Tuesday, June 29, 2010

Nasihat Tok Guru Buat Mahasiswa


TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATUK MENTERI BESAR KELANTAN
- PERASMIAN MAJLIS ANUGERAH DARUL NAIM (MADANI 10) -
PERSATUAN MAHASISWA KELANTAN UNIVERSITI MALAYA

PADA : 27 JUN 2010
BERTEMPAT DI HOTEL RAUDHAH, KOTA BHARU, KELANTAN
JAM 10.30 PAGI


Teks dibacakan oleh YB Dr Mohd Fadzli bin Dato Haji Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

بسم الله الرحمن الرحيم
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
- سورة آل عمران:18

Yang bermaksud :
Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan. para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

• Terima kasih kepada saudara pengerusi majlis
• Presiden Pesatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaysa (PMKUM) bersama ahli-ahli jawatankuasanya
• Pengarah Program, Majlis Anugerah Darul Naim (MADANI 10) bersama ahli-ahli jawatankuasa urusetia program
• Saudara saudari mahasiswa mahasiswi yang dikasihi sekalian

Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin-Nya, kita dapat berkumpul di Majlis Anugerah Darul Naim (MADANI 10) yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) pada pagi ini. Kalungan tahniah saya rakamkan kepada urusetia program yang telah berjaya melaksanakan program ini. Tidak lupa saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana dijemput untuk hadir seterusnya menyampaikan ucapan perasmian pada pagi ini.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahsiswi yang dikasihi sekalian.

Saya difahamkan bahawa majlis hari ini diadakan khusus untuk menyampaikan anugerah kepada individu-individi yang telah banyak merencana aktiviti bermanfaat demi pembangunan persatuan dari semua aspek. Saya yakin bahawa individu yang terpilih untuk menerima anugerah pada hari ini telahpun membuktikan segala komitmen dan mencurahkan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi di dalam memastikan aktiviti persatuan berjalan dengan lancar ke arah akhirnya meraih keredhaan daripada Allah SWT.

Suka saya nyatakan bahawa pemberian anugerah bukanlah satu perkara yang asing di dalam Islam. Allah SWT telah memperkenalkan budaya pemberian anugerah di atas kemuliaan dan kecemerlangan serta ilmu yang dimiliki. Ini disebut di dalam al-Quran apabila Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepada Nabi Adam as di atas kelebihan ilmunya mengatasi para malaikat.

Firman Allah SWT :

وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33) وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (34) – سورة البقرة

Yang bermaksud : Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, Kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!" Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Telah Engkau ajarkan kepada Kami; Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana." Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu,

Allah berfirman:
"Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa Sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" Dan (Ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," Maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.

Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menceritakan bagaimana Nabi Adam AS telah diajar dengan pelbagai jenis ilmu oleh Allah SWT sebagai nikmat pertama yang diterima oleh manusia. Kemampuan untuk belajar dan mengajar ini merupakan keistimewaan yang hanya ada pada manusia dan tidak ada pada makhluk yang lain hatta para malaikat.

Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu untuk dikembangkan dengan lebih meluas. Berasaskan kepada kelebihan inilah, Nabi Adam AS telah menerima aanugerah daripada Allah SWT berupa perintahNya kepada para malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam.

Ini merupakan anugerah yang pertama yang diterima daripada Allah SWT kepada manusia bagi menunjukkan pengiktirafan terhadap kebolehan manusia menerima dan menyampaikan ilmu. Ayat yang saya bacakan di awal ucapan tadi juga menunjukkan pengisytiharan daripada Allah SWT bahawa penyaksian bahawa Dialah Tuhan yang layak disembah diakui olehNya sendiri, para malaikat serta orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan.

Ia menunjukkan ketinggian golongan yang diberikan ilmu oleh Allah SWT. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan, apa jua anugerah yang diterima pada hari ini bukanlah sesuatu yang hakiki. Semahal manapun anugerah yang diberikan, ia tidak dapat menandingi anugerah yang paling besar yang menanti di akhirat kelak iaitu syurga Allah SWT. Oleh yang demikian, belajarlah, bekerjalah dan berilah sumbangan bukan untuk anugerah yang diperolehi di dunia tetapi untuk anugerah yang dijanjikan di akhirat.

Jika ini berjaya diyakini oleh kita semua, Insya-allah, kita tidak kecewa jika tidak diberikan anugerah, tidak merajuk jika sumbangan tidak dihargai, tidak lari jika usaha kita dinafi. Bukankah kita sering membawa firman Allah SWT di dalam surah at-tin :

قَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (4) ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ (5) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ (6)

Yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahsiswi yang dikasihi sekalian.

Ilmu, kemahiran dan segala macam pemberian yang datang daripada Allah SWT tidak hadir secara percuma. Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh Allah SWT menuntut untuk diamalkan. Oleh yang demikian saya ingin mengingatkan agar kita semua sentiasa meneguhkan niat untuk melakukan amal yang soleh sesuai dengan ilmu yang kita miliki. Ilmu yang tinggi tanpa disertai dengan amalan yang soleh tidak akan bernilai di sisi Allah SWT.

Selain menjadi seorang yang soleh, kita juga dituntut menjadi seorang yang musleh (مصلح). Soleh ertinya baik, musleh ertinya mendatangkan kebaikan kepada orang lain. Menjadi soleh barangkali tidaklah terlampau payah, tetapi menjadi seorang yang musleh bererti menempah kesukaran dan kepayahan di dalam hidup.

Saya menyatakan peringatan ini kerana saudara-saudari masih di alam pengajian, masih belum terserempak dengan onak ranjau yang merintangi perjuangan, masih belum terjumpa duri-duri tajam yang melukakan sepanjang perjalanan, masih belum bersua dengan binatang-binatang buas yang sentiasa menanti masa membaham mangsa.

Demi Allah yang merajai kerajaan Langit dan Bumi, telah terbukti di dalam lembaran sejarah, para ulama yang diberikan ilmu yang tinggi oleh Allah, akhirnya berpaling ke belakang menjadi duri dalam daging mengoyakkan helaian ilmu yang dimiliki dan menjual prinsip demi sedikit habuan. Ada juga golongan ulama yang kurang bijak dalam mengatur siasah, akhirnya tertipu dengan mainan politik murahan golongan sekular, lalu menjadi alat politik tanpa mereka sedari. Saya mengungkapkan pesanan ini agar saudara-saudari tidak terjerumus di dalam lembah yang penuh ranjau itu. Kerana sekali saudara-saudari terjebak ke dalam, sukar sekali untuk bangkit dan bangun kembali.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahasiswi yang dikasihi sekalian.

Sejarah telah menukilkan bahawa telah lahir golongan yang berada di barisan hadapan menentang Rasulullah SAW sedangkan merekalah yang diberikan ilmu pengetahuan oleh Allah SWT. Justeru, al-Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin telah membahagikan ulama kepada ulama akhirat dan ulama dunia atau ulama su’. Golongan ulama su’ inilah yang menjadi penghalang kepada perjuangan Islam.

Pada zaman Rasulullah SAW, telah muncul ketua munafik seperti Abdullah bin Ubay, yang mengepalai golongan munafiqin merosakkan dakwah Rasulullah SAW sedangkan mereka tahu dengan sebenar-benarnya bahawa invididu yang mereka tentang ialah nabi yang diutuskan oleh Allah SWT. Lalu lahirlah daripada silibus perjuanga munafiq ini projek-projek yang lahirnya nampak baik dan murni namun hakikatnya bertujuan untuk memusnahkan Islam.

Muncullah projek Masjid Dhirar yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk dimusnahkan. Walaupun namanya masjid, tetapi tujuannya untuk memecahbelahkan. Lalu menjadi tanggungjawab para ilmuwan sekalian untuk mengenal dengan pasti yang mana satukah projek masjid dhirar dan yang mana pula tidak. Ini penting agar para ilmuwan yang akan muncul sebagai golongan ulama tidak terperangkap dengan politik dhirar tanpa disedari.

Saudara-saudari, mahasiswa dan mahasiswi yang dikasihi sekalian.

Akhir kata, saya berharap supaya saudara-saudari sekalian dapat memanfaatkan masa dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT pada hari ini untuk menimba ilmu dan juga pengalaman sebanyak mungkin. Dunia hari ini tidak lagi menuntut lahirnya mahasiswa yang menggenggam segulung ijazah semata-mata, tetapi mahasiswa yang mampu berinteraksi dengan masyarakat.

Segulung ijazah hanyalah merupakan pengiktirafan akademik namun belum membuktikan saudara-saudari mampu menyumbang kepada masyarakat. Oleh yang demikian, bahagikanlah masa sebaik mungkin di antara tuntutan akademik dan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan mengasah kepimpinan dan kemahiran urus tadbir. Semoga segala usaha yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Saya sudahi dengan

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sumber : (link)

17 Rejab 1431 - 29 Jun 2010
10.42 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Monday, June 28, 2010

Siapakah


Siapakah orang yang sibuk? Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumannya? Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya? Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin? Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi? Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling cantik? Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas? Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit? Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya...

Siapakah orang yang mempunyai akal? Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Sumber : (link)

16 Rejab 1431 - 28 Jun 2010
5.29 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Saturday, June 26, 2010

Selamat Hari Lahir Ibu


Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke-60 diucapkan kepada ibu saya Maznah binti Ismail yang menyambutnya pada hari ini 26 Jun 2010. Semoga panjang umur dalam keimanan dan murah rezeki. Dan sentiasa mendapat bimbingan dan pertunjuk dari Allah s.w.t. Di sini Azim sertakan sebuah nasyid yang ditujukan khas buat ibu yang tercinta. Maaf diri ini tidak dapat bersama untuk menyambut ulangtahun ini. Diharapkan dengan nasyid ini dapat menceriakan dan menggembirakan ibu di sana. Dengarkalah wahai ibuku yang ku sayangi.




Ibu, diri ini sentiasa mengingatimu walau diri ini jauh di perantauan dan engkau sentiasa berada di hatiku. Maafkan segala salah dan silap yang telah dilakukan sepanjang keberadaan anakmu di muka bumi ini. Semoga ibuku terus diberikan kesihatan oleh Allah untuk menunaikan kewajipannya selaku hamba Allah s.w.t. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

Juga tidak lupa ucapan Selamat hari lahir buat anak sedaraku Muhammad Arif bin Zairul Nahar yang menyambutnya semalam 25 jun 2010. Semoga jadi anak yangsoleh dan taat kepada ibu bapa.

14 Rejab 2010 - 26 Jun 2010
10.38 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Friday, June 25, 2010

Renung & Fikirkan

Setelah lebih kurang 3 minggu berada dalam zon imtihan, Alhamdulillah akhirnya imtihan fasa dua menutup tirainya pada hari rabu lepas bagi kuliah Al-Quran tahun 1 Tanta. Semoga kami semua dikurniakan kejayaan oleh Allah s.w.t di dalam imtihan fasa 1 & 2 ini. Amin. Dan sekadar perkongsian kali ini untuk sama-sama kita renung dan fikir-fikirkan serta muhasabah diri


Lucukan, RM 20.00 ringgit kita
sedekahkan di masjid terasa amat
besar, tetapi tidak terasa apa-apa bila
kita belanjakannya di pasar ataupun shopping complex.

Lucukan, bila kita rasa amat lama untuk
berzikir satu jam, tetapi kita rasa
amat sekejap menyaksikan perlawanan
bola sepak selama satu jam setengah.

Lucukan, kita rasa amat lama duduk
beri'tiqaf di masjid, tetapi tidak
rasa apa-apa untuk menonton filem yang
panjang.

Lucukan, kita naik semangat bila ada
tambahan masa dalam perlawanan bola
sepak, tetapi kita merungut bila
sembahyang terawih panjang sedikit
dari biasa.

Lucukan,beratnya membaca satu juzuk Al-
Quran, tetapi dengan mudah kita membaca
seratus muka surat novel dan komik
kegemaran kita.

Lucukan, kita berebut untuk mendapatkan
tempat duduk dihadapan dalam
perlawanan bola sepak atau konsert,
tetapi kita selesa berada di saf
belakang semasa solat berjemaah supaya
kita senang hendak keluar nanti.

Lucukan, kita perlu buat temujanji 2 3
minggu untuk program masjid, tetapi
kita boleh tetapkan program lain
dengan serta merta.

Lucukan, betapa sukarnya untuk
mengeluarkan beberapa perkataan untuk
mengajak kawan kearah kebaikan, tetapi
kita amat mudah mendengar dan
menyebarkan gosip.

Lucukan, kita percaya bulat-bulat apa yang
tertulis di helaian-helaian surat khabar,
tetapi kita mempersoalkan kebenaran Al-
Quran.

Lucukan, semua orang hendak pergi ke
syurga tanpa perlu beriman, berusaha
dan berbuat sesuatu.

Lucukan, bila kita hantar cerita
kelakar e-mail ianya cepat
tersebar, tetapi bila kita sebarkan 2 3
potong ayat Allah, ramai yang keberatan
berkongsi maklumat.


Renung-renung dan fikir-fikirkanlah. Kebanyakkan ataupun sebahagian dari perkara-perkara seperti di atas memang berlaku ke atas diri kita. Oleh itu, adakah kita mahu membiarkan ianya terus berlaku ataupun kita mahu memperbaikinya??? Jawapannya ada di dalam diri masing-masing. Tepuk dada tanyalah iman kita. Cuma ingatan dari saya insan yang kerdil lagi dhoif ini ialah jangan biarkan perkara-perkara ini terus berlaku, sebaliknya sama-samalah kita memperbaiki kelemahan-kelemahan ini supaya kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Amin ya Rabb Al-'Alamin Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

13 Rejab 1431 - 25 Jun 2010
11.48 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Tuesday, June 15, 2010

Rejab yang Mulia


Alhamdulillah hari ini telah selesai imtihan tahriri dan bakal bertemu dengan imtihan syafawi pada 23/6 nanti. Hari ini sudah masuk 3 Rejab 1431. Sedar tak sedar kita telah pun berada di pertengahan tahun. Cukup pantas masa berlalu meninggalkan kita. Kita akan terus hanyut dengan kenikmatan dunia sekiranya kita berterusan leka dan lalai tanpa diingatkan. Walaupun kita begitu, Allah masih memberi peluang kepada kita untuk bertemu denga bulan Rejab. Bulan yang mulia dan penuh keberkatan di dalamnya. Bulan yang mana Nabi diisra'& dimikrajkan oleh Allah. sepertimana termaktub di dalam surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud

Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari masjidil haram (di mekah) ke masjidil aqsa (di palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang amat mendengar lagi amat mengetahui.

Pada malam nabi diisra' mikrajkan, Nabi telah menerima perintah yang amat penting bagi dirinya dan umat islam seluruhnya iaitu solat 5 waktu. Bayangkan betapa tingginya kedudukan solat itu di sisi Allah sehingga difardhukan kepada baginda secara terus tanpa perantaran jibril. Malangnya bagi orang-orang yang menjadikan solat itu sebagai satu perkara remeh sehinggakan ada yang meninggalkannya. Solat merupakan tiang agama sekiranya kita meninggalkan solat maka akan runtuhlah agama kita. Ibarat sebuah rumah yang tidak bertiang maka ia tidak akan terbina. begitulah juga dengan solat. Perkara yang pertama akan dihisab di akhirat kelak adalah solat kita. Andainya baik dan bagus solat yang kita kerjakan maka akan dimudahkan hisab ke atas amalan-amalan kita yang lain. Solat juga merupakan pendinding bagi kita dari melakukan kemungkaran sepertimana firman Allah di dalam surah Al-'Ankabut ayat 45 yang bermaksud

Bacalah serta ikutilah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Itupun bergantung bagaimana cara kita menunaikannya. Sekiranya kita menunaikannya dengan khusyuk dan tawaddhu' semata-mata kerana Allah insyaALLAH kita akan dihindarkan daripada kemaksiatan. Antara orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak ialah mereka yang khusyuk di dalam solatnya sepertimana firman Allah di dalam surah Al-Mu'minun ayat ke 1-2 & 9 yang bermaksud

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya & Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.

Maka natijahnya ialah melalui firman Allah dalam surah yang sama ayat ke 10-11 yang bermaksud

Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.

Sabda nabi dalam hadisNya yang bermaksud

Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda pahala

Allah telah melebihkan pahala ke atas mereka yang menunaikan solat secara berjemaah dengan 27 kali ganda berbanding solat secara bersendirian. Sekiranya inginkan ganjarannya maka tunaikanlah solat secara berjemaah dan tunaikan ia di awal waktu. Untuk akhirnya marilah sama-sama kita memperelokkan solat kita. Kerjakanlah ia dengan penuh khusyuk dan tawaddhu' serta lakukan secara berjemaah di masjid. Itu yang lebih afdhol (baik). Dan perbanyakkanlah amalan-amalan sunat yang lain di bulan ini untuk meneutralkan kembali hati kita yang kotor dan penuh kegelapan ini agar kita sentiasa menjadi hamba yang diredhoi oleh Allah. Amin ya Rabb Al-'Alamin

3 Rejab 1431 - 15 Jun 2010
6.45 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Friday, June 11, 2010

Sampaikan


Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Hari Jumaat juga merupakan hari yang paling mustajab bagi mukmin untuk berdoa. Nescaya Allah akan memakbulkan doanya selama mana ia tidak meminta perkara yang haram. Juga hari yang bakal berlakunya kiamat. Sengaja saya memilih hari yang mulia ini untuk mengupdate teratak usang ini setelah 3 bulan lebih menyepi dari himpunan artikel untuk dikongsi bersama. Bukan disebabkan masa yang terbatas untuk mengupdate ataupun line internet yang lembab, tetapi ianya disebabkan kemalasan yang melanda diri yang kerdil ini. Walhal insyaAllah saya akan berusaha untuk selalu mengupdate blog ini. Seikit perkongsian untuk hari ini mengenai satu kisah yang dipetik dari artikel yang telah saya baca minggu lepas. Kisah ini amat menarik dan cukup tersentuh untuk dikongsikan bersama. Sama-samalah hayati kisah ini:

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar sana dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepadamakhlukNya yang penyayang.

Begitulah kisahnya. Firman Allah Taala dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud

Kamu (wahai Muahammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)

Firman Allah lagi di dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud

Wahai orang-orang yang beriman! jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Sahabat sekalian, bersungguh-sungguhlah dalam menyampaikan ajaran islam ini di mana saja anda berada tanpa mengira waktu bila. Kongsikan setiap ilmu yang kita ada untuk kita sama-sama menampal kelemahan yang ada pada kita agar kita menjadi umat islam yang gagah dan bersatu di antara satu sama lain. Nabi bersabda yang bermaksud

"Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat"

Sahutlah cabaran ini bersama-sama!!! Semoga dapat mengambil iktibar dari kisah ini. Akhirnya, doakan saya dan sahabat-sahabat yang lain agar dimudahkan untuk menjawab di dalam imtihan fasa 2 ini. Berbaki 2 madah lagi. 13/6 Qiraat Shaz & 15/6 Ulum Al-Quran. Dan imtihan tahriri pada 23/6. Doakan semoga kami berjaya. Tidak lupa juga untuk sahabat-sahabat seperjuangan di shoubra khususnya dan semua mahasiswa di mesir amnya. Mudah-mudahan kita semua berjaya agar dapat pulang ke Malaysia seterusnya mencurahkan ilmu yang ada untuk dikongsi bersama. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

28 Jamadil Akhir 1431 - 11 Jun 2010
8.00 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...