Monday, May 9, 2011

Tips-Tips Kuat Ingatan


Kebanyakkan mahasiswa di universiti tempatan (Malaysia) telah pun selesai menduduki final exam untuk tahun ini dan ada juga yang masih dalam proses untuk menghabiskan exam mereka. Bagi mahasiswa di mesir, di Shoubra mahasiswa tahun satu dan dua tika ini sedang dalam proses exam. Bagi mahasiswa medic pula, exam bakal menemui mereka pada pertengahan bulan Mei ini. Dan untuk mahasiswa pengajian islam, exam dijangka pada pertengahan Jun nanti insyaALLAH.

Beberapa minggu lepas saya telah diminta oleh sahabat saya untuk menulis satu artikel berkaitan dengan kuat ingatan ataupun boleh diberi tajuk "Tips-tips kuat ingatan. Maklumlah exam yang semakin menghampiri. Pastinya boleh dikatakan bonuslah bagi mereka yang mempunyai daya ingatan yang kuat sehingga mampu untuk menghafal dan memahami sesuatu ilmu dengan mudah. Bila kita sudah memahami dan menghafal sesuatu ilmu itu maka insyaALLAH mudah untuk kita menjawab segala soalan yang diajukan dalam exam kelak dengan izin ALLAH. Jadi saya diminta untuk berkongsi tips-tips kuat ingatan melalui penulisan artikel yang diminta untuk dimuatkan dalam salah satu risalah di sini. Pada mulanya saya agak keberatan untuk menerima permintaan itu. Tapi setelah dipujuk akhirnya saya menerima tugasan itu memandangkan ianya ada kebaikan untuk semua. Jadi antara tips-tips yang saya kemukakan dalam artikel itu ialah:-

1. Menjauhi Dosa

Secara umumnya kita mengetahui bahawa kesan dosa pada si pelakunya adalah amat buruk. Antara kesannya adalah melemahkan hati dan akal fikiran serta menumpulkan daya ingatan. Para sahabat dan ulama-ulama terdahulu amat menitikberatkan soal dosa dalam kehidupan seharian mereka. Segala perkara yang boleh menjerumuskan diri mereka ke lembah kemaksiatan dan dosa pastinya akan mereka jauhi. Oleh kerana kesungguhan mereka menjaga diri daripada maksiat dan dosa maka diri mereka bersih secara luaran dan dalaman. Apabila diri sudah bersih, maka ilmu mudah untuk dihadam oleh akal fikiran kita dan jangan terkejut sekiranya para ulama’ ini mampu menghafal beribu-ribu hadis serta 30 juz al-Quran seterusnya menguasai pelbagai cabang ilmu dek kerana memilik hati dan akal yang bersih. Ilmu merupakan cahaya manakala dosa pula ialah kegelapan. Kedua-dua perkara ini tidak dapat disatukan pada masa yang sama. Seperti mana Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya tentang masalah ingatannya

“Saya mengadu kepada guru saya, Wakee' mengenai masalah ingatan saya. Dia memberitahu agar menjauhi dosa dan maksiat. Dia berkata: Ilmu Allah adalah cahaya, dan cahaya tidak diberikan Allah kepada pendosa.”

Al-Khateeb menulis dalam Al-Jamie bahawa Yahya Ibn Yahya berkata:

"Seorang lelaki bertanya kepada Malik bin Anas; Wahai Abu Abdullah, apakah yang dapat memperbaiki ingatan saya? Malik berkata: "Sekiranya ada yang dapat memperbaikinya, maka ia adalah menjauhkan diri daripada dosa".

Jika kita perhatikan pada kanak-kanak, mereka ini cepat mengusai sesuatu perkara. Ini kerana otak dan hati mereka masih suci dan bersih daripada dosa dan maksiat. Oleh sebab itu mereka ini kuat daya ingatan dan mampu untuk mendapatkan sesuatu ilmu itu dengan cepat dan pantas.


2. Menjaga Pemakanan

Makanan yang halal lagi seimbang akan membantu pembentukan peribadi yang cemerlang dan setiap daripada apa yang kita makan mampu untuk mempengaruhi otak seseorang itu kerana apa yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Firman Allah yangbermaksud

“Maka hendaklah manusia itu memerhatikan makanannya” (‘Abasa: 24).

FirmanNya lagi

“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” (an-Nahl : 114)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah barang-barang yang bersih daripada apa yang telah kami kurniakan kepada kamu.”

Makanan yang diragui kehalalannya dan makanan yang syubhah hendaklah dielakkan. Ini kerana ianya boleh mendatangkan kesan yang buruk pada badan dan terhijab daripada makbulnya doa. Elakkan juga daripada makan secara berlebihan dan makanan yang boleh melemahkan otak seperti kepala ikan dan makanan yang masam.

3. Diulang Secara Acap Kali

Otak perlu diasah untuk menguatkan daya ingatan seperti pisau yang tumpul perlu diasah untuk menajamkan kembali mata pisau itu. Sedangkan pisau buatan manusia itu pun mampu untuk ditajamkan kembali apabila diasah, inikan pula otak ciptaan Allah yang Maha Agung. Bagaimana cara untuk mengasah otak? Cara untuk mengasah otak adalah dengan mengulang-ulang kembali setiap perkara yang ingin diingati. Dengan cara ini kita mampu untuk mengingati setiap perkara dan mampu meningkatkan daya ingatan kita. Surah al-Fatiah antara contoh yang boleh diambil. Cuba tanyakan kepada semua, siapa yang tidak ingat akan surah al-Fatihah? Saya yakin ramai dan semua mampu untuk mengingati surah tersebut kerana seringkali diulang-ulang paling kurang lima kali dalam sehari sehingga ianya betul-betul lekat dalam ingatan.


4. Menjaga Waktu Tidur

Tidur merupakan suatu perkara yang penting bagi setiap individu kerana dengan tidur yang cukup mampu untuk mencergaskan kembali tubuh badan dan otak yang letih setelah seharian membanting tulang melakukan kerja-kerja harian. Islam juga menggalakkan umatnya untuk menunaikan hak tubuh badan masing-masing dengan memperuntukkan masa tidur yang secukupnya.

Firman Allah yang bermaksud

“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?” (an-Naba’ : 10)

Tidur selepas waktu asar dan tidur yang berlebihan boleh menyebabkan otak menjadi lembab. Oleh kerana itu elakkan dari mengamalkan tidur dalam dua keadaan ini.

5. Mohon Kepada Allah

Andainya semua tips di atas tidak mendatangkan hasil maka seharusnyalah bagi kita untuk memohon kepada Allah supaya dikurniakan ingatan yang kuat agar mampu untuk menghafal dan menerima setiap ilmu dengan baik kerana dengan ilmu itulah yang kelak akan memimpin diri seseorang menuju ke jalan yang diredhai Allah. Dia pasti akan memakbulkan permohonan
hambaNya sesuai dengan firmanNya yang bermaksud:-

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”. (Ghofir : 60)

Sifat lupa itu adalah normal. Perkataan insan itu sendiri membawa maksud lupa. Jadi tidak perlulah kita bergundah-gulana atau bermuram durja sekiranya kita ini adalah seorang yang pelupa. Cuma kita boleh dan mampu untuk mengatasi sifat lupa itu sekaligus meningkatkan daya ingatan kita dengan mempraktikkan tips-tips yang telah disebutkan di atas. Pelbagai lagi tips yang boleh dipraktikkan untuk meningkatkan daya ingatan selain daripada yang telah disebutkan. Segalanya terletak pada diri kita sendiri sama ada mahu melakukannya ataupun tidak. Bak kata pepatah, “ Nak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Tips-tips ini bukanlah hanya boleh diguna pakai oleh mahasiswa tapi sebaliknya untuk semua lapisan masyarakat boleh mempraktikkan apa yang telah disenaraikan di atas InsyaALLAH. Mudah-mudahan ianya bermanfaat untuk kita semua.

p/s : Semoga tips ini membantu untuk diri ini terutamanya dan kalian semua insyaALLAH. Kejayaan pasti dalam genggaman sekiranya ada usaha, doa dan tawakkal kepada Allah yang dipraktikkan insyaALLAH !!!

6 Jamadil Akhir 1432 - 9 Mei 2011
5.50 p.m
Awwal Nuhas, Tanta, Mesir

No response to “Tips-Tips Kuat Ingatan”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...