Saturday, January 31, 2009

Lalainya manusia


Alhamdulillah penulis mengucapkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi atas keizinan dan kesempatan yang diberikan untuk menulis dan menyiapkan artikel ini. Dalam artikel yang tidak seberapa ini penulis ingin menyentuh berkenaan dengan kelalaian dan lekanya kita manusia sehingga menyebabkan timbul perasaan gelisah, kusut, tidak tenteram, hilang kenikmatan dalam beribadah dan sebagainya. Penulis percaya bahawa kita semua yang bergelar manusia ini akan dilanda perasan seperti itu, melainkan mereka yang sentiasa menjaga hubungan mereka dengan Allah Taala dalam apa jua keadaan. Ada 2 punca yang boleh menyebabkan timbulnya perasaan seperti di atas yang boleh penulis utarakan untuk sama-sama kita renungkan.. Antaranya


1- Kurangnya mengingati Allah

Adakah pembaca semua setuju sekiranya penulis mengatakan kita ini sering kali lupa dan lalai dari mengingati Pencipta kita?? Sedangkan Dia tidak pernah sesaat pun mengabaikan kita. Terserahlah kepada sahabat pembaca semua. Masing-masing ada jawapan yang tersendiri. Sekiranya solat 5 waktu sehari semalam tidak difardukan ke atas setiap muslim di dunia ini maka tiadalah waktu walaupun sesaat untuk kita mengingati Dia melainkan bila ditimpakan musibah ke atas kita, barulah kita akan sibuk mencariNya. Alangkah zalimnya kita sekiranya itu yang menjadi amalan kita selama berada di dunia ini. Inilah salah satu punca kenapa kita menjadi gelisah, tidak tenang dan sebagainya kerana mana mungkin hati yang selalu mengingati Allah akan merasa perasaan seperti itu. Allah telah berfirman "“Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”
(Ar-Ra'd ayat 28).


2- Banyaknya maksiat kepada Allah

Banyaknya maksiat yang kita lakukan terhadap Rabb Al-Jalil sehingga menganggap perkara itu menjadi kebiasaan kepada kita tanpa merasa bersalah dan tidak segera memohon ampun kepada Allah. Dan perkara ini akan merosakkan hubungan kita dengan Allah Taala. Dosa-dosa kecil yang diremehkan seseorang akan semakin bertompok. Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah merakamkan, bahawa seseorang mukmin yang melakukan dosa, maka dosa itu seperti titik hitam dalam hatinya. Jika dia beristigfar, maka hatinya akan bersinar kembali. Apabila tidak, maka titik hitam itu akan menutupi hatinya. Hati yang diliputi titik hitam itu kata Rasulullah, akan menjadi lebih hitam sehingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan keburukan. Dan sebab ini jugalah yang akan menghilangkan rasa nikmatnya beribadah kepada Allah Taala. "Na'uzubillahi min zalik". Imam Hasan Al-Basri mengatakan "Kebaikan itu merupakan cahaya dalam kalbu. Cahaya kalbu yang akan memberikan kekuatan pada tubuh. Sedangkan keburukan itu merupakan kegelapan kalbu, kegelapan kalbu yang akan menimbulkan kelemahan tubuh".


Demikianlah 2 punca yang boleh penulis utarakan untuk sama-sama kita renung dan kemudian perbaiki kesilapan kita ini. Kita sebagai manusia ini sering kali lalai dan leka dengan kenikmatan dunia yang Allah pinjamkan hanyalah untuk sementara cuma. Amatlah rugi bagi mereka yang terus menerus leka sehingga lupa kepada Dia yang mengurniakan kenikmatan-kenikmatan tersebut dan Dia juga berkuasa untuk menarik kembali kenikmatan yang diberikan sekiranya Dia mahu. Oleh itu penulis ingin mengajak para pembaca semua supaya dalam kita mengecapi kenikmatan-kenikmatan yang diberikan dalam masa yang sama kita tidak lupa untuk mensyukurinya dengan kita melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.


Dan lazimilah zikrullah di setiap waktu dan ketika. Imam Nawawi menceritakan di dalam kitabnya (Al-Azkar) dengan berkata " Ketahuilah bahawa kelebihan berzikir itu tidak terbatas hanya pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan sebagainya bahkan setiap amalan yang dilakukan semata-mata hanya kerana mentaati Allah itu termasuk sebagai zikir". Mudah-mudahan dengan kita banyak mengingati dan sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan memelihara kita dari perasaan-perasaan yang disebutkan di atas dan mudah-mudahan juga kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang dekat dengan Allah Taala. Insyaallah. Dan penulis berharap dengan artikel ini kita semua dapat sama-sama berubah dan memperbaiki diri kita semua untuk menjadi hamba Allah yang diredhoi olehNya. Sama-samalah kita doakan!!! Amin ya Rabb Al-'Alamin.


Rujukan : Majalah Sukek & 50 Himpunan Khutbah Jumaat Eksklusif


5 Safar 1430 – 31 Januari 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...