Thursday, December 23, 2010

Motivasi Kecemerlangan


klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

Hari yang yang mendebarkan buat seluruh insan yang bergelar mahasiswa Azhari semakin menghampiri. Kurang sebulan lagi hari itu bakal tiba. Hari yang dimaksudkan ialah imtihan fasa 1 buat mahasiswa al-Azhar yang akan menemui mahasiswa pada 8 Januari 2011 ini. Bagi mahasiswa di ipt tempatan sudah boleh menarik nafas lega kerana rata-rata ipt tempatan telah pun selesai exam dan sekarang sedang menghabiskan percutian mereka. Sudah pasti kebanyakan dari mereka ini menggunakan cuti semester ini untuk merehatkan minda dengan berholiday bersama family dan sebagainya. Perkara yang sebaliknya pula berlaku kepada mahasiswa al-Azhar yang mana pada waktu dan saat ini sedang sibuk study sama ada secara berseorangan mahupun study group. Bagi mereka yang tidak mahu gagal dalam imtihan ini pastinya akan study bersungguh-sungguh untuk memperoleh kejayaan dan bagi mereka yang inginkan kegagalan sudah pasti akan melakukan perkara yang sebaliknya. Tapi saya percaya semua orang tidak mahu gagal dalam apa jua perkara yang mereka lakukan. Jadi, jika tidak mahu gagal maka seharusnya tingkatkan kerajinan anda semaksima mungkin untuk menelaah buku dan buanglah sifat malas itu sejauh mata memandang tika di padang pasir dan jangan sekali-kali mengutipnya kembali sampai bila-bila. Boleh??? InsyaALLAH saya dan sahabat-sahabat semua mampu untuk melakukan. Sedikit motivasi yang ingin dikongsi untuk sahabat-sahabat azhari khususnya dan juga untuk sahabat yang lain. Motivasi ini dicopy dari sini. Hayati dan renungi motivasi ini moga kita dapat sesuatu darinya,

Kesedaran Yang Mendorong Kecemerlangan

Hamba dan khalifah Allah
Hidup berteraskan ketaqwaan kepada Allah.Sentiasa merasakan kejayaan milik Allah yang perlu digarap dengan cara yang betul.

Potensi diri
Setiap insan mempunyai potensi tersendiri yang menanti untuk diserlahkan .

Peluang yang diberi
Potensi yang ada pada diri perlu diserlahkan pada setiap peluang. Bantuan dan sokongan yang di hulurkan adalah sesuatu yang amat berharga dan hanya menjadi kenangan yang mengusik jiwa sahaja jika tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Masa depan
Kualiti kehidupan dewasa yang akan kita lalui adalah bergantung kepada kualiti kehidupan masa ini.

Harapan ibu bapa dan keluarga
Di sebalik perjuangan kita, terdapat insan yang menaruh harapan untuk melihat kita berjaya. Mereka ialah ibubapa dan keluarga kita semua .

Maruah agama, bangsa dan negara
Kita merupakan generasi pelapis yang akan mewarisi kepimpinan agama, bangsa dan negara.

Cemerlang kita, cemerlanglah agama
Gemilang kita, gemilanglah bangsa
Terbilang kita, terbilanglah negara

Merangsang Kemantapan Motivasi

1. Menentukan matlamat dengan jelas

2. Membina bayangan positif natijah kejayaan

• tiket untuk melanjutkan pelajaran
• merealisasikan cita- cita dan kerjaya
• berjasa kepada ibu bapa
• mobiliti sosial
• merealisasikan dunia sebagai pentas kecemerlangan amal.

3. Menguasai aliran minda yang positif

• Aku bukan insan yang lemah - AKU BOLEH
• Bukan indah dengan madah berhelah - TIADA ALASAN
• Bukan berusaha sekadar di pinggiran - BERSUNGGUH
• Bukan layu di hujung mekar - SENTIASA BERSEMANGAT
• Aku menaruh harapan ke pintu mahligai - INSYALLAH BOLEH

4. Persekitaran yang bermotivasi

• Persekitaran di tempat belajar
• Sahabat yang membina
• Situasi kehidupan yang cerah dan indah.

5. Usaha, doa dan tawakkal

Perubahan Bagi Mencapai Kecemerlangan

1. Perubahan pemikiran

• Orang yang berjaya sering mencari jalan tetapi orang yang gagal sering mencari alasan.
• Hendak seribu daya, mahu seribu upaya, ingin seribu cara.
• Jadilah insan yang sentiasa berfikiran membina dan fikiran yang ingin menjadi juara.

2. Perubahan sikap

• Sikap atau tabiat yang positif terhadap akhlak, pelajaran dan kehidupan menjanjikan keluhuran budi, keberkatan usaha dan asas perubahan segala aspek dalam kehidupan.
• Ubahlah sikap kita jika kita ingin mengubah nasib kita

3. Perubahan matlamat

• Matlamat yang tinggi dan agungakan menjanjikan semangat yang tinggi untuk menjayakannya. Gantunglah matlamat dan harapan anda di puncak kejayaan yang hakiki.

4. Perubahan teknik dan strategi

• Jadilah insan yang menguasai teknik dan strategi terbaik bagi berupaya menguasai ilmu sebaik mungkin.
• Mungkin teknik biasa menyebabkan kita gagal selama ini.Ubahlah diri kita dengan teknik luar biasa sekarang.

APABILA ANDA MENGUBAH PEMIKIRAN ANDA !

• Anda mengubah kepercayaan anda.

• Apabila anda mengubah kepercayaan anda.
• Anda mengubah jangkaan anda.

• Apabila anda mengubah jangkaan anda.
• Anda mengubah sikap anda.

• Apabila anda mengubah sikap anda.
– Anda mengubah tabiat anda.

• Apabila anda mengubah tabiat anda.

• Anda mengubah prestasi anda.
• Apabila anda mengubah prestasi anda

• Anda mengubah kehidupan anda.

Piagam Pelajar Cemerlang

“Kita TIDAK GAGAL setelah kita jatuh, tetapi kita dikira GAGAL jika kita jatuh dan tidak bangun semula. BERAPA KALI kita jatuh tidak penting, yang pentingnya ialah BAGAIMANA KITA BANGUN SEMULA setelah kita jatuh…”.

RENUNGAN

• Kita tidak dilahirkan terus, berjaya, bahagia, pandai, menang …

• Kita juga tidak dilahirkan terus, gagal, menderita, kecewa, jahil, kalah …

• Tetapi kita mempunyai potensi untuk kedua-duanya.

Kita tidak diciptakan untuk gagal selama-lamanya. Bagi sahabat yang mengulang tahun pada tahun ini, peganglah kata-kata ni dan bangkitlah dari kegagalan yang lalu untuk menaiki tangga kejayaan. Jangan biarkan diri terus dibelenggu dengan rantai kegagalan. Pesanan untuk diri yang mengulang tahun pada tahun ini dan sahabat yang senasib dengan saya. Walaupun hanya 2 subjek or madah untuk fasa ini berbanding 6 subjek bagi sahabat tahun 1 mustajid (baru), jika tidak bersungguh menghadapinya maka ianya bakal mengundang natijah yang sama seperti sebelum ini. Na'uzubillah min zalik. 2 subjek itu adalah 'Ijaz Al-Quran & Tarikh Mashaf seperti dalam kotak yang telah dihijaukan dalam gambar di atas. Moga diberi kemudahan oleh Allah untuk menempuhi imtihan kali ini. Amin. Harap sahabat-sahabat sekalian dapat mengambil intipati yang dikongsikan dalam post kali ini dan sekaligus dapat memotivasikan diri kalian semua walaupun posting kali ini hanyalah dicopy semata-mata. Akhir kata dari saya semoga Allah memudahkan kita semua dalam menghadapi imtihan ini dan mengurniakan kejayaan kepada kita. Amin ya Rabb.

17 Muharram 1432 - 23 Disember 2010
11.35 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Saturday, December 18, 2010

Kitakah Orang Itu


Sudah menjadi lumrah kehidupan dunia hari ini, Ramai orang lebih berminat untuk melakukan perkara yang agak sia-sia dari melakukan amalan yang boleh menambahkan saham pahala. Setuju tak dengan pendapat saya??? Ok... Sekarang cuba kita perhatikan, bila kita diajak untuk melakukan amalan kebaikan pastinya ramai dari kita memerlukan masa yang agak lama untuk memikirkan sama ada mahu turut serta ataupun tidak. Lebih malang lagi kiranya ada yang mencipta berbagai alasan untuk membebaskan diri dari ajakan tersebut. Contohnya kita diajak untuk solat berjemaah di masjid, menghadiri kuliah agama, bergotong -royong membersihkan masjid, menyertai program tarbiyah ruhiyyah, mendengar ceramah dan lain-lain lagi amal kebaikan maka susah untuk menerima ajakan tersebut sekiranya tidak berfikir panjang terlebih dahulu. Namun saya tak menafikan bahawa ada golongan mereka yang cepat dan pantas menerima ajakan tersebut tapi golongan ini hanyalah minority dan bukanlah majority. Paling kurang jawapan yang diberikan ialah "kau pergi dulu, kejap lagi aku ikut belakang. Itupun nasib baik kalau betul dia ikut belakang. Kalau tak...

Cuba kita perhatikan lagi, sekiranya kita diajak untuk melakukan perkara yang sebaliknya. Contohnya kita diajak untuk tengok bola, shopping, bersiar-siar, tengok wayang, ponteng kuliah dan perkara yang sama waktu dengannya, pasti mudah untuk kita menerima ajakan tersebut dan dengan serta merta kita boleh bersiap untuk turut serta. Adakah betul tanggapan saya??? Tepuk dada tanya iman kita. Setiap kali kita ingin melakukan kebaikan pastinya ada halangan yang perlu kita lalui iaitu godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa menghasut manusia agar meninggalkan setiap kebaikan dan melakukan perkara sebaliknya. Bagi mereka yang lemah untuk melawan, maka mereka akan terkulai layu dengan pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Inilah gambaran dunia hari ini. Tidak ramai yang mahu berlumba-lumba dalam melakukan amal kebaikan untuk menambah koleksi pahala melainkan sedikit. Cukup berbeza dengan zaman para sahabat dahulu. Mereka berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Lihat saja ketika peristiwa solat sunat terawih. Pada asalnya solat ini hanyalah dilakukan oleh nabi seorang. Tapi bila para sahabat melihat nabi melakukan maka mereka pun turut serta melakukan walaupun perkara ini tidak disuruh oleh nabi. Dari hari ke hari bilangan jemaah yang turut serta dalam solat ini makin bertambah. Sehingga pada hari ketiga atau keempat nabi melakukannya di rumah. Maka pada keesokan hari para sahabat bertanya kepada nabi kenapa semalam engkau tidak keluar solat seperti hari-hari sebelumnya. Maka nabi pun menjawab, aku takut solat ini diwajibkan ke atas kalian semua.

Lihatlah sahabat sekalian, betapa bersungguhnya mereka ini dalam melakukan amal soleh. Bagaimana dengan kita??? Perkara yang wajib pun kita sudah liat untuk melakukan, apatah lagi yang sunat. Lontaran ini adalah sebagai muhasabah untuk kita semua. Sekiranya kedua perkara tadi bertembung maka utamakanlah perkara yang dapat menambahkan keimanan kita kepada Allah. Contohilah para sahabat nabi yang suka berlumba-lumba dalam melakukan amal kebaikan. Memang setiap amalan kebaikan itu agak susah untuk dilakukan. Tapi walau sepayah mana sekalipun kita tetap perlu bermujahadah melawan godaan nafsu dan syaitan untuk tetap melakukan sesuatu amalan kebaikan tersebut. Kesusahan di dunia inilah yang menjadi jaminan untuk kita selamat di akhirat kelak yang kekal abadi. Terlalu nikmatnya dunia yang kita rasai pada hari ini namun kenikmatan dunia ini tidak mampu untuk menandingi kenikmatan bila berada di syurga Allah kelak. Jadi, mana satu pilihan kita??? Nak nikmat dunia yang hanya sementara ini atau nikmat di akhirat yang kekal abadi??? Sekali lagi tepuk dada tanyalah iman. Moga kita sentiasa berada sebaris dengan jalan yang dilalui oleh hamba-hamba Allah yang soleh. Diharap dengan apa yang saya lontarkan ini dapat menjadi muhasabah terutama buat diri yang lemah ini dan sahabat semua yang mendambakan syurga Allah kelak. Saya akhiri artikel ini dengan kalam Allah di dalam surah al-Hadid ayat 20-21 yang bermaksud

"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhoanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar".

Kitakah orang yang tergolong dalam ayat 21 di atas, atau sebaliknya??? The choice in your hands...

12 Muharram 1432 - 18 Disember 2010
8.59 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Tuesday, December 14, 2010

Amalan 'Asyura


Ustaz.. Boleh tak terangkan berkenaan puasa asyura? Bila puasanya? Saya dengar 9 & 10 Muharram. Ada yang bagitau saya 11 pun sunnat puasa. Bagaimana yang terbaik? Apa lagi amalan baik di hari Asyura? Syukran.

Jawapan:

Selang beberapa hari lagi, kita akan berjumpa hari 'Asyura' (عاشوراء) sekali lagi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha' berkaitan 'Asyura'.

1. Bilakah 'Asyura'?

Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berpendapat 'Asyura' adalah pada 9 Muharram.Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha' berpendapat 'Asyura' adalah pada 10 Muharram.

2. Bila Sunnah Puasa?

Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura').Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha'.

3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?

Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir'aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada 'Asyura') kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.

* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.

4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?

Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.Membezakan dengan amalan orang Yahudi.Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha'.

5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?

Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.

6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari 'Asyura'?

Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).

7. Apakah kelebihannya?

Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*

* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.

8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari 'Asyura'?

Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul 'Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitabAlmadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.

9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?

Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.

10. Ada tak doa yang ulamak dahulu amalkan pada hari tersebut?

Ada. Sila klik sini.

Do'a dibaca pada hari 'Asyura'

11. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi'ah pada hari 'Asyura' meratapi pemergian Sayidina Husin?

Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)."

Wallahu A'lam

Sumber : (link)

SELAMAT BERAMAL !!!


8 Muharram 1432 - 14 Disember 2010

1.08 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Munajat Ribath Ruhiyyah Perdana


(sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)

"Pemuda yang lahir dalam sebuah bangsa yang hidup aman sejahtera dengan kemajuan melimpah ruah akan lebih mementingkan diri sendiri daripada nasib agama dan bangsanya.

"Namun, pemuda yang lahir dalam sebuah negara yang sedang berjuang kerana agama dan bangsanya sedang dijajah, akan berjuang bermati-matian untuk mengembalikan hak, khazanah serta kebebasan mereka yang telah dirampas dan dinafikan.

"Bagaimanapun, gagasan akan berjaya jika wujud empat asas iaitu keimanan dari hati yang bersih, keikhlasan dari jiwa yang suci, semangat dari keinginan yang kuat dan usaha melalui keazaman yang membara. Semua itu ada pada orang muda."
-Imam Hasan Al-Banna-


16 & 17 Disember 2010

Khamis & Jumaat

Bait Izzah & Istad

Dijemput kepada seluruh warga Tanta untuk hadir ke program ini


Sumber : (link)

# Selamat Hari Lahir diucapkan kepada Penasihat II Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta Ustaz Mohd Zahid Adanan. May Allah Bless You In Whatever You Do. Moga terus thabat dalam mendokong perjuangan islam yang suci ini.

8 Muharram 1432 - 14 Disember 2010
7.58 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Bencana Alam Di Alexender





















Firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).


Sumber : (link)

8 Muharram 1432 - 14 Disember 2010

7.32 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Saturday, December 11, 2010

Pantun Nasihat


Orang perempuan pakai mini sekerat,
Suka pakai baju ketat,
Suka pulak menunjukkan pusat,
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat,
Pakai pulak yang sendat-sendat,
Kadang-kadang sampai nampak yang tersirat,
Tak kira bujur tak kira bulat
Bila dah macam tu tuan puan, siapa yang lihat pasti tercegat,
Bila dah tercegat silap gaya jadi gawat,
Bila dah jadi gawat tuan puan, bohsia bohjan lagi dasyat,

Duduk jauh berkirim surat,
Bila berjumpa tangan berjabat,
Kemudian pakat lawan peluk erat-erat,
Masa tu nafas naik tersekat-sekat,
Usah dipedulilah agama dan adat,
Usah ditakuti Allah dan malaikat,
Yang penting apa kita nak buat kita buat,
Akhirnya bila dah buat, perut kempis jadi bulat,
Bila perut kempis dah jadi bulat, maka tunggulah lahir anak-anak yang tak cukup sifat,
Bila saat-saat kita lihat anak yang tak cukup sifat itu dilahirkan, malu dia, maka masa itu kita tengok bayi dibuang merata tempat,
Bila dah bayi dibuang merata tempat, maknanya ketika itu iblis mula melompat,
Bila iblis dah melompat, dia kata apa?
"Habis manusia dah masuk jerat", "Habis manusia telah tersesat",
Inilah dia fenomena masyarakat,

Oleh itu wahai saudara saudari dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa, kita mungkin akan menghadapi hari kiamat,
Sampailah masa kita semua akan berangkat,
Berangkat menuju ke negara akhirat,
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat,
Masa itu sendiri mau ingat,
Umurmu banyak mana mu buat ibadat?
Zaman mudamu apa telah mu buat?
Harta benda anda, dari mana anda dapat?
Ilmu anda adakah anda manfaat?
Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.

Hasil Nukilan Ustaz Akhil Hayy

Moga pantun ini ada manfaat,
Buat pembaca dan para sahabat,
Jangan sekadar baca dan lihat,
Ayuh sama-sama kita bertaubat.


# Selamat Hari Lahir yang ke-23 kepada kak Mazrah. Semoga Allah melimpahkan keberkatan dan rahmatnya kepada kak. Moga dipermudahkan segala urusan dalam mengharungi kehidupan di dunia yang fana' ini dan sentiasa berada di jalan yang benar. Amin.

5 Muharram 1432 - 11 Disember 2010

8.42 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Tuesday, December 7, 2010

Salam Ma'al Hijrah 1432


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..” – Surah an-Nahl, ayat 41-42

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya ini dan berada di ambang tahun baru 1432 H pada hari ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.

Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.

Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.

Insya-allah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan masyarakat.

Sekian.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM – KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 28 Zulhijjah 1431H / 5 Disember 2010M

Sumber : (link)

# Salam Ma'al Hijrah 1432. Semoga dengan kedatangan tahun baru hijrah ini kita dapat membuka lembaran baru. Sama-samalah kita berhijrah ke arah yang lebih baik. Jangan diulangi lagi kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini. Tanam dalam diri untuk tidak mengulangi kesilapan dan dosa yang lalu. Moga kita menjadi insan yang menjadikan Rasulullah sebagai ikutan dan idola kita dalam menyelusuri kehidupan dunia yang penuh onak dan duri serta cabaran ini insyaALLAH. Satu kata-kata dari Ibnu Mas'ud yang berbunyi :

“Perkara yang paling sedih bila tibanya tahun baru adalah umurku bertambah tetapi amalanku tidak bertambah ”

Moga kita dapat meningkatkan amalan kita di tahun baru ini serta mampu untuk istiqomah dalam melakukannya InsyaALLAH.

1 Muharram 1432 - 7 Disember 2010
9.38 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Monday, December 6, 2010

Design Terbaru Kereta Malaysia

Proton kini tampil dengan 5 kereta konsep yang ditunjukkan sempena Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2010. 5 kereta konsep ini mengambil nama 5 pahlawan Melayu Melaka iaitu Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu.


Proton Lekir


Proton Jebat


Proton Lekiu


Proton Kasturi


Proton Tuah

Disebabkan designnya yang menarik, maka saya dengan sukacitanya mempromosikan kereta-kereta keluaran proton yang terbaru di teratak ini. Saya percaya dengan design seperti ini maka harganya pastilah agak tinggi dari kereta-kereta proton sebelum ini. Bila harganya tinggi maka tidaklah semua orang mampu untuk memilikinya. Nak memilikinya pun bukanlah suatu perkara yang mudah. Bila dah memilikinya pasti akan memikirkan pula pasal minyak yang mana baru-baru ini harga minyak naik lagi. Naik, naik dan naik lagi. Inilah habuan yang disajikan untuk rakyat yang setia menyokong kerajaan sekarang ini. Teruskan sokongan anda !!! Maaf teremosional pula. Tapi apa pun saya suka dengan design kereta-kereta di atas walaupun belum tentu mampu untuk memilkinya. Antara kereta keluaran negara yang lain :


Proton Inspira


Produa Bezza


Sumber : (link)

30 Zulhijjah 1431 - 6 Disember 2010
8.48 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

Thursday, December 2, 2010

Makhluk yang Licik & Kreatif


Suatu pagi yang hening ketika berkumandangnya azan subuh

Iman : Bos, bangun ! Dah masuk waktu subuh ni.

Syaitan @ Nafsu : Alah... Baru azan bos. Tidur la lagi.

Iman : Bangun bos ! kalau bangun awal dan siap awal boleh solat jemaah di masjid

Syaitan @ Nafsu : Belum qomat lagi. Nanti dah qomat baru la bos bangun.

15 minit selepas azan berkumandang...

Iman : Bos, masjid dah qomat tu. Jom bangun, solat di masjid !

Syaitan @ Nafsu : Tak payah la pergi masjid. Solat di rumah pun sah juga bos. Tidur dulu. Waktu subuh panjang lagi ni.

Selepas 59 minit berlalu, dia terjaga dari tidurnya...

Iman : Bos dah lewat ni, jom solat !

Syaitan @ Nafsu : Alang-alang dah lewat, baik bos terus tidur je. Nanti boleh qodho'solat tu.

Boleh dikatakan setiap pagi kita akan melalui situasi seperti di atas. Di mana kita perlu memilih antara memenangkan iman ataupun syaitan dan nafsu kita. Kalau iman yang kita pilih, maka kita akan bangun menunaikan solat subuh dengan segera. Tapi jika syaitan dan nafsu yang menjadi pilihan maka kita akan tangguh dan tangguh menunaikan solat. Lebih malang lagi jika kita terus tidur sehingga habisnya waktu subuh. Banyak lagi situasi yang memerlukan kita membuat pilihan sama ada memenuhi kehendak iman ataupun nafsu dan syaitan. Syaitan akan membutakan mata kita dan menjadikan dosa dan maksiat yang kita lakukan nampak indah. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 63 yang bermaksud

"Demi Allah, sungguh Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat sebelum engkau (Muhammad), tetapi syaitan menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan mereka (yang buruk), sehingga dia (syaitan) menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan mendapat azab yang sangat pedih".

Begitulah sahabat-sahabat sekalian, syaitan dan nafsu menggoda kita agar lalai dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Ada saja alasan dan cara yang diberikan kepada kita supaya kita mengikut telunjuk dia. Kreatif dan liciknya makhluk Allah yang bernama syaitan ini dalam menyesatkan anak cucu nabi Adam. Mereka bersungguh-sungguh menggunakan waktu yang diberikan oleh Allah ini untuk mengumpul pengikutnya sebanyak yang boleh untuk bersama-sama mereka di neraka kelak. Firman Allah dalam surah Fatir ayat 6 yang bermaksud

"Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh. kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Syaitan tidak pernah berputus asa untuk menggoda manusia. Jika plan atau strategi pertama tidak menjadi maka dia akan ubah kepada plan kedua dan begitulah seterusnya sehingga manusia terkulai dengan pujuk rayu syaitan. Nau'zubillah. Contohnya jika mereka tidak berjaya menghalang manusia dari melakukan ketaatan maka mereka akan menusuk pula jarum riak ke dalam diri manusia agar berbangga dengan amal kebaikan yang dilakukan. Apabila ada sebesar zarah riak yang timbul pada setiap amal yang kita lakukan maka amalan itu akan tertolak. Syaitan memang mahukan kita miskin pahala dan kaya dengan dosa.

Itulah antara kelebihan syaitan, tidak pernah putus asa dan licik serta kreatif dalam menggoda manusia. Kelemahan kita manusia pula ialah sering termakan dengan tipu daya mereka. Manusia yang sering leka dan lalai dari mengingati Allah adalah sasaran yang paling mudah untuk ditumpaskan dan dikalahkan oleh godaan syaitan ini berbanding mereka yang selalu mengingati Allah. Firman Allah dalam surah al-'Araf ayat 201 yang bermaksud

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)".


Sahabat sekalian, jangan biarkan diri dikuasai nafsu dan syaitan sekiranya tidak mahu dihumban ke dalam api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia yang derhaka dengan perintah Allah. Jikalau kita mampu untuk menahan azab Allah di akhirat kelak, maka berbuatlah sesuka hati di di dunia ini dan turutilah telunjuk syaitan. Tapi jika kita mahu menikmati keindahan syurga kelak maka berkorbanlah menahan keinginan nafsu dari melakukan perkara yang dimurkai Allah dan berhentilah dari terus menerus mengikut jejak langkah syaitan. Syaitan tidak mampu untuk menolong dirinya sendiri apatah lagi kita diakhirat kelak. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud

"Dan syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu, dan kamu pun tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu. "Sungguh, orang yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih".

Satu kata-kata hikmah yang berbunyi

“Jika kamu tidak disibukkan dengan kebaikan maka kamu akan disibukkan dengan kebatilan. Kebatilan akan mendekatkan kamu dengan syaitan”

Oleh itu sahabat, jangan biarkan diri lalai dan leka sehingga memudahkan syaitan menggoda kita. Pelajarilah 2 sifat syaitan iaitu tidak mudah putus asa dan kreatif. Jadilah orang yang tidak putus asa dengan rahmat Allah dan orang yang kreatif dalam menolak segala pujuk rayu syaitan laknatullah. Moga kita dijauhkan oleh Allah dengan makhluk yang bernama syaitan ini. Firman Allah dalam surah al-'Araf ayat 200 yang bermaksud

"Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah (dengan membaca a'uzubillahi minassyaitanirrajim). Sungguh, Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui".

26 Zulhijjah 1431 - 2 Disember 2010
7.36 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...