Saturday, July 31, 2010

Juara Imam Muda 1


KUALA LUMPUR: Kemuncak Imam Muda Khamis malam yang diadakan di Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berakhir dengan kemenangan Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26.

Peserta berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu mengalahkan pesaing terdekatnya, Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27. Juara sulung Imam Muda itu menerima biasiswa pakej 'Berlian' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah.
Beliau juga ditawarkan jawatan Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta Proton Exora.

Bukan itu sahaja, Asyraf juga membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Di samping itu dia turut mendapat pakej menunaikan haji dan umrah serta pakej percutian ke Bandung selama 4 hari 3 malam, perabot jati bernilai RM10,000 dan pakej SPA Maghribi.

Asyraf melahirkan rasa terharu kerana terpilih sebagai juara rancangan itu untuk musim pertama.
"Saya berasa gembira bukan disebabkan saya dinobatkan sebagai juara. Namun saya lebih gembira kerana program ini dapat ditonton oleh umat Islam di seluruh dunia.

"Sasaran kemenangan ini bukan sahaja dinilai pada kejayaan individu itu, tetapi kejayaan kepada seluruh masyarakat dan Islam itu sendiri.

"Pada masa yang sama, kami sepuluh orang sebenarnya takut jika program ini telah memecah tradisi tetapi pesertanya tidak menunjukkan apa-apa kualiti.

"Insya-Allah kami akan cuba memberikan tunjuk ajar kepada masyarakat dengan sokongan yang ada," kata graduan Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur ini.
Bagi Hizbur, graduan Syariah Islam Universiti Al-Azhar yang berkhidmat sebagai guru tahfiz menerima kekalahannya malam ini dengan hati yang terbuka.

"Saya berasa bangga kerana program ini berjaya dengan lancar. Mungkin ada kekurangan dan kecacatan sebab kami tidak mempunyai contoh kerana kami generasi yang pertama (Imam Muda).
"Insya-Allah, kami akan menubuhkan kelas agama dan kelab untuk remaja," kata Hizbur.

Pemenang tempat kedua itu membawa pulang hadiah berupa biasiswa Pakej 'Emas' pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi tajaan Yayasan Antarabangsa Al- Madinah, pakej menunaikan umrah dan pakej percutian ke Bandung selama 4 hari, 3 malam, perabot jati bernilai RM7,000 serta pakej SPA Maghribi.

Dia turut menerima sebuah komputer riba jenis Apple Macbook Pro, i Phone 3G, wang tunai RM15,000 trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Yayasan Antarabangsa Al Madinah turut berbesar hati menawarkan hadiah saguhati kepada lapan peserta lain, berupa biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi. Mereka turut menerima pakej percutian ke Bandung 4 hari 3 malam, pakej SPA Maghribi, i Phone 3G, trofi dan sijil penyertaan serta kad pertauliahan daripada Jawi.

Sistem pemarkahan dikira berdasarkan ujian teori sebanyak 50 peratus dan praktikal masing-masing 20 peratus, manakala 30 peratus markah lagi ditentukan pada pusingan kemuncak.

Juri dan mudir yang mengadili program akhir malam terdiri daripada Pengetua rancangan itu, Datuk Hassan Mahmood serta dua tenaga pengajar, Ustaz Shahrizan Daud, Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang. Ia dihoskan Ustaz Dzulkarnain Hamzah.

Tidak seperti program realiti lain, format Imam Muda berasaskan modul pengajian yang berlandaskan agama dan akidah dan tidak sama sekali menerapkan elemen komersial.

Program siri pencarian pertama berunsur Islam ini tidak terikat dengan undian bebas khidmat pesanan ringkas (SMS). Peserta yang tersingkir masih mengikuti pengajian imam yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Antara ujian dan cabaran yang dilalui oleh 10 peserta Imam Muda termasuklah menguruskan jenazah yang tidak dituntut, memberi motivasi kepada kanak-kanak serta golongan dewasa di rumah perlindungan, operasi ke pusat penyembelihan dan rumah pelacuran serta memberi kaunseling kepada pasangan suami isteri bermasalah.

Sepanjang ia berlangsung, program ini mendapat liputan media luar negara termasuk BBC World, CNN, Al-Jazeera, Reuters, majalah Der Spiegel Magazine dari Jerman dan akhbar International Herald Tribune, New York. Kesemua wakil media berkenaan turut hadir ketika rakaman program berlangsung dan mereka memberi reaksi positif terhadap keindahan agama Islam yang ditampilkan melalui program itu.

Turut hadir dalam ada kemuncak itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Rancangan itu dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis.

Sumber : mstar.com.my

19 Sya'ban 1431 - 31 Julai 2010
8.49 a.m
Awwal Nuhas,Tanta. Mesir.

Friday, July 23, 2010

Because He is a Muslim


Petang Jumaat yang sunyi hanya ditemani bunyi kipas yang memecahkan kesunyian. Musim-musim cuti ni sahabat-sahabat serumah semua sibuk dengan program-program yang dianjurkan persatuan sama ada PMRAM, BKAN mahupun DPM. Tinggallah saya keseorangan di rumah bertemankan laptop Dell yang tidak pernah jemu menemani tuannya. Maaf teremosional pulak petang ni. Bukan apa, sahabat-sahabat serumah sibuk di Kaherah dan saya pula buat-buat sibuk di bumi Tanta ini. InsyaALLAH esok akan ke Kaherah untuk menjayakan program Perkhemahan Musim Panas PMP'10 selama 3 hari di Mukhayyam Daim Hayyu Sadis Kaherah anjuran DPM Tanta. Mohon rahmat dan berkat daripada Allah agar program ini dapat berjalan dengan lancar sepertimana yang telah dirancangkan. Untuk entry kali ini cuma nak forwardkan email yang lama bersarang dalam peti mailbox. Memang sudah lama nak diforwardkan tapi tidak kesampaian sehinggalah hari ini bila dapat satu link yang mana dalam tu ada kartun yang dibuat oleh seorang individu yang saya tidak mengenalinya. Kartun tu memang comel. Dialog kartun tu dalam English. Dan email yang saya dapat tu terjemahan bagi dialog dalam kartun tu. So, boring-boring duduk menyendiri di rumah maka jari saya ini tergerak untuk menforwardkan email dan kartun ni dalam teratak usang ini. Satu je yang boleh komen bahawa orang kafir ni tidak akan senang dengan agama islam selagi mana penganutnya (agama islam) itu tidak menuruti agama mereka sepertimana yang telah termaktub dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Jadi, apa-apa yang berkaitan dengan Islam depa ni tak suka. Macam-macam la yang depa ni buat untuk menghalang agama Islam dari terus subur di muka bumi ini. Wallahu 'alam. Ini terjemahan untuk dialog dalam kartun ni (link) tapi tidak diterjemah sampai habis. Yang tidak diterjemahkan tu boleh terjemahkan sendiri mengikut kesesuaian anda

Mengapa seseorang Yahudi dibolehkan
menyimpan janggut untuk mengamalkan
kepercayaannya...

...tetapi bila seorang Muslim berbuat
demikian, dia dianggap ekstrim dan
pengganas?
Mengapa seseorang rahib boleh meliputi
keseluruhan tubuhnya kerana
memperhambakan diri kepada Tuhannya...
...tetapi bila seseorang Muslimah
melakukan begitu, dia ditekan?

Mengapa bila wanita barat menjadi
surirumah ,
dia dihormati kerana dikatakan berkorban
untuk keluarganya...

...tetapi bila wanita Islam berbuat
begitu, mereka kata, " dia mesti
dibebaskan!"

Mengapa mana-mana gadis boleh ke
universiti dengan berpakaian mengikut
kesukaannya kerana punyai hak dan
kebebasan...

...tetapi bila seseorang wanita Muslim
memakai hijab, dia tidak boleh
menjejakkan kakinya ke universiti?
Mengapa bila seseorang kanak-kanak
meminati sesuatu bidang, dia dikatakan
punyai bakat...

...tetapi bila seseorang kanak-kanak
meminati Islam, dia dikatakan tak berguna?

Mengapa bila seseorang Kristian atau
Yahudi membunuh, agamanya tidak
dikaitkan
... tetapi baru sahaja
seseorang Muslim didakwa melakukan
jenayah, nama Islam turut diadili!

Mengapa bila seseorang berkorban diri
untuk melihat orang lain hidup, dia amat
disanjungi...

...tetapi bila seseorang warga Palestin
melakukannya untuk menyelamatkan diri,
keluarga, rumahtangga dan masjidnya,
dia dikenali sebagai seorang pengganas?
Mengapa bila seseorang memandu kereta
mewah dengan cara bahaya, keretanya
tidak pernah dipertikaikan...

...tetapi bila seseorang Muslim
melakukan kesalahan, orang kata ia
adalah kerana agama Islamnya!

Mengapa kita terlalu percaya kepada
akhbar...

...tetapi selalu persoalkan apa yang
terkandung di dalam Al-Quranul Karim?

11 Sya'ban 1431 - 23 Julai 2010
7.10 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir.

Wednesday, July 21, 2010

Kualiti atau Kuantiti?


Suka saya nak bincangkan dalam post kali ini berkaitan tajuk yang tertera di atas iaitu kualiti atau kuantiti. Satu persoalan yang ingin ditimbul dan diajukan kepada para pembaca sekalian, antara kualiti dan kuantiti yang mana satu perlu lebih diutamakan? Saya pasti setiap daripada kita sudah ada jawapan untuk persoalan yang ditimbulkan. Untuk mengetahui adakah jawapan anda selari dengan realiti sebenarnya, mari sama-sama kita singkap kembali sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat di medan peperangan untuk mempertahankan agama islam ini dari ancaman musuh. Rata-rata peperangan yang ditempuhi umat islam pada ketika itu mendapat kemenangan walaupun pada masa itu kuantiti umat islam adalah kecil berbanding pihak lawan yang kuantitinya lebih besar. Contoh yang kita boleh ambil ialah peperangan badar. Umat islam yang menyertai peperangan itu hanyalah 313 orang berdepan dengan pihak kuffar yang mana kuantitinya menjangkau 1000 orang. Kalau kita ikut logik akal pasti pasukan yang kuantitinya lebih banyak akan memenangi peperangan itu. Tapi sejarah telah membuktikan bahawa kuantiti yang banyak tidak menjaminkan kemenangan. Sebaliknya kuantiti yang sikit tetapi berkualiti itulah yang berjaya meraih kemenangan. Itulah yang terjadi kepada ahli-ahli badar. Walaupun dalam keadaan berpuasa mereka mampu untuk menewaskan musuh. Rasulullah telah berjaya mendidik para sahabat sehingga mereka menjadi orang yang berkualiti dari semua sudut terutama dalam ibadah.Tidak hairanlah sekiranya Allah membantu mereka dalam mencapai kemenangan. Antara peperangan lain ialah perang ahzab, dan perang diantara tholut dan jalut yang dirakam dalam surah Al-Baqarah ayat 249-251

Bagaimana pula dalam persoalan ibadah? Kuantiti atau kualiti yang lebih diutamakan? Firman Allah dalam surah Hud ayat 7 yang bermaksud

Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

Firman Allah lagi dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Dalam 2 ayat ini kita dapat tahu bahawa ibadah atau amalan yang berkualitilah yang Allah lebih utamakan berbanding kuantiti. Allah tidak mengatakan "aksara 'amala" (yang lebih banyak amalan) tapi Allah sebut "ahsanu 'amala" (yang lebih baik amalan). Kalau kita banyak buat amalan sekalipun tapi diiringi dengan riak, ujub tidak ikhlas dan sebagainya maka perkara-perkara seperti ini akan mencacat amalan kita. Cukuplah amalan kita sikit tapi berkualiti itu yang lebih baik untuk kita. Sebagai contoh ibadah solat yang berkualiti ialah solat yang mampu mencegah pelakunya dari melakukan maksiat. Sekiranya solat yang dilakukan tidak mampu untuk menjadi benteng dari melakukan maksiat maka solat itu dikira tiada kualitinya. Begitulah sebaliknya. Seandainya anda mampu untuk memperbanyakkan dan dalam masa yang sama dapat mengkualitikan amalan tersebut maka silakan untuk melakukannya.

Kualiti lebih utama berbanding kuantiti. Kita lihat kuantiti umat islam pada hari ini adalah lebih besar berbanding orang yang bukan islam. Pun begitu kuantiti yang banyak ini tidak mampu untuk menonjolkan kesyumulan, kecantikan dan keizzahan islam sendiri sepertimana pernah berlaku pada zaman para sahabat dahulu sehingga mampu menjulang agama islam dan mengusai dua pertiga dunia. Ini kerana kurangnya kualiti dalam kuantiti umat islam pada hari ini. Benarlah hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud yang mafhumnya

Akan datang suatu masa di mana umat Islam akan dikerumuni oleh sekelian umat manusia seperti orang-orang yang lapar mengerumuni makanan. Pada masa itu umat Islam ramai namun mereka umpama buih-buih yang mengalir di lautan.

Umat islam hari lebih suka untuk berhibur dan bersuka ria daripada beribadah kepada Allah. Lihat saja Malaysia pada hari ini. Berapa banyak program realitinya yang berbentuk hiburan semata yang menjadikan kita terus lalai dan leka dari mengingati Allah. Inilah salah satu punca kurangnya kualiti umat islam pada hari ini disebabkan rohani yang lemah akibat daripada hiburan yang melampau. Tidak salah untuk berhibur, tetapi biarlah hiburan itu boleh menambahkan iman kita kepada Allah. Sekarang jelas pada kita bahawa kualiti memainkan peranan penting dalam setiap aspek terutama dalam aspek ibadah. Sekiranya anda ingin berjaya jadilah orang yang berkualiti dalam setiap perkara. Bagaimana ingin menjadi orang yang berkualiti? Jadikan lah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup. Ikut segala apa yang telah diperintah dan tinggalkan segala apa yang ditegah oleh Allah. Ringkasnya kita perlu mengamalkan apa yang ada dalam Al-Quran itu. Jadikan juga Rasulullah sebagai idola kita agar kita dapat mengikut jejak langkah baginda untuk menjadi orang yang berkualiti. Mudah-mudahan kita mampu untuk menjadi insan yang berkualiti sepertimana yang telah dilalui oleh para sahabat demi melihat agama islam ini kembali gah di muka bumi insyaALLAH.

9 Sya'ban 1431 - 21 Julai 2010
8.42 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Thursday, July 15, 2010

Tahniah Buat Sahabat...


Demam piala dunia sudah pun berakhir beberapa hari lepas. Sepanyol merupakan juara dunia yang baru dalam arena bola sepak apabila menjuarai piala dunia mengatasi Belanda 1-0 dalam final world cup baru ini. Usaha dan kesungguhan mereka dalam bermain membuahkan hasil sehingga mereka berjaya digelar juara dunia buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak. Setiap mereka yang berusaha dan bersungguh dalam melakukan suatu perkara pasti akan diberikan ganjaran yang setimpal dengan usaha yang dilakukan. Begitu jugalah mereka yang bersungguh-sungguh dalam pelajaran pastinya akan dikurniakan kejayaan. Beberapa hari yang lepas, natijah @ result sahabat-sahabat saya tahun 3 shoubra telah pun keluar. Dikhabarkan ramai yang najah sofi dalam imtihan syahadah bulan 6 baru ini. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat di atas kejayaan kalian. Ingatlah setiap kejayaan yang kita miliki adalah dari Allah s.w.t oleh itu janganlah kalian lupa untuk mengucapkan syukur padaNya agar kita sentiasa menjadi orang yang bersyukur dia atas setiap kurnianNya pada kita. Bagi sahabat yang belum najah lagi, peluang kedua masih ada. Gunakan kesempatan ini sebaik yang mungkin untuk study madah yang gagal. InsyaAllah kejayaan pasti akan menjadi milik anda. Natijah saya dan sahabat-sahabat kuliah lain akan keluar akhir bulan ini insyaALLAH. Doakan agar kami juga diberikan natijah yang sebaiknya untuk kami. Dan sahabat-sahabat shoubra yang dah najah tu boleh la sambung pengajian kalian di bumi Tanta ini bersama. Kalian boleh mendalami lagi ilmu Al-Quran dan Qiraat di sini InsyaAllah. Bagi sahabat-sahabat tahun 1&2 yang bakal menduduki imtihan durthani 2 hari lagi saya doakan kalian semua berjaya. Bittaufiq wan Najah. Akhir sekali saya tinggalkan sahabat-sahabat sekalian dengan beberapa kata-kata hikmah. Fikir dan renung sejenak apa yang dikatakan. Moga kita mendapat motivasi dengan apa yang dikatakan insyaAllah.


"Orang bijaksana tidak sesekali duduk meratapi kegagalannya, tapi dengan lapang hati mencari jalan bagaimana memulihkan kembali kerugian yang dideritainya."

"Jika anda berhasrat untuk berjaya, jangan hanya memandang ke tangga tetapi belajarlah untuk menaiki tangga tersebut."

"Kegagalan hari Ini beerti pendorong, namun kejayaan semalam bukan beerti kemegahan, oleh itu gantungkanlah cita-citamu setinggi-tinggi bintang di langit, dan rendahkanlah dirimu serendah-rendah rumput di bumi."

"Jadikanlah masa yang berlalu itu pengalaman dan pengajaran, masa yang sedang berjalan kita isi dengan amalan dan masa hadapan jangan terlalu diangan-angankan."

"Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya."

"Mereka yang berjaya bukanlah mereka yang gagal dalam mencuba, bukan juga mereka yang sering gagal tetapi mereka yang tidak pernah gagal mencuba dan terus mencuba sehingga kejayaan yang dikecapi."

"Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yg belayar dilautan telah ramai kapal karam didalamnya..andai muatan kita adalah iman,dan layarnya takwa,nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini."

"Kalau tidak kerana semalam kita telah berusaha, bersungguh, bersabar dan berdoa, belum tentu hari ini kita akan berada di sini."

"Hari yang mendatang tidak akan memberikan sebarang makna jika kegagalan semalam tidak dijadikan teladan."

"Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan. Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga."

3 Sya'ban 1431 - 15 Julai 2010
5.56 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Thursday, July 1, 2010

4 Perkara Dalam 4 Perkara




InsyaALLAH hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu dengan sahabat-sahabat yang saya petik dari kuliah Ustaz Ismail Kamus (Pesanan Luqman Al-Hakim), moga ia berguna buat kita semua. Allah menyembunyikan 4 perkara dalam 4 perkara

- Allah menyembunyikan keredhoanNya dalam satu-satu ibadah
- Allah menyembunyikan kemurkaanNya dalam satu-satu maksiat
- Allah menyembunyikan makbulnya doa pada satu-satu masa
- Allah menyembunyikan wali-waliNya di kalangan para hambaNya

1- Allah menyembunyikan keredhoanNya dalam satu-satu ibadah:
Buatlah amal ibadah walaupun benda itu sekecil-kecil perkara. Boleh jadi ibadah itulah yang menjadi penyebab Allah redho kepada kita. Contohnya kita menyebut La ilaha illa Allah, walaupun perkara ini dianggap remeh bagi kita tetapi ianya amat besar di sisi Allah dan ada ganjarannya. Firman Allah dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 yang bermaksud

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya)

2- Allah menyembunyikan kemurkaanNya dalam satu-satu maksiat
Jangan buat maksiat walaupun sekecil-kecil perkara. Boleh jadi itulah penyebab kita akan dihumban ke dalam neraka Allah kerana murkaNya kepada kita. Contohnya kita memakai seluar pendek, walaupun bagi kita benda itu dianggap remeh tapi ia tetap dikira berdosa kerana menampakkan aurat. Firman Allah dalam surah Az-Zalzalah ayat 8 yang bermaksud

Maka sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya)

3- Allah menyembunyikan makbulnya doa pada satu-satu masa
Berdoalah kepada Allah setiap masa. Kerana kita tidak tahu masa bila Allah memakbulkan doakan kita. Mungkin salah satu dari masa berdoa kita itu merupakan waktu yang mustajab dan membuatkan doa kita dimakbulkan Allah. Berdoalah selalu dan di mana saja kita berada. Firman Allah dalan surah Ghofir ayat 60 yang bermaksud

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

4- Allah menyembunyikan wali-waliNya di kalangan para hambaNya
Firman Allah dalam surah Yunus ayat 62 & 63 yang bermaksud

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.


Dikalangan kita ini ada yang menjadi wali Allah sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun orang tua. Tidak kira siapa pun orang itu kita perlu saling hormat menghormati dan sayang menyayangi di antara satu sama lain. Dan jangan menzalimi siapa pun di antara kita lebih-lebih lagi para wali Allah, mereka ini adalah orang-orang yang hampir dengan Allah. Setiap permintaan mereka pasti akan dimakbulkan oleh Allah. Dan kita tidak tahu siapa dikalangan kita ini wali Allah. Oleh itu jangan menganaiya orang-orang di sekeliling kita. Untuk keterangan lebih lanjut mengenai wali Allah sila layari (link) & (link)

Kesimpulannya, Selagi kita diberi kesempatan oleh Allah untuk bernafas maka selagi itulah kita jangan putus-putus melakukan amal ibadah yang kecil mahupun yang besar dan jangan serik untuk berdoa kepadaNya ketika senang mahupun susah dan hormati serta sayangilah sesama manusia agar kita diberikan ganjaran oleh Allah dengan apa yang telah kita lakukan. Akhir sekali jauhilah maksiat dan apa yang boleh membawa kita ke arah itu supaya kita dihindarkan dari dicampakkan ke dalam neraka yang bahan bakarnya adalah batu dan manusia. Ya Allah, jadikanlah hati-hati kami ini sentiasa berada di dalam ketaatan kepadaMu dan jauhilah ia dari perkara yang boleh membawa kepada kemukaanMu ya Allah, agar kami ini ditempatkan bersama dengan orang-orang yang Engkau kasihi. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

19 Rejab 1431 - 1 Julai 2010
10.32 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...