Tuesday, October 6, 2009

Rezeki dari Allah


Kesempatan pagi yang indah tadi penulis telah manfaatkan dengan menghadiri ujian berkomputer yang menjadi salah satu syarat untuk mendapatkan lesen memandu. Perasaan yang agak berdebar-debar juga bila berada di dalam bilik ujian. Beberapa minit setelah menduduki ujian, Alhamdulillah penulis menarik nafas lega apabila ujian yang diambil lulus dengan markah 45/50. Markah lulus adalah 42/50. Lebih 3 markah je. Soalan-soalan yang diberikan agak mencabar. Nasib baik soalan berbentuk objektif (ABC). Kalau soalan subjektif belum tentu penulis layak untuk lulus ujian ini. Apapun syukur penulis panjatkan ke hadrat Ilahi. Kebetulan hari ini penulis sambut hari raya selepas selesai puasa sunat 6 Syawal semalam. Mungkin ini hadiah dari Allah. Bagi yang belum berpuasa lagi masih belum terlambat untuk laksanakannya. Besar fadhilatnya bagi sesiapa yang berpuasa sunat 6 Syawal sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud

“Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Nak dapatkan fadhilat dia??? It’s so simple. Puasalah !!! 6 hari sahaja. Tak lama mana pun. Pejam celik pejam celik dah habis. Berbalik kepada cerita tadi, selepas selesai ujian, penulis pun pulang ke rumah. Setibanya di rumah penulis terus memaklumkan keputusan ujian tadi kepada mama. Dan serta merta mama mengucapkan tahniah di atas keputusan itu. Penulis bertambah gembira apabila mama memaklumkan bahawa penulis telah menerima sedikit sumbangan/zakat daripada jiran yang baru diberikan tadi. Subhanallah!!! Rezeki lagi. Murah sungguh rezeki hari ini. Nilainya agak banyak juga bagi penulis yang bertittle single ni. Tiada ucapan yang boleh penulis ungkapkan melainkan memuji Allah s.w.t di atas kurniaan ini. Rezeki ni Allah yang bagi bukannya manusia, manusia itu hanyalah sebagai wasilah untuk menyampaikan. Hakikatnya Allah la yang menggerakkan seseorang manusia itu untuk berbuat demikian. Oleh itu tak perlulah kita menggunakan jalan yang salah untuk mencari rezeki, sebaliknya carilah rezeki dengan cara yang halal dan bersyukurlah dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Yakinlah, apabila kita bersyukur dengan rezeki yang Allah bagi nescaya Allah akan tambah lagi. Sepertimana firmanNya di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud

“Dan (ingatlah) tatkala tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu. Dan demi sesungguhnya! Jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabku amatlah berat”.

Macamana nak bersyukur??? Erm...Tunaikanlah setiap perintahNya dan tinggalkan setiap laraganNya. Ia agak mudah bagi mereka yang betul-betul beriman kepada Allah. Tapi sebaliknya agak susah bagi mereka yang kurang imannya. Tentukanlah di mana iman kita. Penulis diberikan amanah oleh jiran yang memberikan sumbangan/zakat tadi agar menggunakan duit itu untuk belajar. Dan diminta agar mendoakan beliau sekeluarga agar dapat menunaikan umrah/haji. InsyaAllah penulis akan memikul amanah ini dengan sebaiknya. Orang yang berbuat baik kepada orang lain nescaya Allah akan membalaskan kebaikan juga kepada orang itu bahkan lebih baik lagi. Firman Allah di dalam surah An-Naml ayat 89 yang bermaksud

“Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka pula akan beroleh aman sentosa daripada kejadian yang mengerikan pada qiamat itu”.

Raya selepas puasa sunat 6 Syawal pun dapat duit raya. Walaupun ia bukan duit raya, tapi lebih kurang la. Nak juga ke??? Try la puasa. Tapi jangan la niat nak dapat duit ye. Biar la ikhlas kerana Allah. InsyaAllah pasti ada ganjarannya. Kalau bukan di dunia tapi di akhirat kelak. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah kami hamba-hambaMu yang ikhlas dan sentiasa bersyukur di atas setiap kurniaan yang Engkau telah berikan kepada kami. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

18 Syawal 1430 – 7 Oktober 2009

Saturday, October 3, 2009

Undang-undang


Alhamdulillah semalam penulis telah selesai mengikuti kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) selama 5 jam. Lama juga kursus ni ya. Seramai 24 orang yang telah turut serta bersama penulis mengikuti kursus ini. Dalam kursus itu diterangkan berbagai-bagai perkara yang berkaitan dengan pemanduan. Penulis begitu tertarik dengan cara penyampaian ceramah oleh Puan Khadijah kalau tak silap la, selaku penceramah yang begitu bersemangat menyurahkan ilmu-ilmu berkaitan pemanduan kepada kami. Walaupun ada ketika bahasa-bahasa yang digunakannya agak kasar, tetapi penulis menganggap ia sebagai peringatan yang berguna kepada bakal-bakal pemandu. Contohnya “Jangan jadi sombong bodoh, tidak tahu sesuatu tetapi tidak mahu bertanya” itu antara ungkapan yang sempat penulis recordkan di dalam kepala. Kami diberitahu sedikit sebanyak mengenai peranan papan-papan tanda yang berada di sepanjang jalan. Juga kami diajar satu perkataan DADA yang disingkatkan daripada 1-Define (mengenal pasti) 2- Analyse (menganalisa) 3-Dicide (buat keputusan) 4-Act (bertindak). Perkataan ini perlu digunakan apabila menemui sesuatu halangan ketika memandu dan perlu sentiasa mengamalkannya. Itu pesan penceramah kepada kami. Penceramah juga menerangkan tentang undang-undang jalan raya.

Apabila sebut mengenai undang-undang, ke mana pun yang kita pergi ada undang-undang . Bukan sekadar di sekolah, hospital, pejabat sahaja. Bahkan di mana-mana . Di jalan raya pun ada undang-undang. Dan setiap undang-undang itu perlu kita patuhi supaya kita selamat apabila berada di situ. Tetapi sebaliknya apabila kita tidak memahami peraturan itu maka dengan sendiri kita akan melanggarnya. Lebih buruk lagi padahnya sekiranya kita tahu akan peraturan itu tetapi tetap juga tidak mematuhinya maka ianya mengundang masalah yang besar. Sekiranya di jalan raya kita tidak mematuhi undang-undang jalan raya maka kemungkinan besar kita akan kemalangan ataupun paling tidak disaman oleh penguatkuasa. Itu sebabnya kita perlu mempelajari dan memahami undang-undang jalan raya, untuk mengelakkan dan menyelamatkan kita dari sebarang kecelakaan.

Begitu juga dengan dunia yang menjadi jambatan untuk kita menuju akhirat kelak, juga tidak lepas dari undang-undangnya yang tersendiri yang boleh penulis kaitkan di sini untuk peringatan kita bersama. Ianya bukan dicipta oleh polis, jpj, saintis ataupun profeser, tetapi ia adalah dari pemilk sekalian alam yang maha Agung iaitu Allah s.w.t. Undang-undang itu termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah. Kalau Allah kata haram judi, minum arak, makan khinzir, riba, dan rasuah maka ianya tetap haram. Itu undang-undang Allah dan undang-undang Allah perlu dipatuhi seratus-peratus. Bukan hanya dipatuhi 50% sahaja. Firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 49 yang bermaksud

“ Dan hendaklah engkau menjalankan hukum Allah di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan engkau dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jka mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakkan dari umat manusia itu adalah orang-orang fasik”.

Sekiranya kita tidak tahu, maka itu perlunya kita belajar dan bertanya kepada yang tahu. Bukan sekadar duduk bersahaja dan langsung tidak ada usaha untuk memahaminya. Firman Allah lagi di dalam surah Al-A'raf ayat 179 yang bermaksud

“Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak (mahu) memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak (mahu) melihat dengannya (bukti-bukti keesaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak (mahu) mendengar dengannya (ajarandan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Bagi yang tahu pula hendaklah patuh akan undang-undang itu serta melaksanakan ia. Jangan sampai kita ditimpakan bala oleh Allah dek kerana tidak mahu menghiraukanya. Takutlah seksa azab Allah yang mengerikan itu!!! Oleh itu, kita yang memimpin sama ada di peringkat keluarga, persatuan apatah lagi pemimpin negara sewajibnya kita melaksanakan undang-undang ataupun dalam kata lain hukum-hukum Allah dengan sebaiknya, agar kita menjadi masyarakat yang bersih dan suci dari segala najis kekotoran serta selamat di dunia dan di akhirat nanti. Patuhlah juga kepada undang-undang jalan raya dan sebagainya selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara’ agar tidak berlaku kecelakaan kepada kita mahupun orang lain. Akhirnya, doakan penulis agar lulus semua ujian untuk mendapatkan lesen memandu ini. Masih ada 2 lagi ujian yang penting. Ujian berkomputer dan ujian JPJ. Nanti kalau dah ada lesen boleh buat bakti pada orang tua. Hantar mak pergi pasar atau mana-manalah. Jadi second driver kalau berjalan jauh. Banyak la juga manfaatnya. Lepas ini tak payah susahkan orang lain untuk hantar ke sesuatu tempat. Doakanlah juga mudah-mudahan kita semua dapat menjadi orang yang patuh pada undang-undang terutama undang-undang Allah s.w.t. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

15 Syawal 1430 – 4 Oktober 2009

Saturday, September 19, 2009

Maafkanlah !!!


Siang dan malam silih berganti. Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Ramadhan 1430 akhirnya melabuhkan tirainya. Kini Syawal pula menjelma sebagai pengganti. Mudah-mudahan segala amal ibadah yang telah dilakukan di dalam bulan Ramadhan yang lepas terutama ibadah puasa kita diterima oleh Allah s.w.t. Dan mudah-mudahan juga kita semua dibersihkan oleh Allah segala dosa kita yang terdahulu. Bersempena dengan Aidilfitri ini, penulis ingin mengambil kesematan memohon jutaan kemaafan kepada sahabat-sahabat yang mengenali penulis di atas segala silap dan salah yang pernah penulis lakukan terhadap anda semua. Janganlah biarkan ada yang tersimpan di dalam hati. Kerana setiap insan tidak lari dari melakukan kesilapan. Oleh itu bersedialah memaafkan segala kesalahan. Dan tidak lupa juga untuk sahabat para pembaca yang tidak jemu-jemu melawati teratak usang ini. Mungkin anda semua ada terasa hati dengan kalam-kalam penulis, penulis memohon maaf. Itu semua adalah untuk kebaikan kita semua. Ingatlah dengan firman Allah yan bermaksud

“ Dan tetap tekunlah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman”.

Sambutlah hari lebaran ini dengan sebaiknya. Janganlah terlalu gembira menyambut lebaran sehingga lupa diri dan melanggar perintah Allah s.w.t. Dan janganlah Ramadhan yang baru berakhir ini menjadikan semua amalan yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan baru ini juga turut berakhir. Tetapi hendaklah kita meneruskan amalan itu mudah-mudahan kita menjadi orang yang istiqamah. Kepada sahabat-sahabat penulis yang berada di perantauan, janganlah bersedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta kerana anda semua bukannya keseorangan beraya di sana. InsyaAllah kalau ada rezeki tahun-tahun akan datang sahabat-sahabat pasti akan dapat beraya bersama keluarga di Malaysia. Akhirnya, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri 1430 Maaf Zahir & Batin di atas segala ketelanjuran diri yang serba kekurangan. Sama-samalah doakan agar kita semua dipanjangkan umur di dalam keimanan dan dipertemukan dengan bulan Ramadhan yang akan datang. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

1 Syawal 1430 - 20 September 2009

Tuesday, September 15, 2009

Musibah @ Ujian


Sahabat pembaca yang dirahmati Allah sekalian, setiap dari kita tidak lepas daripada ujian dan musibah yang diberikan oleh Allah kepada kita. Tidak kira apa bentuk ujian tersebut sama ada besar mahupun kecil kita tidak dapat lari daripadanya. Para Anbiya’ Allah juga diuji dengan berbagai-bagai ujian ketika mereka menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Begitu juga dengan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Ujian yang Baginda tempuhi terlalu banyak. Baginda dicaci, dihina, dipukul dan sampai ke satu tahap ingin dibunuh oleh puak-puak kuffar. Itu merupakan sebahagian ujian @ musibah yang ditempuhi oleh Baginda sepanjang dakwah Baginda, demi melihat Islam tersebar di muka bumi Allah ini. Sedangkan Nabi Muhammad yang merupakan kekasih Allah pun diuji, apatah lagi kita insan biasa ini sudah semestinya akan diuji oleh Allah tetapi ujian yang kita hadapi tidaklah seberat ujian yang dihadapi oleh para Anbiya’ Allah. Artikel kali ini penulis ingin kongsi bersama pembaca semua bagaimana cara ataupun tip untuk meringankan tekanan apabila ditimpa ujian atau musibah yang penulis ambil daripada majalah Solusi agar kita dapat menghadapi musibah @ ujian itu dengan sebaiknya. Antaranya:

1- Penghapusan Dosa
Ingatlah bahawa ujian atau tekanan yang berlaku itu bertujuan menghapuskan dosa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud “Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan dosa), dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu”.

2- Meningkatkan Darjat
Ingatkan hati bahawa musibah itu akan menyebabkan seseorang mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

3- Mengingati Allah
Menjadi kelaziman manusia lebih kerap mengingat Allah semasa ditimpa kesusahan berbanding semasa dalam keadaan bahagia.

4- Mensyukuri Nikmat
Bayangkan nikmat-nikmat yang telah diberikan Allah s.w.t. sebelum ini daripada terus meratapi musibah yang dihadapi

5- Berasa Ujian Kita Lebih Ringan
Mengingatkan diri bahawa ujian yang diterima oleh kita terlalu kecil berbanding apa yang menimpa orang lain, malah penderitaan orang lain itu jauh lebih berat daripada apa yang sedang dideritai oleh kita.

6- Allah Menyayangi Kita
Ujian yang berlaku merupakan tanda Allah cinta kepada hambaNya. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “ Barang siapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, maka akan diberikan cubaan padanya “.

Cara untuk menghadapi musibah @ ujian antaranya :

1- Membaca Al-Quran dan Mentadabbur Maknanya.

2- Memperbayakkan Taubat dan Istigfar.

3- Taqarrub kepada Allah.

4- Bersangka Baik Terhadap Allah

5- Tawakkal kepada Allah

Itulah sedikit sebanyak yang ditulis di dalam majalah Solusi yang boleh penulis kongsikan bersama pembaca semua. Ingatlah para pembaca semua, semakin besar ujian @ musibah yang dihadapi, semakin besarlah nilai pahala di sisi Allah s.w.t. Allahlah yang telah menciptakan kita, dan Dialah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Oleh itu, janganlah kita mengeluh setiap kali ditimpa musibah sebaliknya bersangka baiklah dengan Allah. Mungkin ini salah satu cara untuk kita lebih mengingati Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Firman Allah yang bermaksud “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”. Carilah hikmah di sebalik setiap ujian yang melanda diri. Pasti ada ganjaran yang ingin Allah berikan kepada kita. Yakinlah!!! Untuk akhirnya, sama-samlah kita berdoa agar kita menjadi orang-orang yang sentiasa redho dengan ketentuan Allah s.w.t dan tidak mengeluh di atas ujian yang menimpa diri. Amin ya Rabb Al-‘Alamin

Sumber Rujukan: Majalah Solusi


25 Ramadhan 1430 – 15 September 2009

Friday, September 11, 2009

Jom Memburu !!!


Ramadhan telah pun masuk fasa yang ketiga iaitu pelepasan dari api neraka. Bermakna Ramadhan hampir menutup tirainya pada tahun ini. Agak-agak pembaca semua ada ke tidak perasaan sedih untuk meninggalkan bulan yang menjanjikan berbagai-bagai keistimewaan dari Allah s.w.t ini??? Ataupun bergembira kerana tidak lama lagi ingin menyambut ketibaan Aidilfitri??? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Anda lebih mengetahui diri anda sendiri. Kalau ada rasa kesedihan yang menyelubungi diri, jom sama-sama kita manfaatkan hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan sebaiknya. Carilah malam Lailatul Qadar yang mana beribadah pada malamnya bersamaan dengan beribadah selama 1000 bulan. Sepertimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Qadar, maksudnya:

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. [2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar (malam kemuliaan dan kebesaran) itu? [3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan*. [4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); [5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!"

* Yakni amal ibadah yang dikerjakan pada malam Lailatul Qadar itu lebih besar pahalanya daripada amal ibadah yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain. Oleh sebab itu disebutkan di dalam hadis sohih, bahawa Rasulullah biasanya mulai dari malam 21 Ramadhan baginda membanyakkan ibadah sepanjang-panjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan malam Lailatul Qadar yang berkat itu yang berlakunya pada salah satu malam dari 10 atau 9 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Kalau semulia-mulia dan sekasih-kasih manusia kepada Allah demikian usahanya untuk mendapat kelebihan malam yang mulia itu, maka sudah sewajibnya kita yang berkeadaan sentiasa diperdaya oleh berbagai-bagai godaan hidup, menggandakan usaha mengerjakan amal ibadah untuk mencapai keampunan dan keredhoaan Allah.

Kita ini hidup di dunia tidak lama sepertimana umat-umat zaman dahulu yang hidup mereka beratus-ratus tahun lamanya. Berbeza dengan umat Nabi Muhammad s.a.w yang rata-rata meninggal pada umur puluhan tahun, hanya sedikit yang umurnya ratus tahun. Oleh itu rebutlah ganjaran yang Allah janjikan ini dengan sebaiknya. Allah sudah beri keistimewaan ini khusus untuk umat Nabi Muhammad. Janganlah biarkan ia luput begitu sahaja. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencarinya dengan berqiamullail, membaca Al-Quran, berzikir dan ibadah-ibadah yang lainnya. Jangan lupa mengajak (membangunkan) ahli keluarga yang lain untuk turut serta mencari malam Lailatul Qodar ini sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah. Sabda Baginda di dalam hadis bermaksud

“Rasulullah selawat dan salam Allah ke atasnya, apabila tiba 10 malam terakhir bulan Ramadhan, beliau menghidupkannya (dengan beribadah) dan meminta keluarganya berjaga malam (untuk beribadah) serta tidak bercampur dengan isteri-isterinya”.

Mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang berusaha mencari malam Al-Qadr untuk beribadah pada malam tersebut. Amin ya Rabb Al-‘Alamin.

Jom sertai bersama-sama!!!

Misi : Memburu malam Al-Qadr

Tema : Ibadah Berterusan, Syurga Menjadi Ganjaran

Masa : Sepertiga malam @ keseluruhannya

Tarikh : 10 terakhir Ramadhan

Tempat : Afdhol di masjid, di rumah pun ok

Tujuan : Mendapatkan keredhoan @ keampunan dari Ilahi

Aktiviti : Qiamullail, membaca Al-Quran, berzikir, dan sebagainya

Pengadil : Allah s.w.t

Ganjaran: Diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan berbagai-bagai lagi keistimewaan

Anjuran : Pemilik Dunia (Allah yang Maha Agung) & KekasihNya (Nabi Muhammad s.a.w)


Rujukan : Tafsir Pimpinan Ar-Rahman & Buku Ramadhan Tetamu Yanh Dirindui oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

22 Ramadhan 1430 – 12 September 2009

Wednesday, September 9, 2009

Dia Maha Melihat


Hari ini hari rabu bersamaan dengan 09-09-09. Apa yang menarik dengan tarikh ni ya??? Erm... Sebelum ini pernah dikhabarkan kepada penulis bahawa penulis bakal mendapat seorang lagi anak saudara pada tarikh ini tetapi kuasa Allah melebihi pengetahuan hamba-hambaNya. Allah sudah menentukan bila masa yang sepatutnya bayi itu dilahirkan. Insyaallah dia akan lahir pada tarikh-tarikh yang lain di dalam bulan ini. Doa-doakanlah agar semuanya selamat. Amiin.. Sebenarnya penulis sengaja memilih tarikh ini untuk posting seterusnya. Tarikh ni nampak macam best je. Oklah untuk kali ini penulis ingin berkongsi bersama pembaca semua tentang satu kisah dipetik dari majalah Solusi yang sempat penulis baca pagi tadi. Begini kisahnya:

Seoarang guru sangat mengasihi seorang anak muridnya berbanding yang lain, sehingga murid-murid yang lain begitu cemburu. Mereka yang cemburu itu menuduh guru itu pilih kasih, tidak adil dan sebagainya. Ini menyebabkan guru itu mencari jalan bagaimana hendak menjelaskan kenapa dia bersikap sedemikian.

Satu hari guru itu memberikan seekor ayam kepada setiap anak muridnya. Dia menyuruh setiap orang menyembelih ayam itu di tempat yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Tidak lama kemudian, semua murid-murid pulang, masing-masing dengan ayam yang telah disembelih di tangan. Ada yang menyembelih di dalam hutan, di sebalik batu dan tempat-tempat lain yang tidak dapat dilihat orang.

Namun, anak murid yang dikasihi guru tadi pulang agak lewat. Dan di tangannya ayam itu masih hidup, yakni belum disembelih. “Adakah kamu gagal menyembelih ayam ini?” Tanya guru. “Saya tidak dapat menemui tempat yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa.” “Maksud kamu?” “Di mana pun saya pergi Allah melihat,” ujar anak murid kesayangan guru ini. Mendengar jawapan dan melihat sikap itu, tahulah anak-anak murid yang lain mengapa guru mereka sayangkan rakan mereka itu.

Begitulah kisahnya bagaimana sikap seorang murid yang begitu yakin bahawa Allah s.w.t sentiasa melihat akan apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya tidak kira di mana sahaja kita berada walau dalam lubang cacing sekali pun Allah tetap dapat melihat apa yang kita lakukan. Bagaimana pula dengan kita? Harap-harap kita pun dapat menjadi seperti murid tadi. Apabila kita merasa yang Allah sentiasa melihat segala tindak-tanduk kita maka secara otomatiknya kita akan sentiasa berwaspada dengan apa yang ingin kita lakukan. Mana mungkin kita berani untuk melakukan maksiat kepada Allah melainkan kalau kita tidak takut dengan azab yang bakal Allah berikan kepada kita nanti. Firman Allah yang bermaksud

"Sesiapa yang melakukan kejahatan ia akan dibalas dengan kejahatan itu".

Agak-agak pembaca semua berani lagi ke nak buat maksiat kepada Allah??? Na’uzubillah min zalik. Oleh itu sama-samalah kita memperbaiki amalan kita dan sentiasa berwaspada agar tidak terjerumus ke lembah maksiat. Sentiasalah berdoa agar solat fardhu yang kita dirikan 5 kali sehari itu mampu untuk membentengi diri kita dari maksiat dan perbuatan mungkar seperti mana firman Allah yang bermaksud

"Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar".

Dan kita yang telah terlanjur melakukan dosa maka hendaklah kita bertaubat kepada Allah. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang dan bersedia mengampunkan hambaNya selagi mana belum tibanya hari kiamat, sepertimana disebut di dalam firmanNya yang bermaksud

" Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka. dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salanya dan akibatnya)".

Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang selalu bertaubat dari segala dosa yang kita lakukan dan berazam untuk tidak melakukan kembali dosa itu. InsyaAllah, sama-samalah kia berdoa. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

19 Ramadhan 1430 - 9 September 2009

Monday, September 7, 2009

Petunjuk Sekalian Alam


Al-Quran adalah Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan perantaraan Jibril ‘alaihissalam. Dimulakan dengan surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan surah An-Nas. Membacanya merupakan ibadah. Dan merupakan mukjizat Nabi Muhammad yang paling besar dan paling agung. Itulah makna ataupun definasi Al-Quran.

Tanggal 17 Ramadhan pastinya akan diingati oleh umat islam di seluruh dunia kerana pada tanggal ini telah menyaksikan kepada kita semua sejarah penurunan Al-Quran yang menjadi petunjuk dan rahmat untuk sekalian alam. Ia merupakan mukjizat paling besar dan agung yang dikurniakan Allah kepada kekasihNya junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran bukanlah diturunkan sekadar untuk dibaca atau didengari bahkan lebih dari itu. Ia hendaklah dijadikan panduan dan pedoman sepanjang hayat.

Satu-satunya peneman yang paling setia apabila kita berada di dalam kubur nanti adalah Al-Quran. Ia juga yang akan memberi syafaat kepada kita di padang mahsyar kelak. Tempat yang penuh sesak dengan jutaan manusia. Masing-masing cemas dan gelisah menunggu untuk diadili oleh Allah s.w.t sama ada akan ke syurga ataupun neraka. Selain Nabi Muhammad yang diberi keizinan oleh Allah untuk memberi syafaat kepada umat manusia pada hari tersebut, Al-quran juga akan menjadi syafaat untuk kita nanti di sana sepertimana sabda Rasulullah di dalam hadisnya yang bermaksud

“Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya dia (Al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat untuk pembacanya”.

Kedua-dua ini bergantung sejauh mana keakraban kita bersama dengan Al-Quran untuk menjadi penyebab kita mendapat keistimewaan ini. Setiap huruf dari Al-Quran yang kita baca akan mendapatkan 10 ganjaran/kebaikan. 1 ayat sahaja sudah mengandungi berapa huruf? Cuba bayangkan sekiranya banyak yang kita baca dari Al-Quran itu, makin bertambahlah pahala dan ganjarannya. Bacalah Al-Quran siang dan malam serta tadabburlah makna dan isinya agar kita memahinya. Apabila kita memahami isi-isi yang terkandung di dalam Al-Quran maka secara otomatik kita akan mengamalkan apa yang diperintahkan Allah di dalamnya serta takut untuk melakukan dosa kepada Sang Pencipta tidak kira siapa pun sama ada pemimpin mahupun rakyat. Dek kerana kita kurang mengambil endah untuk memahami ayat-ayat Al-Quran itulah yang menjadi penyebab banyaknya berlaku kemungkaran di atas muka bumi ini. Janganlah menunding jari ke arah sesiapa pun tentang masalah ini sebaliknya tanyalah pada diri kita sendiri sama ada kita telah berusaha untuk memahami Al-Quran ataupun tidak. Jika mahu melahirkan masyarakat yang berjiwa Al-Quran, ayuhlah sama-sama kita berusaha untuk memahami Al-Quran bermula dengan diri kita, keluarga dan seterusnya masyarakat seluruhnya.

Asuhlah anak-anak kita membaca Al-Quran sejak mereka kecil lagi agar jiwa mereka sebati dengan Al-Quran seterusnya membolehkan mereka berakhlak dengan akhlak Al-Quran dan bukanlah berakhlak dengan akhlak yang ada pada remaja masa kini yang kebanyakkan telah rosak akibat meminggirkan Al-Quran. Budayakanlah Al-Quran di mana sahaja kita berada. Ajaklah keluarga, sahabat, dan jiran kita agar sama-sama dapat membudayakan Al-Quran di dalam kehidupan seharian kita semua. Jadikanlah ia amalan harian sebagaimana kita memerlukan air setiap hari begitulah juga kita memerlukan Al-quran setiap hari, waktu dan ketika. Terutama kepada Hamlatul Quran (Penghafaz Al-Quran) termasuklah penulis, hendaklah selalu mengulang Al-Quran agar tidak lupa. Ingat tu sahabat-sahabat seperjuangan!!! Jangan nanti Al-Quran yang sepatutnya menjadi syafaat bagi kita tetapi melaknat kita kerana tidak menjaga hafalan dengan sebaiknya. Na'uzubillah min zalik. Hiduplah kita semua dengan berpandukan Al-Quran mudah-mudahan kita selamat di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah menjadikan kita orang-orang yang selalu mendekati, membaca dan mentadabbur Al-Quran agar kita beroleh kebahagiaan di akhirat kelak sekaligus mendapatkan syurga Allah s.w.t. Amin ya Rabb Al-'Alamin.

17 Ramadhan 1430 – 7 September 2009