Kesukaran untuk memahami pertuturan orang-orang tempatan di sini menjadi suatu ujian buat diri yang lemah ini. Apatah lagi kebanyakan mereka menuturkan bahasa arab ammiyah (pasar) bukannya bahasa arab fusha (baku). Kadang-kadang terpaksa untuk menyuruh mereka mengulangi soalan untuk kali kedua agar dapat memahami dengan baik soalan yang diajukan kepada saya. Walaupun hampir 4 tahun lebih telah berada di bumi mesir ini namun masih belum dapat mengusai bahasa arab dengan baik. Lebih-lebih lagi arab ammiyah kerana kurangnya bercampur dengan penduduk tempatan di sini. Salah satu faktor untuk mengusai bahasa mereka ialah dengan selalu bergaul sesama mereka. Ini merupakan satu teguran buat diri dan sahabat-sahabat lain yang ingin mengusai bahasa arab ammiyah dengan baik.
Disebabkan diri ini tidak dapat mengusai bahasa arab ammiyah dengan baik maka ia menjadi kesukaran untuk memahami pelajaran yang di ajar di kuliah. Kebanyakkan pertuturan para syeikh bercampur antara fusha dan ammiyah. Ditambah lagi dengan pertuturan yang laju, maka semakin sulit untuk menangkap apa yang disampaikan. Boleh dikatakan 30% sahaja yang dapat difahami dari apa yang telah disampaikan sepanjang 2 jam kelas berjalan dalam satu subjek. Bukanlah salah para syeikh itu, tapi yang salahnya ialah diri sendiri kerana tidak mengusai bahasa arab. Namun demi ilmu, saya harungi jua kesukaran ini dengan tetap menghadiri majlis ilmu ini kerana saya percaya dan yakin bahawa setiap kesukaran yang dilalui pasti ada kesenangannya. Sesuai dengan firman Allah dalam surah as-Sharh ayat 6-7 yang bermaksud
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Allah tahu apa yang kita inginkan. Apa yang penting kita perlu usaha dan berdoa kepadaNya untuk mendapatkan sesuatu perkara itu. Semalam, walaupun tidak memahami melainkan sedikit apa yang disampaikan oleh syeikh namun, saya menarik lafas lega setelah syeikh yang mengajar itu mendoakan setiap pelajar yang ada dalam kelas tersebut agar dapat memahami pelajaran yang diajarkan oleh syeikh-syeikh di sini. Inilah keberkatan dan kelebihan menghadirkan diri ke majlis ilmu. Sabda Rasulullah yang bermaksud
"Rasulullah SAW telah ditanya ; Wahai Rasulullah, majlis yang bagaimanakah yang terbaik bagi kami? Rasulullah bersabda ; majlis yang dihadiri oleh orang yang kamu akan mengingati Allah apabila melihatnya, bertambah ilmu kamu setelah mendengar kata-katanya dan apabila kamu melihat amal perbuatannya, kamu akan mengingati akhirat"
Semoga Allah memakbulkan doa syeikh semalam sepertimana makbulnya doa Rasulullah kepada Ibnu Abbas agar menjadi orang yang faqih dalam ilmu sehingga beliau menjadi antara perawi hadis yang terbanyak dikalangan para sahabat. Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya ke atas mereka yang menghadiri majlis ilmu. Oleh itu, hadirkanlah diri ke majlis ilmu walaupun kita tidak dapat memahami 100% apa yang disampaikan oleh guru. InsyaAllah keberkatan dan rahmat Allah akan turun kepada mereka yang ikhlas dan bersungguh dalam menuntut ilmu. Mudah-mudahan pada akhir nanti Allah mengurniakan kefahaman kepada kita.
Nasihat buat diri dan sahabat seperjuangan, ayuh perkasakan penguasaan bahasa arab fusha & ammiyah dalam diri untuk memudahkan kita memahami apa yang diajarkan oleh syeikh-syeikh di kuliah dan memahami pertuturan penduduk tempatan. Sama ada kita selalu bergaul dengan mereka atau membaca akhbar-akhbar tempatan dan sebagainya untuk mengimprovekan penguasaan bahasa arab kita. Bak kata orang putih it's difficult but not impossible untuk mengusai bahasa arab fusha @ ammiyah. Kita mampu sebenarnya. Semuanya tergantung kepada kita. Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Apa yang pasti kesukaran dan kepayahan bukanlah suatu alasan untuk kita give up. Tapi teruslah berusaha mengharungi jalan kesukaran itu agar dibukakan pintu kesenangan untuk kita pada akhirnya. Dan moga Allah mengurniakan kafahaman dalam setiap ilmu yang kita pelajari. Amin.
16 Zulhijjah 1431 - 22 November 2010
10.19 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir
No response to “Setiap Kesukaran Pasti Ada Kesenangan”
Leave a Reply