Wednesday, July 21, 2010

Kualiti atau Kuantiti?


Suka saya nak bincangkan dalam post kali ini berkaitan tajuk yang tertera di atas iaitu kualiti atau kuantiti. Satu persoalan yang ingin ditimbul dan diajukan kepada para pembaca sekalian, antara kualiti dan kuantiti yang mana satu perlu lebih diutamakan? Saya pasti setiap daripada kita sudah ada jawapan untuk persoalan yang ditimbulkan. Untuk mengetahui adakah jawapan anda selari dengan realiti sebenarnya, mari sama-sama kita singkap kembali sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat di medan peperangan untuk mempertahankan agama islam ini dari ancaman musuh. Rata-rata peperangan yang ditempuhi umat islam pada ketika itu mendapat kemenangan walaupun pada masa itu kuantiti umat islam adalah kecil berbanding pihak lawan yang kuantitinya lebih besar. Contoh yang kita boleh ambil ialah peperangan badar. Umat islam yang menyertai peperangan itu hanyalah 313 orang berdepan dengan pihak kuffar yang mana kuantitinya menjangkau 1000 orang. Kalau kita ikut logik akal pasti pasukan yang kuantitinya lebih banyak akan memenangi peperangan itu. Tapi sejarah telah membuktikan bahawa kuantiti yang banyak tidak menjaminkan kemenangan. Sebaliknya kuantiti yang sikit tetapi berkualiti itulah yang berjaya meraih kemenangan. Itulah yang terjadi kepada ahli-ahli badar. Walaupun dalam keadaan berpuasa mereka mampu untuk menewaskan musuh. Rasulullah telah berjaya mendidik para sahabat sehingga mereka menjadi orang yang berkualiti dari semua sudut terutama dalam ibadah.Tidak hairanlah sekiranya Allah membantu mereka dalam mencapai kemenangan. Antara peperangan lain ialah perang ahzab, dan perang diantara tholut dan jalut yang dirakam dalam surah Al-Baqarah ayat 249-251

Bagaimana pula dalam persoalan ibadah? Kuantiti atau kualiti yang lebih diutamakan? Firman Allah dalam surah Hud ayat 7 yang bermaksud

Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

Firman Allah lagi dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Dalam 2 ayat ini kita dapat tahu bahawa ibadah atau amalan yang berkualitilah yang Allah lebih utamakan berbanding kuantiti. Allah tidak mengatakan "aksara 'amala" (yang lebih banyak amalan) tapi Allah sebut "ahsanu 'amala" (yang lebih baik amalan). Kalau kita banyak buat amalan sekalipun tapi diiringi dengan riak, ujub tidak ikhlas dan sebagainya maka perkara-perkara seperti ini akan mencacat amalan kita. Cukuplah amalan kita sikit tapi berkualiti itu yang lebih baik untuk kita. Sebagai contoh ibadah solat yang berkualiti ialah solat yang mampu mencegah pelakunya dari melakukan maksiat. Sekiranya solat yang dilakukan tidak mampu untuk menjadi benteng dari melakukan maksiat maka solat itu dikira tiada kualitinya. Begitulah sebaliknya. Seandainya anda mampu untuk memperbanyakkan dan dalam masa yang sama dapat mengkualitikan amalan tersebut maka silakan untuk melakukannya.

Kualiti lebih utama berbanding kuantiti. Kita lihat kuantiti umat islam pada hari ini adalah lebih besar berbanding orang yang bukan islam. Pun begitu kuantiti yang banyak ini tidak mampu untuk menonjolkan kesyumulan, kecantikan dan keizzahan islam sendiri sepertimana pernah berlaku pada zaman para sahabat dahulu sehingga mampu menjulang agama islam dan mengusai dua pertiga dunia. Ini kerana kurangnya kualiti dalam kuantiti umat islam pada hari ini. Benarlah hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud yang mafhumnya

Akan datang suatu masa di mana umat Islam akan dikerumuni oleh sekelian umat manusia seperti orang-orang yang lapar mengerumuni makanan. Pada masa itu umat Islam ramai namun mereka umpama buih-buih yang mengalir di lautan.

Umat islam hari lebih suka untuk berhibur dan bersuka ria daripada beribadah kepada Allah. Lihat saja Malaysia pada hari ini. Berapa banyak program realitinya yang berbentuk hiburan semata yang menjadikan kita terus lalai dan leka dari mengingati Allah. Inilah salah satu punca kurangnya kualiti umat islam pada hari ini disebabkan rohani yang lemah akibat daripada hiburan yang melampau. Tidak salah untuk berhibur, tetapi biarlah hiburan itu boleh menambahkan iman kita kepada Allah. Sekarang jelas pada kita bahawa kualiti memainkan peranan penting dalam setiap aspek terutama dalam aspek ibadah. Sekiranya anda ingin berjaya jadilah orang yang berkualiti dalam setiap perkara. Bagaimana ingin menjadi orang yang berkualiti? Jadikan lah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup. Ikut segala apa yang telah diperintah dan tinggalkan segala apa yang ditegah oleh Allah. Ringkasnya kita perlu mengamalkan apa yang ada dalam Al-Quran itu. Jadikan juga Rasulullah sebagai idola kita agar kita dapat mengikut jejak langkah baginda untuk menjadi orang yang berkualiti. Mudah-mudahan kita mampu untuk menjadi insan yang berkualiti sepertimana yang telah dilalui oleh para sahabat demi melihat agama islam ini kembali gah di muka bumi insyaALLAH.

9 Sya'ban 1431 - 21 Julai 2010
8.42 a.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Kualiti atau Kuantiti?”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...