Friday, August 27, 2010

Tidak Akan Sesat Selamanya


1 Hari, aku akan tinggalkan kamu
1 Hari, aku akan lari darimu
1 Hari, kamu akan menyesal kerana tidak memilikiku
1 Hari, kamu akan tahu bahawa akulah segalanya untukmu
1 Hari, bila kamu menyedarinya, kamu sudah terlambat untuk memilikiku
Kerana aku Al-Quran, adalah panduan hidupmu
Maka carilah aku, sebelum aku pergi ke sisi Penciptaku

Salam Ramadhan Kareem buat seluruh umat islam yang menumpang di muka bumi Allah ini. Semoga kita terus diberi kekuatan oleh Allah untuk menjalankan tanggungjawab kita selaku hamba di sisi Pencipta yang Agung. Alhamdulillah saya dan sahabat-sahabat selamat sampai di bumi Malaysia 24 Ogos lepas pada jam 4.40 petang setelah lebih kurang 10 jam lebih berada di dalam flight. Alhamdulillah juga diucapkan kerana tiada kejadian buruk berlaku sepanjang berada di dalam penerbangan. InsyaALLAH akan berada di Malaysia lebih kurang 2 bulan dan akan kembali semula ke Mesir pada akhir bulan 10.

17 Ramadhan merupakan tarikh yang bersejarah bagi umat islam seluruhnya kerana pada hari ini telah diturunkan Al-Quran yang menjadi mukjizat bagi Nabi Muhammad s.a.w dan petunjuk buat sekalian alam. Sepertimana yang disarankan oleh Nabi, barangsiapa yang selagi mana hidupnya berpegang dengan Al-Quran dan Sunnahnya maka tidak akan sesat selama-lamanya. Tapi sejauh manakah perkara ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita? Tepuk dada tanyalah iman kita.

Pada 17 Ramadhan juga sejarah telah mengukirkan bahawa umat islam telah berdepan dengan pihak musuh di medan badar yang mana peperangan ini telah berpihak kepada umat islam yang bilangannya lebih kecil berbanding pihak kuffar. Ini telah membuktikan bahawa puasa tidaklah membuatkan seseorang itu lemah dari sudut fizikal apatah lagi mental sehingga menyebabkan mampu memperoleh kemenangan walaupun di saat itu umat islam sedang berpuasa. Kemenangan yang diberikan oleh Allah ini juga adalah disebabkan umat islam pada ketika itu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah menyebabkan mereka dibantu oleh Allah sehingga mencapai kejayaan di dalam peperangan.

Berbeza dengan hari ini, umat islam kian lesu dan kurang bermaya dalam berhadapan dengan serangan musuh sama ada dari sudut fizikal mahupun mental. Ini semua kerana umat islam pada hari ini terutama pemimpin, tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah itu sebagai sumber rujukan utama mereka. Sekiranya pemimpin pada hari ini betul-betul mengikut acuan Al-Quran dan Sunnah sudah tentu mereka ini akan menjadi sepertimana khalifah islam yang berjaya memimpin umat islam suatu ketika dulu. Kita mampu untuk berubah sekiranya kemahuan dan disusuli dengan usaha untuk berubah kita laksanakan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 2- 5 yang bermaksud

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Dari ayat ini dapat kita tahu bahawa bagi mereka yang ingin bertaqwa kepada Allah maka mereka akan menjadikan Al-Quran itu sebagai sumber rujukan dan juga ikutan. Bagi mereka yang tidak mahu bertaqwa pula maka mereka tidak akan menjadikan Al-Quran itu sebagai panduan hidup. Jadi di manakah kita? Mahu jadi golongan pertama ataupun yang kedua. Keputusan terletak pada diri anda. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita sentiasa diberi hidayah dan taufiq dari Allah agar sentiasa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai ikutan dan panduan hidup untuk memperoleh Jannatun Naim Allah insyaALLAH. Amin ya Rabb.

Buat penghafal Al-Quran sekalian, kalian telah dipilih oleh Allah untuk memenuhi dada-dada kalian dengan kalam suciNya. Kalian dimuliakan dari insan-insan yang lain disebabkan selalunya berdamping dengan Kitab suci ini. Oleh itu peliharalah sebaiknya kurniaan yang diberikan ini. Jagalah hafalan kalian agar kalian tidak melupakannya. Jagalah diri kalian dari segala bentuk kemaksiatan yang boleh menghancurkan hafalan dan diri kalian sendiri. Cubalah sedaya upaya untuk mengelakkan diri kalian dari kemaksiatan kerana cahaya tidak akan sekali-kali dapat bercantum dengan kegelapan.

Pernah ditanyakan soalan kepada seorang syeikh bagaimana ingin mengingati hafalan Al-Quran. Beliau menjawab, perlulah selalu berdampingan dengan Al-Quran setiap masa. Saya akui bahawa untuk mengingati 30 juz Al-Quran bukanlah suatu perkara yang mudah. Tidak semua orang mampu untuk mengingati seluruh Al-Quran. Tapi saya percaya sekiranya kita rajin dan selalu mengulangi hafalan kita maka kita akan mengingatinya dalam masa yang sama kita menjaga diri dari segala perkara yang boleh melupakan hafalan tersebut. Sebagai contoh, anda tidak akan lupa surah Al-Fatihah kerana seringkali diulang-ulang bacaannya. Begitu juga surah-surah yang lain sekiranya selalu diulang maka kita akan mengingatinya. Mungkin pada permulaannya agak susah untuk mengingati hafalan Al-Quran, tetapi percayalah kejayaan seseorang itu dalam sesuatu perkara adalah bermula dari kesusahan. Biarlah kita bersusah-susah dahulu agar kita bersenang-senang di kemudian hari. Anda mampu untuk melakukannya. Di mana ada kemahuan di situ dibukakan jalan untuknya. Oleh itu, bertepatan dengan Nuzul Al-Quran ini ayuh sama-sama kita mengulang hafalan kita agar kita mampu untuk mengingati keseluruhan Al-Quran. Percayalah sahabat-sahabat bahawa kemanisannya kita akan rasai setelah bersusah payah untuk mengulang dan akhirnya kita mampu untuk mengingati kesemuanya InsyaALLAH.

Akhirnya, marilah sama-sama kita membudayakan pembacaan Al-Quran bermula dengan diri kita, keluarga seterusnya masyarakat seluruhnya dalam masa yang sama cuba untuk memahami apa yang terkandung di dalam Al-Quran seterusnya mengamalkan apa yang tersurat dan yang tersirat di sebalik Kitab yang mulia ini. Semoga kita semua dapat berakhlak sesuai dengan apa yang dituntut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah dan menjadi insan yang bertaqwa di sisi Rabb Al-Jalil insyaALLAH. Amin Ya Rabb.

17 Ramadhan 1431 - 27 Ogos 2010
8.54 a.m
Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia

No response to “Tidak Akan Sesat Selamanya”

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...