnya, seorang hartawan yang ternama. Si ayah hanya tersenyum. Si anak bertambah yakin,andai keputusan peperiksaannya begitu cemerlang,pasti kereta itu akan menjadi miliknya. Beberapa bulan berlalu, ternyata si anak,dengan berkat kesungguhannya telah beroleh kejayaan yang cukup cemerlang. Hatinya berbunga keriangan. Suatu hari si ayah memanggil si anak ke bilik bacaannya. Si ayah memuji anaknya sambil menyatakan betapa bangga hati seorang bapa sepertinya dengan kejayaan si anak yang cukup cemerlang. Si anak tersenyum puas. Di ruang matanya terbayang kilauan kereta sport merah yang selama ini menjadi idamannya itu. Si ayah yang bagaikan mengerti kehendak si anak, menghulurkan sebuah kotak yang berbungkus rapi dan cantik. Si anak terkesima, sungguh bukan itu yang kuhajatkan. Dengan hati yang berat kotak itu bertukar tangan. Matanya terarah kepada riak wajah ayahnya yang tidak menunjukkan sebarang perubahan. Seolah-olah tidak dapat membaca tanda tanya yang bersarang di hatinya. Dalam pada itu, si anak masih membuka pembalut yang membungkus kotak itu. Penutup kotak dibuka. Apa makna semua ini??? Sebuah Al-Quran kecil, comel dengan cover kulit tinta emas menghiasi tulisan khat di muka hadapan. Si anak memandang ayahnya, terasa dirinya dipermainkan. Amarahnya membuak. Nafsu mudanya bergelojak. Ayah sengaja mempermainkan saya. Ayah bukannya tidak tahu betapa saya menyukai kereta itu. Bukannya ayah tidak mampu untuk membelikannya. Sudahlah ayah. Bukan Al-Quran ini yang saya mahukan. Katanya keras. Al-Quran itu dihempaskan ke atas meja bacaan. Si anak terus meninggalkan si ayah tanpa memberi walau seketika cuma untuk si ayah bersuara. Pakaiannya disumbatkan ke dalam beg lantas, dia meninggalkan banglo mewah ayahnya. Memulakan kehidupan baru dengan sekeping ijazah yang dimilikinya.

10 tahun berlalu, si anak kini merupakan seorang yang berharta mempunyai syarikat sendiri dengan isteri yang cantik dan anak-anak yang sihat. Cukup membahagiakan namun hatinya tersentuh. Sudah 10 tahun sejak peristiwa itu dia tidak pernah menjenguk ayahnya. Sedang dia mengelamun, telefonnya berdering. Panggilan dari peguam ayahnya dan memberitahu bahawa ayahnya telah meninggal dunia semalam dengan mewariskan semua hartanya kepada si anak. Si anak diminta pulang untuk menyelesaikan segala yang berkaitan perwarisan harta. Dan buat pertama kalinya setelah dia bergelar bapa si anak pulang ke banglo ayahnya. Dia memerhatikan banglo yang menyimpan 1001 nostalgia dalam hidupnya. Hatinya sebak. Bertambah sebak apabila mendapati di atas meja di bilik bacaannya, Al-Quran yang dihempaskannya masih lagi setia berada di situ. Bagaikan setianya hati ayahnya mengharapkan kepulangannya selama ini. Perlahan-lahan langkahnya menuju ke arah Al-Quran itu lalu membelek-beleknya dengan penuh keharuan. Tiba-tiba jatuh dari Al-Quran itu segugus kunci. Di muka belakang Al-Quran itu sebuah sampul surat terut dilekatkan disitu. Kunci itu segera dipungut. Hatinya tertanya-tanya, nyata sekali di dalam sampul surat itu terdapat resit pembelian kereta idamannya yang dibeli pada hari konvokesyennya dengan bayaran yang telah dilunaskan oleh si ayah. Sepucuk warkah tulisan tangan orang yang amat dikenalinya selama ini. Tertulis di warkah itu hadiah teristimewa untuk putera kesayanganku. Dengan tidak semena air mata si anak menitis deras. Hatinya bagai ditusuk sembilu. Penyesalan mula berlubuk di hati namun semuanya sudah terlambat. Ayahnya telah pergi buat selama-lamanya.

Moral : 1- Layak ke seorang anak memperlakukan ayahnya seperti itu??? 2- Jangan terlalu terburu-buru membuat keputusan sebelum mengetahui yang tersurat dan yang tersirat mengenai sesuatu perkara. 3- Beri peluang kepada individu untuk dia mengexplainkan perkara yang sebenarnya.

Teringat untuk kongsi artikel ini sebab 2 hari lepas birthday ayah. Dan artikel ini pun ada kaitan dengan ayah jadi saya kongsikan bersama para pembaca sekalian. Moga kita semua dijauhkan dari berlakunya perkara seperti ini. Amin .

10 Ramadhan 1431 - 20 Ogos 2010
7.27 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Tuesday, August 17, 2010

Selamat Ulangtahun Kelahiran Ayah



Pada tanggal 17 Ogos 1944 telah lahir seorang insan yang amat saya hargai. Beliau yang saya gelar sebagai ayah telah bersusah payah dari dulu hingga sekarang demi melihat anaknya ini berjaya. Tidak pernah kenal erti penat dan lelah untuk mencari rezeki buat kami sekeluarga. Dan dengan usaha pencarian beliau dan ibulah saya kini berada di bumi mesir ini untuk menimba ilmu. Di kesempatan yang ada ini saya ingin mengucapkan Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke-66. Semoga terus diberi kesihatan oleh Allah di dalam keimanan. Dipermudahkan segala urusan dunia & akhirat. Sentiasa berada di dalam rahmat dan keampunan Allah. Dan semoga Allah menilai sebagai ibadah usaha keras ayah dalam membantu perjuangan islam khususnya di bumi Malaysia. Amin ya Rabb. Saya juga ingin berterima kasih kepada ayah kerana selama ini telah bersusah payah dari dulu hingga kini menyara kehidupan anakmu ini. Dan juga ingin memohon kemaafan kerana tahun ini tidak berjaya dalam imtihan dan terpaksa menduduki tahun 1 kuliah Al-Quran buat kali keduanya. InsyaALLAH anakmu ini akan lebih berusaha selepas ini agar berjaya dalam setiap imtihan yang dilalui sekaligus meringankan beban yang ditanggung olehmu insyaALLAH.

7 Ramadhan 1431 - 17 Ogos 2010
11.15 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Monday, August 16, 2010

Ramadhan Bulan Kesabaran


Ramadhan di bumi Mesir kali ini jatuh pada musim panas yang mana siangnya lebih panjang dari malam. Ini bermakna masa yang diperuntuk untuk berpuasa lebih lama kira-kira 15 jam. Hari ini kami serumah diuji agar bersabar menahan lapar kerana pagi tadi tidak sempat untuk bersahur walaupun dengan seteguk air. Alangkah rugi rasanya kerana tidak dapat merebut keberkatan di waktu sahur sepertimana yang telah dijanjikan oleh Rasulullah.

Hari Khamis lepas natijah Kuliah Al-Quran tahun satu telah pun dikeluarkan oleh pihak Al-Azhar. Sangkaan selama ini yang bermain di benak fikiran menjadi kenyataan apabila terpaksa ulang tahun 1 sekali lagi. Bermakna saya telah gagal untuk naik ke tahun 2. Syarat untuk naik tahun ialah paling kurang 2 madah sahaja yang sangkut tetapi saya telah sangkut 4 madah sekali gus memegang tittle dursanah atau nama lainnya ulang tahun. Saya akui diri yang lalai dan leka dan kurang berusaha inilah yang menyebabkan Allah memberi ujian sebegini rupa. Saya redho dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ini yang terbaik buat saya. Kegagalan hari ini tidak bermakna kegagalan untuk selamanya selagi mana kita kita ada azam untuk berubah dan mempertingkatkan diri.

Teringat saya tahun lepas dalam proses untuk mendapatkan lesen memandu. Ketika ujian JPJ (memandu di jalan raya) saya telah gagal untuk kali pertama.Namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang sehingga mampu untuk mendapatkan lesen memandu yang sah. Setelah ujian repeat akhirnya saya berjaya. Apa yang saya lakukan ialah berusaha dan cuba untuk tidak melakukan kesilapan yang pernah saya lakukan ketika ujian kali pertama. Begitu juga hari ini. Walaupun saya dan sebahagian lagi sahabat-sahabat yang lain gagal kali ini, itu tidak bermakna akan gagal selamanya sekiranya kita lakukan apa yang telah saya katakan tadi. Ramadhan adalah bulan untuk menguji kesabaran. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Puasa itu separuh sabar dan sabar itu separuh daripada iman.”

Saya berusaha untuk didik diri ini agar bersabar dalam menempuh ujian ini. Saya juga berharap agar sahabat yang senasib dengan saya turut bersabar. Kepada sahabat yang telah berjaya saya ucapkan tahniah di atas kejayaan kalian. Doakan kami agar mampu untuk menjadi seperti kalian insyaALLAH. Mak dan ayah yang tersayang, maaf anakmu ini terlalu lalai dan leka sehingga tidak mampu buat yang terbaik tahun ini. Harap mak dan ayah dapat memaafkan kesalahan diri yang lemah ini. Sebelum berakhir saya tinggalkan para pembaca dengan artikel yang berkaitan dengan Ramadhan Bulan Kesabaran. Semoga dapat mengambil pengajaran dari apa yang disampaikan.

Ramadhan al-Mubarak bagaikan setompok tanah subur yang dapat menumbuhkan segala macam tanaman dan menghasilkan manfaat. Umat Islam sewajarnya mempergunakan masa cukup berharga sepanjang Ramadan untuk memperbanyakkan amal dan mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun berpuasa itu pada zahirnya mengubah soal lahiriah seperti makan, minum dan hubungan kelamin pada siang hari, tetapi dari segi hakikatnya, puasa (Ramadan) itu diperintahkan bertujuan mengubah mental dan spiritual manusia.

Puasa seharusnya mengubah seseorang tampil menjadi insan yang baik akhlak, tingkah lakunya, serta meninggalkan apa saja tabiat atau kebiasaan tidak baik lalu menggantikannya dengan akhlak mulia dalam waktu yang agak lama iaitu sebulan penuh. Ini bermakna suatu latihan yang berat bagi umat Islam untuk dijadikan amal selanjutnya, sehingga mereka akan menjadi insan muttaqin.

Jelasnya, matlamat akhir daripada pelaksanaan puasa Ramadan itu ialah untuk membentuk manusia bertakwa. Ketakwaan itu ialah pemeliharaan diri daripada segala perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dan seksa-Nya. Hal itu akan terlaksana dengan cara mentaati segala titah perintah Allah, mengawasi dan menjaga diri daripada godaan hawa nafsu serta membersihkan diri daripada segala macam sifat tercela.

Antara rahsia penting berpuasa ialah melatih kita supaya bersifat sabar dan sifat sabar hasil didikan Ramadan itu mudah-mudahan terus diamalkan selepas tamat bulan mulia itu. Memanglah bagi sebahagian umat Islam, berpuasa sebulan Ramadan itu menjadi satu kepayahan dan penderitaan, kerana terpaksa menahandiri daripada memenuhi tabiat makan, minum dan hubungan suami isteri di siang hari.

Jasmani menjadi lemah disebabkan lapar dan dahaga, lalu dengan demikian ghairah bekerja menjadi berkurang. Tetapi bagi Muslim yang taat, segala kepayahan dan penderitaan ketika berpuasa akan diterima dan ditempuh dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah.

Ada tiga macam kesabaran dalam ibadat puasa, iaitu sabar kerana patuh mengerjakan suruhan Allah, sabar kerana mengekang hawa nafsu dan sabar kerana menderita kepayahan lapar dan dahaga. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud

“Puasa itu separuh sabar dan sabar itu separuh daripada iman.”

Sesungguhnya Ramadan ibarat stesen bahan bakar yang membekal kekuatan jiwa manusia dan bekal rohani juga moral bagi perjalanan hidup, iaitu kesabaran. Terhadap orang yang sabar, Allah sudah berjanji menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96)

Benarlah puasa adalah pusat latihan untuk memantapkan rohaniah atau jiwa manusia. Dengan berpuasa, setiap mukmin melatih diri sendiri untuk bersikap patuh dan taat terhadap Allah.

Seorang yang sedang berpuasa, dalam rumahnya tersedia makanan dan minuman yang lazat rasanya tetapi dia mampu mengawal keinginannya itu, walaupun jika dilanggarnya tidak ada manusia lain yang melihat atau mengetahuinya.

Inilah didikan puasa. Kemampuan menguasai keinginan itu sendiri adalah satu kepatuhan yang murni. Mukmin yang lulus dalam latihan sedemikian diharapkan akan lulus pula dalam mematuhi pelbagai peraturan lain dalam masyarakat dan negara.

Ramadan memang bulan yang agung dan terbaik. Semoga Ramadan kali ini bermakna bagi kita iaitu dengan menghayati puasa dan beribadah sebaiknya. Jadikan Ramadan sebagai detik untuk berubah ke arah lebih baik, bukan meneruskan perbuatan membazir dan melekakan.

6 Ramadhan 1431 - 16 Ogos 2010
7.22 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Saturday, August 7, 2010

Ramadhan Kareem


Kurang berapa hari sahaja lagi umat islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan yang mulia dan penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan penghulu bagi segala bulan. Saya yakin bahawa kita semua telah mengetahui kelebihan beramal di dalam bulan Ramadhan ini. Tidak perlu untuk diperjelaskan lagi di sini. Mahu ataupun tidak untuk memperbanyakkan amalan itu semua terpulang kepada diri masing-masing. Cuma ingin saya ingatkan diri ini dan juga sahabat semua bahawa amatlah rugi bagi mereka yang tidak memanfaatkan bulan Ramadhan ini sebaiknya dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Nak harapkan bulan-bulan yang lain belum tentu lagi kita mampu untuk melakukannya. Jadi jangan sia-siakan peluang yang diberikan kepada kita. Jadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan tarbiyah untuk diri kita lebih dekat dengan Allah. Persiapkanlah diri kita semua agar lebih bersedia untuk menempuhi madrasah Ramadhan ini. Sabda Rasulullah yang bermaksud

“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana keimanannya dan kerana mengharap redho Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu"

Sebelum saya mengundur diri untuk post kali ini suka untuk saya titipkan bersama khutbah Rasulullah menyambut Ramadhan yang dicopy dari nurudin.jauhari.net. Moga kita dapat mengambil pelajaran dari apa yang dikatakan insyaALLAH.

Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah, rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia disisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam paling utama. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu diterima, dan doa-doamu dimakbulkan. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari kiamat.

Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin. Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, sambunglah tali persudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarkannya. Kasihanilah anak-anak yatim, nescaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu karena itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hambanya dengan penuh kasih : Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya, dan mengabulkan mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punguggmu berat kerana beban (dosamu), maka ringankanlah dengan memanjangkan sujudmu. Ketahuilah! Allah Ta’ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahwa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri dihadapan Rabb Al-’Alamin.

Wahai manusia! Barangsiapa diantaramu memberi buka kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka disisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan ia diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu.

Sahabat-sahabat bertanya:

Ya Rasulullah!Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan: Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.Wahai manusia! Siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini ia akan berhasil melewati sirath pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Barang siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat. Barang siapa menahan kejelekannya dibulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-nya.

Barangsiapa menyambungkan tali persudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa melakukan shalat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan solat fardhu baginya adalah ganjaran seperti melakukan 70 solat fardhu dibulan yang lain.

Barang siapa memperbanyak selawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa pada bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Qur’an pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia! sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu.

Amirul Mukminin k.w. berkata, Aku berdiri dan berkata, Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama dibulan ini?

Jawab Nabi: Ya Abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah.

# Selamat hari Lahir 24 buat sahabat lama saya saudara Abu Dzar Adanan. Moga terus berada dalam rahmat Allah dan berjaya di dunia & akhirat.

26 Sya'ban 1431 - 7 Ogos 2010
10.09 a.m
Awwal Nuhas, Tanta , Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...