Friday, January 9, 2009

Muhasabah diri


Pejam celik pejam celik kita telah pun berada dalam tahun baru islam 1430 Hijrah menggantikan tahun Hijrah 1429. Sudah setahun berlalu. Jika kita muhasabah kembali diri kita semua dan cuba timbulkan persoalan apakah sumbangan kita untuk melihat Islam kembali ditegakkan di muka bumi ini, ke arah manakah amalan kita disalurkan, sama ada ke arah kebaikan ataupun keburukan. Adakah kita telah mencapai matlamat yang pernah kita niatkan pada awal tahun dahulu. Soalan-soalan ini sengaja penulis lontarkan agar kita semua menilai kembali di manakah kita sekarang ini. Adakah masih berada di tahap yang lama ataupun telah berubah. Tepuk dada tanyalah iman kita. Kita amat beruntung jika setahun yang lepas banyak perkara bermanfaat yang telah kita lakukan kerana setiap amalan baik yang kita lakukan pasti akan diganjari oleh Allah Taala. Begitu jugalah sebaliknya.


Ibnu Mas'ud berkata " Perkara yang paling sedih bila tibanya tahun baru adalah umurku bertambah tetapi amalanku tidak bertambah" Oleh yang demikian, bersempena dengan Maal Hijrah ini penulis ingin mengajak pembaca semua agar menyingkap kembali peristiwa hijrah Baginda Rasulullah s.a.w. dan para sahabat terkandung di dalamnya hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Rasulullah mengambil keputusan berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah setelah dakwah yang dibawa ditolak sekeras-kerasnya oleh kaum kafir Quraisy. Bukan itu sahaja bahkan Rasulullah dan umat islam yang ada di Mekah turut dicaci, dihina, diseksa dan juga dibunuh oleh kaum kafir Quraisy. Ajaran islam terlalu sukar untuk diterima oleh mereka. Atas sebab-sebab inilah Rasulullah berhijrah ke Madinah yang mana ketika itu ajaran islam tersebar luas di kota itu yang dulunya dikenali sebagai Yathrib. Tujuan Rasulullah berhijrah ke kota itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menegakkan Daulah Islamiyah dan memastikan ajaran islam ini tersebar di seluruh dunia. Begitu besar pengorbanan rasulullah dan para sahabat, sanggup meninggalkan tanah airnya demi agama Islam yang mulia ini. Bagaimana dengan kita??


Dari peristiwa ini, apa yang boleh kita ambil sebagai pengajaran ialah kita perlu memperbaiki diri kita agar menjadi lebih baik dari masa ke semasa. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri. Sama ada mahu melakukan perubahan ataupun tidak. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Dan selalunya kita pada awal tahun sahaja bersemangat untuk berubah, tapi bila sampai pertengahan tahun kita jadi lesu semula dan lebih teruk bila akhir tahun jika kita terus-menerus leka dengan kenikmatan dunia. Oleh itu penulis mengharapkan agar kita dapat merealisasikan semua azam kita untuk tahun ini dan bukanlah sekadar terlintas di hati samata-mata atau sekadar omong kosong. Di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelum-sebelum ini.

1 Muharram 1430 - 29 Disember 2008

No response to “Muhasabah diri”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...